Oleh NURHAMIZAH HASHIM

KEMUNCULAN PENULIS MUDA dalam dunia kesusasteraan tanah air mutakhir ini semakin memperlihatkan perkembangan yang positif. Fahd Razy, Hazwan Ariff Hakimi, Nisa Yusof, Aidil Khalid, Rebecca Ilham, Fadli Al-Akiti dan Saharil Hasrin Sanin (cuma menyebut beberapa nama) merupakan antara penulis muda yang mewarnai kanvas kesusasteraan tanah air yang berjaya membina kelompok pengikut karya mereka. Mereka terdiri dari golongan pelajar yang terdidik daripada luar bidang kesusasteraan.

Perkembangan positif kemunculan barisan penulis muda ini disokong oleh kenyataan Profesor Dato’ Dr. Md. Salleh Yaapar dalam ucap utama beliau bersempena dengan Perhimpunan Penulis Muda Nasional III (PPMN III) yang berlangsung di Akademi Kenegaraan, Biro Tatanegara (BTN), Jalan Bellamy, pada 16 hingga 18 Disember. Beliau menyatakan pandangan tentang penulis muda yang mempunyai tenaga kreatif serta bakat kepengarangan di samping mempunyai keghairahan untuk mengarang dan mempertajam ilmu yang dimiliki mereka.

PPMN III telah dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 PENA yang telah ditubuhkan pada 16 Februari 1961. Majlis sambutan Jubli Emas PENA ini telah diadakan di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur, dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Antara yang hadir pada majlis tersebut termasuklah Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Pengerusi Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), YB Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh dan Pengarah Urusan ITBM, Encik Khair Ngadiron.

Dalam majlis itu juga, Dato’ Baharuddin Zainal (Baha Zain) telah dianugerahi Tokoh PENA atas sumbangan dan jasa beliau yang amat besar menerajui PENA sehingga berjaya menjadikan PENA sebuah persatuan yang konsisten dalam memartabatkan bahasa dan persuratan di Malaysia dari dahulu sehingga kini.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Mac 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks