Oleh ZALEHA AHMAT

DALAM SEBUAH CATATAN PENJANG H.B. Jassin kepada M. Balfas bertarikh 1952, Jassin menulis:

Ada orang mengatakan Chairil dibesarkan oleh Jassin. Ini bohong … Ia (Jassin, pen.) hanya kebetulan punya kedudukan sebagai redaktur yang berkuasa mengumumkan hasil ciptaan mereka. Jassin hanya tukang kumpul, tenaga administrasi yang rajin. Mana hasil ciptaannya sendiri? Kritik dan eseinya belum mencapai tingkat seni. Caranya seperti guru. Banyak mengutip dan menerangjelaskan. Dia tidak keluar dengan peribadinya sendiri.

Memang benar, Chairil Anwar menjadi satu fenomena sastera bukanlah disebabkan oleh H.B. Jassin semata-mata. Chairil punya kebesaran diri untuk menjadi dirinya, dengan bakat, kesungguhan dan keperibadian yang unik. Tetapi, kalau H.B. Jassin tidak membuka selak pintu untuk memperkenalkan sajak Chairil kepada sasterawan lain termasuk Sanusi Pane, Sjahrir dan Sutan Takdir Alisjahbana, tidak mungkin Chairil pada tahun mendatang dapat menjadi tugu dunia sastera Melayu Indonesia. Oleh sebab kagum dan yakin dengan sajak Chairil, H.B. Jassin tidak putus-putus memberikan ruang kepada penyair muda dari Medan itu, awalnya di majalah Panji Pustaka dan kemudian di Panca Raya. Sebagai sidang redaksi, H.B. Jassin tanpa ragu-ragu menerima, mendidik dan menjadi tiang sandar untuk karya Chairil tumbuh subur dalam sastera Indonesia. Walaupun hayat Chairil tidak sepanjang usia sajaknya yang terus hidup pada zaman milenium baharu, namun kecintaan H. B Jassin terhadap Chairil tidak berkurangan juga walaupun berdekad-dekad lamanya.

Di rumah sastera kita sendiri, hal yang sama berlangsung juga. Menatap Dewan Sastera setiap bulan (sejak tahun 1971), tidak mustahil majalah sastera ini melahirkan pengarang yang menempa nama dan mencipta keperibadian sastera masing-masing. Pastinya kita juga meyakini bahawa sidang redaksi Dewan Sastera dengan pertimbangan fikiran dan hati nurani telah membuka jalan bagi karya pengarang tanah air yang menjadi darah daging sastera Melayu Malaysia. Bermula dari zaman Sasterawan Negara Keris Mas sehinggalah kepada Rozninah Abd. Azib, muncul ribuan nama pengarang berhimpun di ruang yang terbentang dalam majalah Dewan Sastera. Sungguhlah kita dengan tanpa ragu-ragu akan memberikan hormat dan terima kasih kerana editor yang telah membuka selak pintu untuk kita dapat bertandang di rumah sastera kita melalui halaman Dewan Sastera.

Hubungan editor dengan pengarang perkara yang sangat penting dalam melahirkan sesebuah karya, khususnya untuk penerbitan media majalah dan surat khabar. Editor dianggap pengempang utama sama ada karya yang dihantar lulus untuk terbit atau tidak. Tanggungjawab besar editor kadangkala tidak menjadikannya lebih berkuasa, malah lebih sering menjadi mangsa. Ada editor majalah dan ruangan sastera yang dituduh tidak memiliki pengetahuan dan pengalaman dalam bidang sastera. Ada penulis yang memikirkan bahawa editor tertentu tidak layak menilai karya yang harus terbit. Yang lebih buruk lagi, ada pengarang yang selalu berasa dirinya lebih hebat daripada editor sehingga dia berasa karyanya tidak harus disentuh langsung atau dinilai oleh editor. Hal seperti ini bukanlah 100 peratus benar dan tidak pula semestinya salah.

Namun begitu, lebih baik pengarang memberikan ruang kepada editor menjalankan tugasnya dan mengambil jalan tengah untuk tidak terlalu bersikap menghakimi terutama kecenderungan kritikan yang negatif. Kita pasti terkejut apabila wujudnya tuduhan yang mengatakan ada editor bersifat pilih kasih, hanya menerbitkan karya rakan-rakan sendiri.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Mac 2012.

Be Sociable, Share!