Puisi Pilihan

Yasin di Perkuburan

Sewaktu di perkuburan
di akhir Syaaban kehadiran Ramadan
Yasin menyusup di celah akar rumput
getar insaf meresap pekat
dalam nadi hati nurani hamba insani

Latifah Haji Mohd. Shebli
Petrajaya Kuching, Sarawak
2 Jun 2011

Kertas

Begitu manusia berkurun-kurun lamanya
mencari dan mencari bagaimana
menjadikan kertas daripada kayu
guna memunggah segala ilmu.

Kini kertas pengutus ilmu
bacalah, semuanya tersurat
tentang hukum dunia hukum akhirat?
bacalah.

Latifah Haji Mohd. Shebli
Petrajaya, Kuching Sarawak

Jun 2011

Sebatang Lidah

Dengan lidah menjalar batang jalan
ke timur terus ke utara
merentas hutan dara
jalan berjajaran bertingkat melengkung
indahnya panorama.

Dengan lidah rumah tumbuh
di gigi-gigi sungai
di atas-atas bukit
cahaya berkelipan dari banjaran gunung
indahnya panorama.

Latifah Haji Mohd. Shebli
Petrajaya, Kuching Sarawak

April 2011

Tanah Runtuh Sumpah Laknat

Ah! Sampai bila berakhirnya
tampar-menampar
satu dekad dua dekad
atau sepuluh dasawarsa?

Begitu lama masa terperkosa
sehari cukup seksa
lumpuh usaha
sembuhnya bila?

Latifah Haji Mohd. Shebli
Petrajaya, Kuching Sarawak

Mei 2011

69 Tahun

Bagaimana aku dilahirkan
barangkali mengikut susunan adat
Melayuku seketurunan taat kudrat.

Sepantun usia muda
bunga raya menghias sanggul, merah marak
langkahku rapi menuju bintang bulan
berbekal sumpah Tun Fatimah
menjunjung keris pahlawan ulung.

Latifah Haji Mohd. Shebli
Petrajaya, Kuching Sarawak

3 Jun 2011

Pelangi

Tiada kelihatan
di dahan cabai jarumku
ke mana agaknya?

Bak pelangi bulunya berseri
patuk runcing tubuh montel kecil molek
tambah indah laman rumahku
cip cip cip setiap pagi
ia menghibur mengasyikkan
aku terkesima dalam citra warna
biru hijau merah kuning putih
warna bertindih cerah bersih
ke mana ia?

Latifah Haji Mohd. Shebli
Petrajaya, Kuching Sarawak

Jun 2011

Ujana Klasik

Pantun Dongeng Sarawak (I)

Bismillah cerita dimula,
Bulak cerita bulaklah aku;
Cerita Pak Tua tersangat gila,
Hendak berkahwin Aru Gaharu.

Tidur susah menutup mata,
Tidur bergolek di atas papan;
Sehabis nyawa mengumpul harta,
Untuk membeli rantai berlian.

Ejek mengejek cuit mencuit,
Berhari-hari duduk mengata;
Rantai berharga jutaan ringgit,
Anak negeri miskin melata.

Latifah Haji Mohd. Shebli
Petrajaya, Kuching, Sarawak

Jan 2011

Bp – bulak = bohong

Puisi Khas

Hanya pada Bulan Ini

Hanya bulan ini yang diceritakan:
Satu malam dengan ribuan malamnya,
jutaan malaikat membawa turun suratan masa depan,
untuk mereka yang sedang kiam, rukuk, sujud atau tawaduk,
tatkala udara bertukar menjadi hening bersih, dan bumi terdiam,
sampailah lidah fajar memancar merah lalu menelan gelap malam.

Baha Zain
Ramadan 1432/ Ogos 2011

Puisi Bulan Ini

Dosa Peragut

Terbaring sakit begini
aku mula mengerti
dosa itu daki
yang mengaratkan hati.
Bertahun-tahun aku menjadi peragut
tidak pernah terasa bersalah
sebaliknya aku marah-marah
kepada pemerintah
pemimpin bermewah-mewah
membazir wang rakyat
punca jenayah meningkat.

Zurinah Hassan

Munajat

Tika sakit diterjang dinihari
aku melarikan duka di pintu Rabbi
meraba kepayahan mengumpul kekuatan diri
membungkus sisa sesal
bersama lautan dosa.

Suria Janib,
Flora Damansara

Teh Terakhir

Itulah teh terakhir
kuteguk kuminum
dari curahan tanganmu
tak kusangka
itulah hari terakhir

Mahad A. Bakar
Bandar Armada Putera,
Pelabuhan Klang

Kemusnahan

Langit berhenti menangis
setelah berhari-hari meniris
bukit menipis curam.
Angin mati memupuk
setelah puas berhiruk-pikuk
gegar pohon akar ke akar.

Mazli Ali

Perjalanan

1
Di dalam peperangan
kita punya dua:
hidup dan mati.
Di dalam perjalanan
kita punya dua:
mati dan hidup.

W.B. Rendra
Johor Bahru

Dari Jendela Sukma, Kukenang Sebuah Nama

Dari jendela sukma ini
kugenggam rasa nikmat
sebuah merdeka
sebuah kebebasan
sebuah nikmat, kehidupan
bertaut pada sebuah nama
seorang pahlawan ternama
legenda di medan juang

Jais Sahok
IIC Kuching
15 Oktober 2009

Mencari Diri

Kucari diriku
di ranting langit
di dahan awan
hampa kubawa terbang
ke bumi diri kuusung pulang.

Adnan A.M.
Batu Kikir, Negeri Sembilan

Senja (III)

Di kelopak senja termaktub mafhum kisah
pada jari luka
pada hati berdarah
masa depan duduk sebangku dengan
bulan gerhana
saling berbagi asap kelabu; lampu-lampu pecah

Mohd Adid Ab. Rahman
Taman Air Merah, Mersing

Hakikat dalam Ukhuwah

Di atas timbunan roh kasih sayang sesama insan,
hakikat ukhuwah Islamiah itu berpaksi satu iman,
berteras aqidah dengan tiada tuhan kecuali Allah.

Nawawee Mohama
Masjid Annur Pekara
Patani, Thailand
7 Julai 2011

Pabila Dunia Kita dipenuhi Momok Hitam

Ketakutan
semakin mendekati
sebelum subuh samar-samar
atau dinihari masih gelap
hinggalah ke hujung bulan
mengambang
menyuluh manusia dan alam
dalam bayang-bayang
di televisyen atau wayang gambar
di padang luas atau hutan belukar

Anjan Ahzana
Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Debat Rakyat

Hari ini kita berdebat sungguh hebat
bicara tentang manusia
yang gila perpaduan tapi lupa pegangan.
Hari ini kita berdebat begitu gamat
bersuara tentang rakyat
yang gila keadilan tapi buta perlembagaan.

Muhammad Ikhram Fadhly Hussin
Pasir Tumboh, Kot Baharu
24 Julai 2011

Masih Mencari

Sesekali aku melihat
dia mencari arah
lama di bangku itu
dia semakin dilupakan.

Abdullah AR
Bandar Seri Jempol
Mac 2009

Melayuku Masih tidak Menyedari

Melayuku masih jua tidak menyedari
bertelagah sehingga kini
berpecah berbelah bahagi
sedang perjuangan tak terselesai lagi.

Ehsan Jamily
Melaka

Berada Aku

Sekian lama
berada aku di bawah
pohon besar itu
yang meminjamkan
bayang-bayangmu.

Shahruddin Ismail
Taman Air Merah, Mersing

Tiada Punya Pengertian… .

Berbulan sudah bayang-bayang sendiri dilenyapkan
kerana ampuh tiada lagi
untuk bertahan di sini dengan kecewa penuh
namun masih mahu mengintai-intai
dari suatu kejauhan
kerana cinta masih ada.

Maliah Adenan
Petra Jaya

Penyair

(Masih) aku,
tidak menemui dirimu,
dalam ikatan kata-katamu,
seperti syair yang cerdik,
aku terdidik,
dari kata-kata terbaik.

Syaidul Azam Kamarudin
Pulai Indah, Johor

Bunuh

(i)
Sukarnya membunuh kejahatan
yang liat hayatnya.
Mudahnya membunuh kebaikan
dengan sekali tikaman kesumat.

Ridzuan Kamis
Sanggar Kayangan, Perlis

Seorang Tua di Bawah Pohon

Ketika angin petang memutar gelisahnya
daun-daun berguguran warna
jatuh ke lantai bumi
hitam di rumputan
geresah.

Jamaludin D
Chelford, Manchester

Alangkah Bertuahnya Kita

Alangkah bertuahnya kita
bunga di taman beraneka warna
harumnya semerbak pelbagai rasa
sekali dicium
diri menjadi segar serta-merta.

Kho Thong Eng
Kuching
25 April 2011

Di Mana

Tuhanku!
Di mana Maha Pemurah-Mu
di mana Maha Penyayang-Mu
ke mana kan kucari kasih-Mu
ke mana kan kucari nikmat-Mu
ke mana kan kucari rahmat-Mu

A. Aziz Deraman
Kuala Lumpur
23 Julai 2007

Himpunan Aksara-aksara Bernyawa

Kita menyebut kata ini
dengan penuh kemuliaan dan kesucian
walaupun ada bijaksana mengatakan kita
melacurkan kata
lalu kita menyucikan dengan hati, jiwa dan roh kita
inilah kata termulia dalam jiwa yang kita lafazkan
dari roh, rongga dan goncangan takungan jiwa kita

Poul Nanggang
Putera, Miri
Ogos 2009

Jendela

Bukalah jendela ini
yang seribu tahun sudah tertutup rapat
yang bisa masuk cuma cahaya kelam
melalui celah-celah yang suram.

A. Razak Adam
IPM, Melaka

Puisi dalam Gelap

Dengan tiba-tiba saja
semua lampu di gerai makan
Jalan Chow Kit malam itu
terpadam
lalu suasana menjadi gempar
bising serta riuh-rendah di sana sini.

Zahari Hasib
Teluk Intan, Perak

___

Puisi ini dipetik daripada Dewan Sastera September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks