Judul Hikayat Patani | Penyelenggara Siti Hawa Haji Salleh | Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka | Harga RM14.00 | Pengulas Adly Riyaz

HIKAYAT PATANI merupakan karya sastera sejarah yang menceritakan kota Patani, iaitu sebuah negeri Melayu yang kini merupakan wilayah Siam. Kisah tentang Raja Phaya Tu Kerub Mahajana, pemerintah Patani yang tinggal di Kota Mahligai. Apabila baginda mangkat, takhta baginda digantikan puteranya, Phaya Tu Antara yang menggelar dirinya Phaya Tu Naqpa. Pada masa pemerintahan bagindalah negeri Patani dibuka dan dinamakan Patani Dar as-Salam.

Islam berkembang di Patani semasa pemerintahan Phaya Tu Naqpa, putera Raja Phaya Tu Kerub Mahajana. Ketika baginda sakit, seorang Pasai yang beragama Islam bersetuju mengubatinya jika baginda memeluk Islam. Setelah pulih daripada sakitnya buat kali ketiga, barulah baginda bersetuju memeluk Islam dengan menggunakan nama Sultan Ismail Shah, diikuti oleh ketiga-tiga orang anaknya. Bermula dari detik itu, Islam berkembang pesat di Patani.

Semasa pemerintahan Sultan Mudaffar Shah, putera sulung Sultan Ismail Shah, perdagangan di Patani berkembang pesat. Terjalin hubungan antara Patani dengan Ayuthia dan Johor. Apabila Sultan Bahadur Shah terbunuh, Patani ketandusan waris lelaki untuk memerintah lalu tampuk pemerintahan diambil alih oleh raja perempuan. Raja Kuning ialah pemerintah terakhir sebelum salasilah diraja Patani berakhir.

Kemudian Patani bernaung di bawah seorang anak raja yang berasal dari Kelantan. Antaranya Raja Bakal, Raja Teluk, Raja Emas Jayam dan Raja Bendang Badan. Hikayat ini turut memberikan ringkasan tentang bendahara yang pernah memerintah kerajaan Patani. Antaranya Bendahara Kayu Kelat, Bendahara Bengkuh, Datuk Sagur, Datuk Bangrekam dan Datuk Tarab.

Dikisahkan juga peristiwa yang berlaku semasa pemerintahan Marhum Bongsu seperti kedatangan jong dari Cekeram kepunyaan Cau Hang. Tujuannya meminta gajah daripada Marhum Bongsu untuk dijinakkan. Pada bahagian akhir dijelaskan tentang alat permainan muzik kerajaan Patani dan cara menggunakannya. Hikayat ini tidak lari daripada kebiasaan penulisan sejarah tradisional, terutamanya hal yang berlaku di sekitar istana Patani. Penulisannya mementingkan golongan bangsawan dan mengesahkan kedudukan dan kepentingan golongan atasan ini. Turut dipaparkan pergolakan dalam kalangan raja Patani.

Penyebaran Islam berlaku dengan pesat di Patani. Walaupun ada bukti yang menunjukkan Islam berkembang dalam kalangan rakyat terlebih dahulu tetapi hikayat ini menyatakan yang sebaliknya. Hal itu bukan suatu keanehan kerana sifat hasil historiografi tradisional adalah mengagungkan pemerintah.

Terdapat fakta sejarah yang terkandung dalam hikayat ini adalah kekuasaan dan kekuatan politik kesultanan Patani. Pengarang bukan setakat menceritakan hal raja, pembesar dan peristiwa yang berlaku, malah menggambarkan bahawa Patani menjadi tempat tumpuan segala bangsa di timur. Negara jiran sangat menghormati Patani.

Dari segi bahasa, pengarang hikayat menggunakan bahasa Melayu klasik, bukan bahasa Melayu pantai timur. Terdapat juga selitan bahasa Arab, Jawa dan Siam. Oleh sebab terhasil dalam jangka masa yang panjang, tiap-tiap bahagiannya dihasilkan oleh pengarang yang berlainan. Naskhah ini wajar dibaca oleh generasi muda terutamanya untuk mendapat gambaran negeri dahulu kala. Maklumat tersebut dapat dibandingkan dengan kehidupan hari ini untuk dijadikan iktibar.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Mac 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks