Oleh FADLI AL-AKITI dan MUHAMMAD LUTFI ISHAK

DEWAN SASTERA bulan April berpeluang menjejak “Jebat Yang Asal”, Encik Kassim Ahmad di Kulim, Kedah untuk menelusuri kembali belitan sejarah dalam sastera dan hakikat kebenaran perwira Melayu bernama Hang Tuah dalam lipatan sejarah. Wawancara ekslusif ini tersiar dalam Dewan Sastera April (majalah bercetak). Ikuti wawancara tambahan berkenaan karya beliau yang masih berbisa dan masa hadapannya untuk sastera.

DS: Dalam satu wawancara dahulu, Pak Kassim ada mengatakan bahawa Pak Kassim sedang menulis novel yang bertajuk Zaman Pancaroba. Mengapakah masih tidak terbitkan lagi novel tersebut?

K: Kadang-kadang, apa yang saya mahu perkatakan sudah dilahirkan dalam bentuk yang berbeza. Misalnya, saya menulis buku yang bukan fiksyen. Yang terbaru, buku saya diterbitkan oleh sebuah penerbitan luar negara.

DS: Sajak?

K: Ada beberapa sajak yang belum terbit. Begitu juga dengan beberapa esei saya yang sudah diterbitkan dalam bahasa Inggeris. Memang dalam perancangan untuk mengirim ke penerbitan tertentu.

DS: Apakah nasihat Pak Kassim kepada golongan penulis muda hari ini?

K: Baca dan belajar daripada penulis-penulis agung, termasuk Tun Sri Lanang, Abdullah Munsyi, Zaaba, Tongkat Warrant, Keris Mas dan lain-lain. Pramoedya Ananta Toer, baca dan pelajari daripada mereka. Cuba mempelajari cara mereka. Kita mesti mempunyai cara sendiri, tetapi pengalaman sangat berharga. Ilmu ini sentiasa bertambah. Jadi, kita warisi yang baik. Golongan muda hari ini terlalu yakin tentang perasaan dan fikiran mereka. Akibatnya, mereka kurang belajar. Hal ini perlu diberikan teguran agar mereka mempunyai sikap tersebut. Saya ini dari muda ada sikap memberontak. Sebab itu saya suka membaca Hikayat Hang Tuah. Dalam Kemarau di Lembah, dalam sajak “Dialog”, saya tulis begini: Sekian lama kita hidup dalam setia, sekarang kita mati dalam derhaka. Sajak itu saya tulis ketika baru hendak masuk universiti, satu semangat pemberontakan yang ada dalam diri saya.

DS: Tentang ungkapan “Tuhan telah mati” daripada Nietzsche dalam “Sidang Roh”, yang menjadi kontroversi pada waktu tersebut. Sebenarnya, apakah konteks dan makna sebenar sajak tersebut?

K: Nanti akan padamlah, lampu di menara tinggi, kerana di bawahnya orang kian mabuk, dan tuhan telah mati. Ini saya petik daripada Nietzsche. Maksudnya, ajaran Tuhan itu sudah tidak ada dalam masyarakat kita. Dalam masyarakat yang begitu, maka tuhan telah mati. Sajak itu mesti dibaca secara keseluruhan, barulah maknanya akan didapati.

DS: Nietzsche pernah menghuraikan konsep ubermansch, iaitu adi manusia. Adakah kita boleh mengambil Hang Tuah sebagai manusia sempurna dalam konteks zaman itu?

K: Bagi saya, konsep manusia sempurna itu tidak logik kerana manusia tidak akan dapat mencapai kesempurnaan.

DS: Sebagai penulis, apakah karya sastera yang memberikan kesan kepada Pak Kassim?

K: Saya suka Tongkat Warrant kerana bahasanya yang cantik. Walaupun beliau tidak mendapat pendidikan yang tinggi, tetapi bahasanya memang indah. Bagi saya, beliau adalah satu anugerah. Selain itu, buku-buku Pramoedya Ananta Toer juga sungguh berkesan untuk saya. Begitu juga dengan Hikayat Abdullah. Ramai cerdik pandai Melayu menuduh Abdullah Munsyi ini sebagai tali barut penjajah. Itu silap sekali. Orang putih yang datang termasuk Raffles ke negara kita mempunyai dua sisi. Sisi yang pertama sebagai pegawai penjajah yang menerima dan melaksanakan arahan daripada England. Sisi yang kedua ialah beliau datang dari zaman Renaisance Eropah, sebagai seorang humanis yang melaksanakan aktiviti intelektual humanisme. Mereka mengkaji dan mengembangkan ilmu. Jadi, Abdullah tertarik dari segi ini, dalam sisi yang kedua. Beliau mengkritik para pegawai kolonial. Malangnya, ramai orang kita tidak mempunyai fikiran yang objektif. Banyak yang diajarkan oleh Abdullah Munshi kepada kita. Beliau banyak mengkritik raja-raja feudal Melayu yang menekan rakyat, yang menyuruh mereka berperang tanpa menjaga kebajikan. Kebanyakan mereka diperlakukan seperti hamba. Oleh sebab itu, kita mesti berfikiran logikal. Kita ambil yang baik, buang yang buruk.

DS: Pak Kassim sekelas dengan Ismail Hussin dan Shahnon?

K: Ya ya. Sekelas dengan mereka. Shahnon ini lain sikit, dia pemalu. Dia tak terus sambung universiti. Beliau bekerja sebagai polis dan guru, sebelum ditawarkan belajar di Australia. Hubungan saya dengan beliau baik sampai sekarang.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks