Oleh FADLI AL-AKITI dan FADZLY MOHD. FAIRUZ

PADA 6 MAC 2012, sebuah Forum Sastera telah diadakan di Dewan Seminar, Menara DBP untuk membicarakan ketokohan “Hang Tuah Wira Bangsa”. Empat ahli forum telah diundang; Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Khoo Kay Kim (KKK), sejarawan negara, Profesor Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd. Yusoff Hashim (MYH), Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka, Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (MS), Felo Kanan Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia serta Dr. Lalita Sinha (LH), Penyelaras Kursus Wawasan Open University. Forum ini telah dipengerusikan oleh Profesor Dato’ Dr. Md. Salleh Yaapar (MSY), Naib Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ikuti forum lengkap dalam Dewan Sastera April (majalah bercetak).

MSY: Wacana ini bertujuan mengamati Hang Tuah sebagai “wira bangsa” yang penuh bermakna di Malaysia malah di seluruh Nusantara. Hang Tuah menurut sumber Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah, bukan sahaja seorang pahlawan handalan, dia juga seorang duta dan negarawan budiman. Sebagai wira, Hang Tuah telah menjadi “naratif agung” (grand narrative) yang meresap ke dalam kesedaran bangsa Melayu dan umat Nusantara. Malah, dia telah menjadi sebahagian daripada ekspresi simbolik dan warisan pemikiran rakyat Malaysia. Untuk mengupas mauduk penting ini, DBP telah mengundang empat tokoh arif yang pernah menulis dan memperkatakan tentang Hang Tuah.

KKK: Pertama sekali, saya ingin menjelaskan, saya tidak kata Hang Tuah tidak pernah wujud. Yang saya kata ialah, kita tidak ada bukti yang meyakinkan bahawa Hang Tuah tidak wujud. Saya timbulkan nama Hang Tuah dalam konteks yang berlainan. Saya masuk seminar masyarakat Melayu, setiap kali saya beri ceramah kepada golongan muda, saya tanya mereka, siapa orang Melayu pertama yang jadi doktor? Siapa orang Melayu pertama yang jadi Malayan Civil Service? Mereka tidak tahu. Jika kita di Kuala Lumpur, kita nampak Jalan Hang Tuah. Kenapa nama ketua Mandailing yang menjadi perintis pembuka Kuala Lumpur tidak ada?

Sejarah biasa dikatakan bermula pada zaman kerajaan Kedah dan Melaka, lebih kurang pada abad ke-12 sampai sekarang. Takkan sejarah berhenti pada abad ke-19? Apa sudah berlaku? Semua perlu dicatatkan dalam buku. Seolah masyarakat Melayu ini mundur. Apa yang jadi pada abad ke-19 dan ke-20 kita tidak tahu. Misalnya, Datuk Abdullah Dahan, orang Melayu kedua yang menjadi ahli Majlis Persekutuan. Beliau banyak memperjuangkan orang Melayu, mencadangkan pertubuhan Askar Melayu. Jadi soalan saya, apakah kita lupa sebahagian besar masyarakat bila golongan muda tidak tahu apa yang sudah berlaku? Macam mana kita boleh mendorong mereka untuk buat persiapan supaya bersedia ke peringat global?

Lihat bagaimana Cina Komunis merancang masa depannya. Apabila parti Komunis berkuasa pada tahun 1949, Han Sui Yin berbicara dengan Ca Win Lai, “Adakah komunisme muktamad buat China?” Dia menjawab, “Selepas komunisme, perkara baik akan berlaku.” Lihat China sekarang, sudah menjadi kapitalis, memasuki Sri Lanka, Afrika dan mula bersaing dengan Amerika dalam bidang ekonomi. Perubahan sangat penting. Kita tidak boleh hidup statik. Tun Dr. Mahathir sendiri pernah dianggap Negara China sebagai jurucakap tidak rasmi dalam hubungan antarabangsa.

Selepas insiden pemberontakan askar di India, British tidak mahu orang Melayu bangkit, dan sebab itu hanya golongan atasan sahaja yang dapat belajar di sekolah Inggeris. Jadi kerana itulah orang Melayu tidak dapat bersaing, sedangkan orang bukan Melayu bebas belajar dalam sekolah Inggeris. Kalau kita membaca sejarah, tidak banyak tulisan tentang masyarakat Melayu pada zaman moden. Yang ada hanyalah berbentuk romantik ada bangsawan, seperti karya P. Ramlee yang buat semua orang muda tertawan, jadi mereka tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Sejarah Malaysia ini amat luar biasa. Di seluruh dunia, tidak ada negara yang diperintah dua orang raja, tetapi Malaysia ada sembilan. Kebanyakan negeri guna gelaran sultan. Tetapi untuk menggunakan gelaran sultan perlu ada daulat. Raja Lumu, ketua orang Bugis yang tiba di Selangor untuk ditabalkan, terpaksa berangkat ke Perak menghadap Sultan Mahmud. Mengapa Sultan Perak? Kerana pengasas Sultan Perak, Sultan Muzaffar Shah berasal daripada kerabat Diraja Kerajaan Johor dan daulat Kerajaan Johor adalah daripada Sultan Iskandar Zulkarnain. Raja Melayu tidak bergantung kepada Hang Tuah untuk mendapat daulat. Orang biasa sebut keris Taming Sari, tetapi saya kata di istana Perak, selain daripada keris Taming Sari, ada pedang Iskandar Zulkarnain, Cura Si Manja Kini yang lebih penting. Ada orang kata saya tidak hormat sistem beraja bila saya kata Hang Tuah itu mungkin tidak wujud. Sistem beraja Melayu tidak bergantung kepadanya.

MYH: Saya memfokuskan Hang Tuah sebagai wira bangsa kerana melihatnya sebagai laksamana dan ini ditambah dengan kebolehannya. Keistimewaan yang ada padanya menyebabkan dia boleh memegang jawatan yang tertinggi sekali di Malaysia, “Laksamana” yang mana jawatan ini diwarisi sampai ke hari ini, Laksamana Panglima Laut DiRaja. Saya ingin merungkai sedikit mengenai Hang Tuah dalam konteks tradisi sejarah warisan Melayu Malaysia dalam kesinambungan dan perubahan dari dulu sampai ke hari ini. Ada 52 naskhah Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu dalam pelbagai edisi dan versi. Kesemua 52 naskhah secara konsisten menyebut Hang Tuah, siapa Hang Tuah, asal-usulnya, sahabatnya dan keluarganya. Hang Tuah ada dua orang isteri. Kemudian anaknya Tun Biajid melahirkan zuriat, salah seorang zuriat adalah Khoja Hassan dan Hang Nadim yang menjadi laksamana Johor. Itu hakikat sejarah. Kemudian, dia meninggal dunia, dimakamkan di Tanjung Keling. Maka saya merasa lega bila mahaguru saya (Prof. Khoo) mengatakan Hang Tuah memang wujud. Sumber itu barangkali boleh dikata kurang menyakinkan. Kini kita dalam proses meyakinkannya.

MS: Ada lebih kurang 40 manuskrip Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah di seluruh dunia, ratusan cerita lisan yang masih dikarang di seluruh kepulauan Melayu, sepertimana di Gunung Ledang. Ada kalangan ahli silat yang meyakini secara sejarah, ilmu silat yang mereka dapat datang daripada Hang Tuah. Filem dan drama pula membawa tafsiran sendiri. Maka, kita dapat pelbagai rasa, tafsiran dan pemikiran tentang Hang Tuah daripada pelbagai sumber ini, yang mana kesimpulannya sudah tentu baik dan juga buruk. Satu-satunya yang baik adalah Hang Tuah masih hidup, difikirkan dan terus relevan tentang kesetiaan, penderhakaan serta nilai-nilai yang menjadi teras kepada bangsa kita.

LSi Apabila kita meneliti pesona Hang Tuah seperti yang digambarkan dalam Hikayat Hang Tuah, kita dapat menyerlahkan kelainan dunia yang kudus (sacred universe), yang mana suatu perbandingan dilakukan, baik dalam meneliti persamaan atau perbezaan positif yang dapat mewujudkan unsur-unsur keserasian dan harmoni antara budaya, yakni antara sanskrit Hindu dengan Melayu Islam. Kajian saya berasaskan pendekatan ahli tradisional, yang mana berasaskan kepada prinsip “falsafah malar” (perennial philosophy) yang mana ahli falsafahnya akui wujudnya dimensi zahir (eksoterik) dan batin (esoterik).

Apabila kita membaca episod Hikayat Hang Tuah yang dinyatakan, kita dapat melihat unsur-unsur yang berkaitan dengan perspektif spiritual Hindu. Hang Tuah mampu “berbahasa Keling”, kaya dengan budi bahasa dan mahir dalam pertuturan. Perspektif tradisi spiritual Hindu melihat keupayaan bercakap sebagai shabda (bunyi, pertuturan) yang mewujudkan artha (yang bermakna). Manusia merupakan satu-satunya ciptaan tuhan yang diberi keupayaan ini. Keupayaan ini membentuk peribadi dan budaya manusia, berdasarkan kepada shabda brahman (bunyi yang unggul).

___

Fokus ini dipetik daripada Dewan Sastera April 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks