Judul Cerita-cerita dari Abdullah Munshi | Pengarang Abu Yazid Abidin | Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka | Harga RM14.00 | Pengulas Ariq Ashraf

BUKU INI menghimpunkan 11 cerpen hasil karya Abdullah Munsyi yang dihasilkan sepanjang penjajahan Inggeris dan Belanda. Ada kisah tentang beliau sendiri dan hal yang berlaku di sekelilingnya. Cerpen dalam buku ini sangat menarik kerana kisah seumpamanya mungkin tidak berlaku pada hari ini kerana Abdullah mencatatkan kisah yang berlaku pada zamannya.

Cerpen “Tan Hitam” adalah tentang kekejaman Barat semasa menjajah Melaka. Tan Hitam berpengalaman dan mengetahui sejarah Melaka hingga zaman penjajahan. Dia mengetahui sejarah kepahlawanan silam hingga zaman anak jajahan ditindas. Dia saksi pada banyak peristiwa sepanjang pemerintahan Portugis, Belanda dan Inggeris.

Cerpen “Abdul Kadir” adalah tentang Abdul Kadir yang dibenci oleh orang Singapura kerana terlalu dimanjakan oleh Sultan Hussain Shah. Oleh sebab sering diganggu, Abdul Kadir mengikut sultan meninggalkan Singapura menuju ke Melaka. Di Melaka dia dilantik sebagai Tengku Muda dan dikahwinkan dengan anak Sultan. Nasib Abdul Kadir bertukar malang apabila Sultan meninggal dunia.

“Musim Buah-buah Jadi” adalah tentang kehidupan Orang Asli. Diselitkan perihal berburu, adat perkahwinan, dan saat melahirkan anak. Antara adat unik mereka adalah berpindah dari suatu kampung ke tempat lain jika berlaku kematian. Bagi mereka kematian bermakna kampung yang terdahulu  membunuh orang yang mereka sayangi.

“Naro dan Dongi” tentang kedua-dua watak tersebut yang menjadi hamba abdi yang diperdagangkan di Singapura.  Naro dapat mengelak daripada diperdagangkan dan bekerja dengan Pak Sulong. Isterinya akan dibeli oleh saudagar yang buncit. Untuk melepaskan isterinya, Naro berpura-pura ingin membeli Dongi walhal dia tidak mempunyai wang. Sesampai di rumah Naro memukul saudagar lalu melarikan Dongi.

Cerpen “Tuan Penyapu” berlatarkan zaman penjajahan Belanda. Sangkaan mereka bahawa Belanda lebih baik daripada Inggeris meleset kerana cukai bertambah. Setiausaha gabenor yang bernama
van Goor gemar mendenda orang yang tidak menyapu kawasan rumah sehingga digelar Tuan Penyapu.

Perjalanan hidup Abdullah sebagai suami isteri diceritakan dalam cerpen “Abdullah dan Isteri”. Setelah berkahwin, Abdullah berhijrah ke Singapura untuk mengajar bahasa Melayu kepada Inggeris. Nasib malang menimpa Abdullah apabila anak perempuannya meninggal. Isterinya pula meninggal dunia ketika bersalin, lalu dia berangkat menuju Singapura bersama anak-anaknya.

Cerpen Abdullah turut merakamkan perang saudara yang meletus di Kelantan dan Tengku Temena yang membantunya semasa dalam pelayaran ke Kelantan. Cerpen bertajuk “Abdullah Bertaruh Nyawa” juga tentang pelayaran Abdullah ke Kelantan untuk menyampaikan utusan Inggeris. Sebagaimana perjalanan pergi, perjalanan balik juga diselubungi suasana ngeri. Hanya pengalaman yang dapat menenteramkan hati Abdullah dan kumpulannya.

Terdapat cerpen “Kongsi Gelap”, “Abdullah dan Isteri” dan “Baba Goh Ann” dalam buku ini. Ceritanya juga menarik dan mampu memberikan idea yang baharu kepada penulis baharu. Lihat bagaimana Abdullah merakam kisah silam dalam cerpen yang dihasilkan dan sesuai untuk tujukan sejarah.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera April 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks