Oleh HAFID IMAM IMAN

MUSTAFA SADIQ AL-RAFI’E merupakan tokoh sasterawan Mesir pada awal kurun ke-20. Nama beliau sebaris nama besar seperti Taha Hussein, Mahmud Abbas al-Aqqad, Mustofa Lutfi al-Manfaluti, Salamah Musa, Ahmad Lutfi al-Saiyid, Ahmad Rami, Ahmad Shawqi dan Hafiz Ibrahim. Beliau bersama-sama tokoh sasterawan inilah berjaya membuka mata rakyat Mesir dan bangsa Arab agar mereka melihat bahasa dan sasteranya dalam bentuk dan gaya yang baharu. Mereka menggerakkan bahasa dan sastera serta mengayakannya hingga bertapak kukuh sehingga kini.

Istimewanya pemilik nama Mustafa ini kerana beliau mempelopori penulisan bentuk prosa syair dan penulisan makalah dalam gaya yang amat unik, sedangkan beliau seorang yang pekak dan tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah tinggi, apatah lagi ke menara gading. Beliau hanya memperoleh sijil pendidikan asas ketika berusia 17 tahun. Mustafa tidak mendapat pendidikan rasmi di sekolah, namun beliau tidak tertutup daripada mencari ilmu dan tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung walaupun mengalami kecacatan yang dianugerahkan Ilahi.

Itulah Mustafa Sodiq al-Rafi ’e yang dilahirkan sempurna oleh ibunya di Tanta pada tahun 1880. Walaupun kedua-dua ibu bapanya berbangsa Syria yang berhijrah ke Mesir, mereka tidaklah merempat kerana ilmu yang ada pada mereka. Bahkan ibu bapanya, jika ditelusuri salasilah keluarganya akan bersambung kepada Umar al-Khattab, salah seorang khalifah Islam yang agung. Ahli keluarganya banyak yang menguasai ilmu Syariah dan fikah yang bertunjangkan al-Quran.

Oleh sebab itu, ramai yang dapat menguasai bidang kehakiman dan bekerja di mahkamah. Begitu juga bapa beliau, Sheikh Abd al-Razzaq Sa’id al-Rafi ’e seorang yang dihormati dan sebelum dilantik secara tetap sebagai ketua mahkamah Syariah di Tanta, pernah berkhidmat di beberapa wilayah di Mesir. Penekanan agama dititikberatkan oleh ibu bapa Mustafa kerana mereka percaya dan yakin bahawa al-Quran itu sumber ilmu. Oleh sebab itu, al-Rafi ’e diajar tentang agama Islam sejak kecil lagi dan belajar membaca al-Quran dengan bimbingan ibu bapanya. Mustafa berjaya menamatkan hafazan al-Quran pada usia 10 tahun.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera April 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks