Oleh MUHAMMAD HAJI SALLEH (SASTERAWAN NEGARA)

BANYAK PENGARANG LUAR dan dalam negara cuba mencari roh Melayu/Malaysia. R.O. Winstedt, R.J. Wilkinson, Hugh Clifford, Joseph Conrad serta Frank Swettenham melakarkan sketsa cubaan mereka – daripada bentuk jasmaniah hinggalah kepercayaan rohaniah mereka. Pandangan hidup mereka dijadikan garis utama dalam gambaran bangsa yang lebih menyeluruh.

Senarai yang dideretkan di atas ialah nama pengarang dari Britain, daripada bangsa yang menjajah orang Melayu dan negeri mereka. Maka sudut pandangan mereka juga semestinya terpalit oleh prasangka penjajah. Namun ada sebuah novel oleh seorang pengarang berbangsa Perancis, iaitu Henri Fauconnier, yang agak berlainan pendekatannya. Karyanya ini diterjemahkan sebagai Malaisie atau The Soul Of Malaya, yang memenangi Hadiah Goncourt, setaraf Pulitzer. Fauconnier pernah menjadi pengurus sebuah estet di Selangor pada tahun 1920-an, dan pengalaman inilah yang menjadi asas penerokaannya untuk menemukan roh Malaya dan orang Melayu.

Novel ini penuh kejutan intelektual – bukan sahaja dalam bahasanya, tetapi juga wawasannya tentang orang Melayu. Beliau tidak begitu murah hati terhadap pekerja Tamil, yang dianggap sebagai buruh, kerana mereka dituntut menghasilkan untung sebesar mungkin.

Namun dengan orang Cina dan Melayu yang diwakili seorang tukang masak berbangsa Cina dan Smail serta adiknya Ngah, sikap Fauconnier lebih terbuka dan lebih bersedia untuk memahami perbezaan dan kelainan. Mereka dilihat sebagai individu dan tidak dikaburkan oleh kelakuan kumpulan atau sifat bangsa yang umum.

Orang Melayu dapat dikategorikan sebagai “dialain”,  istilah saya untuk the other – yang sangat berlainan dari Perancis, dan oleh itu mendesak supaya mereka difahami, suatu bangsa yang tumbuh dari suatu persekitaran khusus tropika pula – semuanya berlainan dari Perancis.

Dalam suatu pemerian orang Melayu oleh Lascale, pengisahannya, sudut pandangan penjajah sangat berperanan dalam penilaiannya:

What interests us is what serves our interest – and the Malays are not servile… We refer to the population of the country as ‘labour’….   But the Malays do not at all wish to be considered in this light. Their point of view is contrary to ours. They can easily  get their daily rice by working one day a week and they ask for no more. All fatigue is useless and harmful. Life is long, – why hurry.”

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera April 2012.

Be Sociable, Share!