Oleh SHAHNON AHMAD (SASTERAWAN NEGARA)

PERWATAKAN adalah salah satu aspek kreativiti dalam karya sastera. Sungguhpun boleh dianggap klise, kerana sering dibincangkan zaman berzaman, sebagai sasterawan sudah pasti mengenal, menghayati dan mempraktikkan ciri perwatakan ini. Hal ini bukan sahaja antara ciri terpenting dalam penciptaan karya fi ksyen tetapi merupakan satu aspek yang terlalu banyak dieksploitasi oleh para sasterawan, terutama yang kental dan teguh daya kreativitinya.

Lapan puluh lima tahun yang lampau, E.M. Forster membicarakannya dalam karyanya yang pernah “laris” (best-seller) iaitu Aspects of the Novel (1927). Hingga kini pun karya ini masih dijadikan rujukan utama para sasterawan dalam proses penciptaan genre fiksyen mereka.

Pada asasnya, watak adalah manusia yang mendukung perutusan sasterawan dalam pelbagai aspek, memanipulasikannya dalam pelbagai liku dan hubungannya dengan sesama watak, baik secara dialog mahupun secara pelbagai lapisan tautan yang lebih implisit.

Ada perwatakan yang digelar watak bulat, iaitu watak dalam karya yang diberikan segi perwatakannya sehingga dapat dibezakan daripada watak yang lain. Kadang-kadang watak bulat ini dapat mengejutkan khalayak pembaca kerana terungkap perwatakan di luar jangka. Sebagai sesuatu yang bulat seperti bola, watak ini mampu bergolek ke mana-mana sahaja dan bagaimana sahaja untuk mencari identitinya.

Ada pula watak pipih yang hanya diungkapkan dalam satu segi sahaja perwatakannya, laksana jalan satu hala yang tidak punya simpang-siurnya. Watak pipih dikembangkan secara maksimal dan apa-apa yang diwatakkan tidak menimbulkan kejutan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera April 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks