Oleh VICTOR A. POGADAEV

SEHINGGA TAHUN 1957, Malaysia sebahagian daripada empayar jajahan British, maka bahasa Inggeris menjadi alat komunikasi utama dalam pergaulan rasmi dan perniagaan di semua peringkat. Pendidikan gaya Eropah bagi Bumiputera diperkenalkan pada skala yang sangat terhad, dan buku terjemahan bahasa Melayu, selain daripada untuk tujuan praktikal atau persekolahan hampir tidak ada. Hanya segelintir kecil penduduk yang menguasai bahasa Inggeris berpeluang untuk berkenalan dengan sastera dunia, termasuk sastera Rusia dalam terjemahan bahasa Inggeris.

Selepas mencapai kemerdekaan, bahasa Melayu menjadi secara rasmi dan bahasa kebangsaan di negara ini. Dasar digubal dan memindahkan pengajaran di semua sekolah dan universiti yang baru ditubuhkan ke bahasa Melayu selama 20 tahun. Sehubungan itu, buku asing mula diterjemahkan secara meluas, walaupun kebanyakannya buku teks sekolah. Program khas mengenai terjemahan sastera waktu itu belum disusun. Kerja terjemahan dilaksanakan secara tidak teratur dan kebanyakannya atas daya usaha peminat individu. Contohnya, kumpulan cerita Gendang Kosong dan Dongeng Lain oleh Leo Tolstoy (1958, edisi kedua 1961), dan novel Cinta Pertama oleh Ivan Turgenev (1961) yang diterjemahkan oleh Asraf, salah seorang ahli gerakan ASAS 50.

Pada waktu itu, Indonesia secara aktif menerbitkan terjemahan sastera Rusia. Sebahagian daripada terjemahan itu sampai ke Malaysia kerana dekatnya bahasa Melayu dan bahasa Indonesia, maka karya terjemahan tersebut dapat juga dinikmati oleh orang Melayu. Antaranya novel Ibunda oleh Maxim Gorky yang diterjemahkan ke bahasa Indonesia pada tahun 1956 oleh penulis Indonesia terkemuka, Pramoedya Ananta Toer.

Menurut dua orang pengasas gerakan sastera Melayu ASAS 50, Sasterawan Negara (SN) Usman Awang  dan SN A. Samad Said, novel Ibunda bukan sahaja popular dalam kalangan intelektual ketika itu, tetapi menjadi “panji” ASAS 50 yang berslogan “Sastera untuk Masyarakat”. Sebagaimana yang dinyatakan oleh A. Samad Said, “Karya pujangga Rusia yang rata-ratanya sangat berjejak di bumi itu membantu memahamkan saya akan kehidupan semasa yang saya lalui pada saat itu. Kami dalam ASAS 50 mula sedar akan kewujudan dunia harian yang sangat beragam, bermatlamat dan bermartabat”.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera April 2012.

Be Sociable, Share!