Oleh NORIAH TASLIM

SALAH SEBUAH PUISI LISAN yang amat menujah akal  kerana kebijaksanaan Penciptanya mengungkap keperihalan kehidupan yang biasa (hari menjelang siang) dalam bentuk seni yang amat indah dan mengagumkan, iaitu puisi “Alamat Hari Nak Siang”. Lebih daripada itu, puisi ini seperti puisi lisan lain yang sarat makna, berselirat dengan pelbagai tanda yang membuka kepada pelbagai tafsiran tentang manusia dan alam sekitar. Khususnya puisi ini membawa kita memahami kepekaan, kesedaran dan tanggapan manusia tradisional tentang diri dan alam sekitar. Sebelum puisi ini digunakan untuk perbincangan, penulis perturunkannya untuk tatapan bersama-sama:

Tengah malam sudah terlampau
dinihari belum lagi tampak
budak-budak dua kali jaga
anak muda pulang bertandang
orang tua berkalih tidur
embun jantan rintik-rintik
berbunyi kuang jauh ke tengah
sering lanting riang di rimba
melenguh lembu di kandang
sambut menguak kerbau di ladang
berkokok mendung merak mengigal
fajar sidik menyingsing naik
kicak-kicau bunyi murai
tabtibau melambung tinggi
berkuku balam di hujung bendul
terdengut puyuh panjang bunyi
puntung sejengkal tinggal sejari
itulah alamat hari nak siang.

Puisi ini memberikan “tanda-tanda” hari akan siang; sama seperti amalan lumrah manusia silam,  puisi ini mengukur masa melalui cara yang paling logik dan sebati dengan kehidupan, yakni dengan memerhati perubahan alam di sekitar. Manusia tradisional tidak pernah mengenal masa yang objektif (walaupun bacaannya tepat) kerana masa ditafsirkan melalui tanda-tanda alam – seluruh komuniti alam, cakerawala, fenomena dan gerak-geri alam.

Dalam amalan seharian, pengukur masa yang paling popular ialah peredaran matahari – maka kita temui konsep waktu seperti “terang-terang tanah/ rabun-rabun tanah”, “matahari tinggi segalah”, “matahari di pucuk kelapa”, “matahari tengah kepala”, “tergelincir matahari”, “matahari condong ke barat” dan “matahari tenggelam”. Namun begitu, oleh sebab masa yang diukur adalah waktu malam, maka kepekaan dan pemerhatian manusia beralih kepada tanda alam lain yang dapat dibacanya sebagai penanda peralihan pada waktu malam, khususnya waktu menjelang pagi.

Demikian dalam puisi ini diberi pelbagai tanda penunjuk masa (sebelum dinihari) – bunyi (unggas dan kerbau/lembu) gerak-geri (merak mengigal, taptibau melambung tinggi), angin [(mood) sering lanting riang di rimba], fenomena alam (embun jantan rintik-rintik), warna alam (fajar sidik menyingsing naik – warna putih di ufuk timur), hawa malam (paling sejuk, sehingga wap bertukar menjadi embun).

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera April 2012.

Be Sociable, Share!