Oleh FADLI AL-AKITI

SASTERAWAN NEGARA DATO’ A. SAMAD SAID tentu sibuk bulan ini. Menjelang usianya 77 tahun, A. Samad Said, atau lebih senang dikenali sebagai “Pak Samad” oleh peminatnya akan menuju ke jalanan dan aktif berprotes. Cukup manis sekali apabila semua ini akan berlangsung, tiga buah buku (yang ditunggu-tunggu peminat) terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia dilancarkan pada 7 April 2012 di Coffee Club Express, Kinokuniya, Suria KLCC. Acara ini amat bermakna sekali kerana bulan April merupakan bulan kelahiran Pak Samad, hanya dua hari sebelum tarikh rasmi lahirnya (9 April 2012).

Majlis ini telah dirasmikan oleh Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan,  berserta Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Encik Mohd Khair Ngadiron dan Presiden PENA, Dr. Saleeh Rahmat. Beberapa tetamu terkenal seperti U-Wei Haji Shaari, Profesor Madya Dr. Lim Swee Tin, Dr. Victor Pogaedev, Meor Hashim Manaf, kumpulan Kopratasa, Rahimidin Zahari telah datang memeriahkan majlis. Kebanyakan rakan Pak Samad serta penulis muda, yang turut menyumbangkan “suara hati” mereka buat buku unik, Pak Samad: Di Mata Kami turut hadir. Buku menarik itu turut memuatkan beberapa editor dan pegawai perancang bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka yang mengenali Pak Samad secara dekat, seperti Tuan Haji Yussop Isahak, Encik A. Wahab Hamzah dan Zaiton Ajamain. Kulit buku itu memikat kebanyakan hadirin pada petang itu, menyerupai “wajah manusia” dengan paparan tanda tangan dan cermin mata bulat Pak Samad, mengingatkan para hadirin kepada kulit album John Lennon. Buku biografi pertama Pak Samad, A. Samad Said: Memberi Hati Nurani, disusun oleh Dr. Rosnah Baharudin turut dilancarkan. Buku ini mengisahkan liku-liku kehidupan Pak Samad selain mengetengahkan nilai pemikirannya terhadap aspek sosial, ekonomi dan politik yang tersirat halus dalam kesemua karyanya. Paling “ditunggu-tunggu” tentulah himpunan 101 puisi kanak-kanak Pak Samad, Rinu Ibu yang diterbitkan bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia dan Wira Bukit Sdn. Bhd. Puisi yang terkandung di dalamnya sarat mesej penuh teladan yang sesuai untuk difahami dan dihayati oleh kanak-kanak, malah setiap bait puisi beliau mudah diungkap dan indah dituturkan yang selayaknya untuk menjadi bahan bacaan kanak-kanak menjelang usia remaja.

Majlis ini turut diraikan dengan persembahan akustik Az Samad, anak Pak Samad sendiri, berserta nyanyian puisi kumpulan Kopratasa.

Be Sociable, Share!