Oleh FADLI AL-AKITI

SASTERAWAN NEGARA PROFESOR EMERITUS DR. MUHAMMAD HAJI SALLEH menyatakan pada Wacana Manuskrip Melayu “Hang Tuah: Adiwira Dunia Melayu”, bahawa Hikayat Hang Tuah tidak ada tolok bandingannya dalam keaslian penulisan, sama ada dalam penceritaan ataupun pemikiran, sehinggakan penulis “tanpa nama” epik agung Melayu tersebut terpaksa mencipta “bahasa baharu” khusus untuk menjelmakan penceritaan yang lancar kisah pahlawan “Takkan Hilang Melayu Di Dunia” itu.

Wacana yang telah dipengerusikan oleh Sayed Munawar ini telah diadakan pada 25 April 2012 (Rabu) bertempat di Anjung Wisma Sejarah, anjuran Perpustakaan Negara Malaysia dan Persatuan Sejarah Malaysia. Wacana kali ini menampilkan dua orang panel, Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dan Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong Melaka, Encik Khalid Hussin. Kedua-dua orang panel ini membentangkan kertas kerja masing-masing bertajuk “Kerelevan Hang Tuah Pasca Kesultanan Melayu Melaka” dan “Hang Tuah Dari Sudut Pandang Waris Keturunan”. pahlawan hebat Melayu itu.

Menurut Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Puan Nafisah Ahmad, wacana ini merupakan siri kedua daripada empat siri wacana manuskrip Melayu yang akan dilaksanakan pada tahun ini. Program ini merupakan program berkala yang mengetengahkan pelbagai tajuk khusus berdasarkan naskhah karya manuskrip Melayu yang meliputi bidang sejarah, agama, bahasa, sastera, kenegaraan, perubatan dan sebagainya.

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia, Tan Sri Omar Mohd Hashim turut meraikan majlis. Tuan Haji Ali Badrun Sabor, panglipurlara terkenal yang masih mewarisi bakat panglipurlara tradisional telah memberi persembahan yang cukup menggelikan hati, turut memberi pandangannya terhadap Hang Tuah yang “walaupun hebat, masih ada cacat celanya sebagai seorang manusia”.

Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh turut menyatakan “Sulalatus Salatin Shakespeare kita” dan menyimpulkan Hikayat Hang Tuah penting ditelaah kerana Roman Melayu itu satu-satunya bahan sastera sejarah yang menyelami akal budi bangsa Melayu. Kehebatannya terserlah kerana dalam masa 300 tahun, karya ini masih diperbicarakan oleh pelbagai sasterawan dan sejarawan. Muhammad Haji Salleh juga telah menerangkan banyak hal yang beliau sudah kupas dalam kolum Dewan Sastera Mac 2012 serta forum yang telah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini. Dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah digambarkan bukan sahaja sebagai tokoh pahlawan, pentadbir dan pegawai negara, tetapi seorang duta, pengembara dan ahli seni. “Sekolah perlu didedahkan dengan genius kita (Hikayat Hang Tuah, Sulalatus Salatin) sepertimana Shakespeare diperkenalkan kepada murid sekolah rendah di England,” tambahnya lagi.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks