Oleh FADLI AL-AKITI

PENGERUSI Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong Melaka, Encik Khalid Hussin dengan tegas menyatakan Melaka tidak pernah “kalah” dalam peperangan mereka dengan askar Portugis. Konteks kekalahan tidak berlaku kerana tiada perjanjian yang dibuat untuk memeterai “kekalahan” pihak Melaka kepada Portugis. Mereka hanya “berundur”. Peperangan untuk merampas Melaka tetap diteruskan.

Encik Khalid pada Wacana Manuskrip Melayu “Hang Tuah: Adiwira Dunia Melayu” anjuran Perputakaan Negara Malaysia dan Persatuan Sejarah Malaysia, berani menegaskan hal ini berdasarkan pengkajiannya yang mendalam terhadap manuskrip lama simpanan keluarga besarnya di Kampung Duyong, Melaka, yang kini di dalam simpanan Perpustakaan Negara Malaysia. Walaupun versi yang dinamakan sebagai “Hikayat Hang Tuah versi Tun Kola” berbeza daripada isi kandungan versi A. Samad Ahmad, serta kebanyakan kertas-kertasnya sudah berkecai dan tidak boleh dibaca (Md Yaacob Abdullah), Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh menyatakan, kesemua versi yang disimpan dalam Perpustakaan Negara Malaysia masih ada “kesatuan” dalam bentuk tema dan wajah perwira agung itu. Tun Kola didakwa sebagai sepupu Hang Tuah, syahid sewaktu memerangi askar Portugis. Manuskrip ini dikatakan ditulis sebelum Tun Kola bertempur dengan Portugis.

Encik Khalid menyatakan, ┬áHang Tuah juga asalnya digelar “Tun Tuah”. Gelaran “Hang” dianugerahkan kepada Tun Tuah apabila diangkat oleh sultan. Persoalan seperti “ghaib” juga telah lama dikelirukan dalam pemahaman riwayat Hang Tuah. Beliau menjelaskan, “ghaib” yang dinyatakan dalam Hikayat Hang Tuah bermaksud “menghilangkan diri/membawa diri”, mengikut konteks perkataan Arab yang dipinjam, bukan bermaksud hilang secara tiba-tiba tanpa jasad seperti yang selalu diperkatakan oleh orang ramai. Encik Khalid mendakwa, Hang Tuah “ghaib” ke Palembang, malah makam Hang Tuah telah dijumpai ada di Palembang, sepertimana makam ayah Hang Tuah, Tun Jaya Alam yang tertanam di Pulau Besar, Melaka.

Encik Khalid turut membaca transkrip yang dirumikan daripada manuskrip versi Tun Kola dalam jawi sebagai bukti:

Laksamana balik ke Duyong lalu duduk termenung di rumah Tun Kola bercakap atas dirinya yang terkena fitnah tak sudah-sudah. Selagi ia ada di kampung ini atau dalam Negeri Melaka tidak menyenangkan hati, “Biarlah aku pergi ke lain tempat membawa diriku dan nasibku. Jika ada lagi aku dalam tempat ini akhirnya mendapat malu juga kesudahannya dan Tuhan tahu siapa yang bersalah dan yang benar.”

Lalu Laksamana memanggil saudara-mara semua, Tun Kola, Tun Kajang, Tun Baru, Tun Tanjung, Tun Matang dan lain-lain saudara lalu berkata, “Aku akan berlayar ke Palembang di rumah Tengku Alam. Tiada aku balik lagi ke Melaka walau rakyat Melayu menjadi abu atau menderita sekalipun dan menangis air mata yang berdarah. Saudaraku dan anak-anak cucuku tengok sahajalah apa jadinya tak sesudah padah celaka datangnya.”

Lalu masing-masing menangis memberi nasihat jangan meninggalkan Melaka ini negeri yang bertuah. “Jawab jika aku dan engkau semua kaca disebut orang kaca juga takkan boleh jadi intan baiduri,” kata Laksamana Hang Tuah. “Jika siapa cari atau mahu berjumpa baik ada Tuanku, menterinya dan rakyat Melaka sekali, bagitau aku pergi bertapa di Gunung Ledang atau ke Pahang. Jangan bilangkan aku berlayar ke Palembang walau Hang Kasturi, Hang Lekir atau Hang Lekiu sekalipun. Jika siapa memberi tahu sebelum aku mati, aku akan sumpah kamu semua.”

Hang Tuah dikatakan “menghilangkan diri” kerana difitnah sekali lagi oleh beberapa orang menteri sultan. Hal ini tentulah satu penemuan yang kontroversial, memberi satu “maklumat baharu” sekali gus pengkajian rekayasa kepada pemahaman riwayat Hang Tuah. Sepertimana yang dinyatakan dalam ucapan alu-aluan Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Puan Nafisah Ahmad, “Sesungguhnya ilmu-ilmu yang pernah dinukilkan oleh penulis ataupun pengarang silam sememangnya masih relevan untuk dipegang sebagai azimat dan panduan dalam menempuh liku-liku perjuangan hidup. Masih banyak lagi ilmu dalam pelbagai bidang yang terakam dalam manuskrip Melayu belum habis dikaji dan diselidiki oleh pengkaji dalam mahupun luar negara”.

Kait Tiada Karya Melayu Yang Seasli Hikayat Hang Tuah

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks