Oleh MUHAMMAD LUTFI ISHAK

Dalam konteks masa kini, kedudukan orang muda, khususnya golongan yang berumur di bawah 40 tahun, kelihatannya mendapat perhatian banyak pihak. Daripada pimpinan tertinggi negara, politikus dan pelbagai golongan lain, golongan muda seakan-akan sungguh istimewa. Jatuh bangun agama, bangsa dan negara, seolah-olah terpikul di bahu mereka. Perhatian terhadap golongan muda, dalam mana-mana masyarakat sekalipun bukanlah perkara yang pelik atau asing. Hal ini merupakan satu kebiasaan, khususnya di negara maju untuk menumpukan pembangunan golongan muda. Pembinaan golongan muda yang dinamik dan berilmu, dari satu sudut, ialah satu jaminan kepada keutuhan kewujudan sesebuah negara. Bak kata pujangga, untuk melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya.

Hal yang sama berlaku pada zaman awal Islam. Misi kenabian Nabi Muhammad SAW di topang oleh golongan muda. Saidina Ali, ketika memeluk Islam baru berumur lapan tahun, suatu umur yang pada zaman sekarang masih dianggap kanak-kanak, malah Saidina Ali sanggup tidur di tilam Nabi Muhammad SAW demi memastikan berjayanya baginda keluar dari Mekah untuk berhijrah ke Madinah. Begitu pula dengan keberanian Abdullah Abu Bakar yang menjadi pengantara, berulang-alik dari Kota Mekah ke Gua Thur untuk menyampaikan pelbagai maklumat tentang perburuan golongan kafir Quraisy terhadap Nabi Muhammad SAW. Asmak Abu Bakar, seorang yang masih gadis, turut menyediakan makanan dan tunggangan, agar misi penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah berjaya. Selepas penghijrahan, kehadiran golongan muda dalam menjayakan misi kenabian dan dakwah Islamiah, juga semakin penting. Misalnya, Usamah bin Zaid, saat mengetuai angkatan Islam ke wilayah Syam baru berusia 18 tahun, satu umur yang relatifnya adalah muda.

Hal yang sama berlaku pada zaman lebih terkemudian. Dalam dunia ilmu misalnya, Imam Syafie, sudah layak mengeluarkan fatwa di Mekah ketika berumur 15 tahun. Ibnu Sina, seorang legenda perubatan dan ahli falsafah, pernah mencatatkan bahawa beliau selesai membaca karya penting pada zamannya sewaktu lingkungan 18 tahun. Imam al-Ghazali, seorang gergasi intelektual, ulama dalam sejarah ketamadunan dan penulis kitab agung yang masih dibaca seperti Ihya Ulumuddin, Tahafut al-Falasifah, Kimiya as-Saadah, Mi’yar al-Ilm wal Mantiq dan Bidayatul Hidayah, sudah menjadi seorang ilmuwan sewaktu umurnya sekitar 20 tahun. Ketika umurnya menjangkau awal 30-an, beliau merangkul jawatan profesor di Madrasah Nizam al-Mulk, dan dalam majlis ilmunya, dipenuhi bukan sahaja oleh para pelajar, tetapi juga para ilmuwan pada zaman tersebut.

Oleh hal yang demikian, penumpuan terhadap golongan muda, dalam konteks negara ini, khususnya pada zaman sekarang, ialah satu perkara yang disokong. Dari satu segi, tindakan tersebut berada pada arah yang betul. Masa depan Malaysia, memang bergantung pada kualiti golongan muda. Jika golongan muda pada hari ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, gagal dibentuk dan diperkasakan pemikiran dan peribadinya, maka sudah tentu negara Malaysia pada masa hadapan akan tumbang. Memang, jumlah penduduk negara ini akan terus bertambah, tetapi tanpa kehadiran pemuda dan pemudi yang berkualiti, maka yang menambah bilangan penduduk tersebut terdiri daripada individu lemah yang tidak lebih seperti buih, yang kehadirannya sentiasa dibawa arus. Apabila kuat pula, apa gunanya jika seperti anai-anai yang pada akhirnya bekerjasama memakan tiang seri, dinding dan alang yang membangunkan sesebuah rumah.

Walau bagaimanapun, saat kepentingan golongan muda diperkatakan dengan ghairahnya, akan cepat terkesan dengan konotasi jurang generasi. Jurang generasi, dalam konteks ini bermaksud, antara satu generasi dengan generasi yang lain, terdapat perbezaan. Generasi dahulu dan generasi kini berbeza. Perbezaan tersebut tidak disandarkan pada perbezaan luaran semata-mata. Maksudnya, yang membina jurang antara generasi itu bukan sahaja cara pemakaian, cara berkomunikasi, dan cara bertutur, tetapi turut menyangkut soal yang lebih abstrak, iaitu makna diri.

Dalam hal ini, apa yang difahami oleh generasi dahulu tentang kehidupan, dengan apa yang difahami oleh generasi kini tentang hal yang sama, tidak lagi serupa. Terdapat perbezaan tentangnya, yang mengakibatkan wujudnya jurang. Oleh hal yang demikian, antara generasi ini, mereka tidak lagi dapat memahami hati budi sesama mereka. Mereka tidak lagi layak untuk memberikan nasihat kepada generasi muda kontemporari, dan generasi muda kini, pula tidak perlu mendengar pandangan generasi dahulu. Segala-galanya-galanya tidak dipedulikan atas dasar perbezaan. Perbezaan yang menjurangi mereka pula, menyebabkan gaung yang terus meluas. Tidak ada jambatan yang mampu menjambatani gaung itu. Tindakan membina jambatan ialah satu tindakan yang absurd, tidak masuk akal, yang jika diusahakan, akan diinterpretasi sebagai satu tindakan politik dan diasaskan oleh kepentingan.

Menurut Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, khususnya dalam pelbagai buku beliau, seperti Risalah untuk Kaum Muslimin, Islam and Secularism, dan Ma’na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam, jurang generasi adalah satu perkara yang sangat asing dalam Islam. Dalam erti kata lain, tidak wujud jurang generasi yang parah dalam mana-mana masyarakat Islam. Hal ini dikatakan demikian kerana dua faktor penting.

Faktor yang pertama ialah al-Quran. Sebagai satu-satunya kitab suci umat Islam, yang bebas daripada sebarang kesalahan, al-Quran memainkan peranan penting, khususnya dalam menjawab pelbagai persoalan abadi. Persoalan tentang asal usul kejadian manusia, fungsi manusia di bumi ini dan akhir hidup manusia, ialah satu bentuk jawapan pasti yang diberikan oleh al-Quran. Akibat terjawabnya persoalan penting ini, masyarakat muslim tidak lagi tertanya-tanya tentang makna kehidupan. Setiap muslim sudah sedar bahawa satu Perjanjian Asali telah dilakukan di alam roh, seperti yang terakam dalam ayat 172 surah al-A’raf. Ketika dilahirkan, kita dibekalkan potensi mengetahui fungsi kehidupan manusia sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya di muka bumi ini. Kita juga dikhabarkan tentang Allah yang wujud, Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui, sehingga tidak ada sebutir zarah pun yang tidak mafhum dalam pengetahuan-Nya. Malah, dengan al-Quran juga kita dikhabarkan tentang alam barzakh, dan pada akhirnya akan dihisab sebelum dimasukkan ke dalam syurga dan neraka – alam yang terakhir dan kekal.

Faktor yang kedua pula ialah wujudnya citra Insan al-Kamil yang relevan dalam setiap zaman dan bagi setiap generasi dan gender, iaitu nabi Muhammad S.A.W. Jika al-Quran ialah wahyu Ilahi, maka cermin yang paling baik kepada al-Quran ialah nabi Muhammad S.A.W sendiri. Percakapan dan perbuatannya membayangkan inti sari al-Quran. Oleh sebab kehadiran nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh insan sempurna terunggul, maka beliau sangat layak dicontohi. Martabatnya sebagai rasul dan manusia terunggul tidak memungkinkan kita mencontohi Baginda dalam semua perkara tetapi banyak perlakuan baginda layak diikuti dan sebagai muslim, nabi Muhammad S.A.W dijadikan contoh yang paling sempurna.

Satu contoh yang sempurna, sudah pasti akan menghasilkan manusia yang baik. Hal ini samalah seperti seorang pelukis dengan objek lukisannya. Apabila dihadirkan satu contoh objek lukisan yang sempurna, maka sudah pasti usaha meniru dan melukis lukisan yang dijadikan contoh itu lebih mudah. Kalaupun hasil lukisan itu tidak akan mampu menjadi sebaik lukisan yang dijadikan contoh, namun lukisan tersebut tidak dihasilkan dari angan-angan semata. Dengan demikian, menurut Prof. Muhammad Naquib al-Attas, menjadi satu kewajipan umat Islam, untuk mencontohi dan mencintai nabi Muhammad S.A.W. Kecintaan kepada nabi, dalam hal ini adalah satu tindakan murni yang sebenarnya juga satu fitrah kepada setiap individu muslim yang memahami Islam dengan baik.

Oleh sebab itu, jurang generasi tidak akan menjadi penyakit yang hinggap pada setiap batang tubuh yang menggelar diri mereka sebagai seorang muslim. Hal ini dikatakan demikian kerana, kedua-dua faktor tadi menjadi anutan dan contoh. Apa-apa yang ditegaskan oleh al-Quran diikuti dengan sebaik mungkin. Apa-apa yang dicegah pula dijauhi sejauh-jauhnya. Dalam konteks nabi Muhammad S.A.W sebagai insan al-kamil, perbuatan dan kata-katanya akan menjadi ikutan. Apa-apa yang dilakukan oleh nabi Muhammad S.A.W akan diikuti dengan sebaik-baiknya dengan ilmu dan kebijaksanaan. Jadi, dalam hal ini, tanpa mengira umur dan generasi, masyarakat Islam sebenarnya mengikut apa yang ditegaskan oleh al-Quran, menjauhi apa yang dilarang oleh al-Quran dan mencontohi segala perbuatan nabi Muhammad S.A.W. Apa-apa yang dilakukan oleh generasi dahulu, pada zaman nabi dengan apa-apa yang dilakukan oleh generasi selepasnya, termasuk generasi sekarang, ialah satu bentuk pengulangan bijaksana yang diredai oleh Ilahi.

Walau bagaimanapun, menurut Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, kedua-dua perkara penting tadi, iaitu Wahyu Terjaga dan Contoh Insan Terunggul, tidak dimiliki oleh masyarakat selain masyarakat Islam. Sebagai contoh, masyarakat Barat, khususnya yang menganut agama Kristian, tidak dapat berpaut kepada Injil, kerana pelbagai pertentangan dalam Injil sendiri. Hal ini diparahkan lagi oleh masalah bahasa Barat yang tidak mengandungi akar kata. Jika ada sekalipun, mereka tidak teguh mempertahankan makna asal yang terkandung di dalamnya. Akibatnya, makna penting yang terangkum dalam kata bahasa Barat tersebut turut berubah. Dengan berubahnya makna itu, maka, pemahaman mereka terhadap Injil turut bertukar. Keparahan tersebut ditambah dengan sikap pemikir Barat, khususnya oleh para ahli akal dan pemikir mereka, seperti para ahli falsafah dan saintis, yang menolak autoriti agama dalam hal keilmuan dan kehidupan, dan sebaliknya berpaut pada penjelasan akal dan pengalaman pancaindera semata-mata.

Aristotle misalnya, sejak zaman klasik Barat, telah mengeluarkan Tuhan dalam sistem falsafahnya, apabila menyatakan Tuhan tidak mengetahui hal khusus yang berlaku di dunia ini. Hal ini dikatakan demikian kerana, setelah Tuhan mencipta dunia ini, Tuhan akhirnya berkontemplasi tentang diri-Nya. Konsep penciptaan dunia Aristotle tidak ubah seperti pembuatan sebuah jam. Seperti sebuah jam yang berfungsi sendiri dan bebas daripada campur tangan penciptanya, begitu juga dengan dunia ini. Tuhan, dalam konsep Aristotle, telah mencipta dunia dalam konteks yang sangat mekanikal. Setelah dicipta, dunia bebas daripada campur tangan Tuhan, berkembang dengan sendirinya. Hal ini kemudiannya diungkapkan oleh Iqbal dalam satu syairnya, Kedai Anggur Barat, yang indah, bagi menggambarkan ketohoran dan kebobrokan pemikiran Barat:

Tapi, o ia tak punya Musa
Untuk mencecap suara Tuhan,
Tak punya Ibrahim
Untuk diuji dalam api.*

Apa yang dijelaskan oleh Aristotle dan diungkapkan oleh Iqbal merupakan contoh sikap manusia Barat terhadap agama mereka. Kehadiran ramai lagi para ilmuwan dan filsuf selepasnya, khususnya selepas zaman kegelapan, misalnya Rene Descartes dan Locke, masih menjunjung sikap meremehkan peranan Injil dan agama dalam kehidupan. Penjulangan Rene Descartes sebagai bapa falsafah moden, adalah satu tindakan yang mirip dengan penjulangan Socrates sebagai bapa falsafah klasik. Kedua-duanya menolak peranan agama sebagai sumber ilmu dan mengagungkan rasionalisme. Akibatnya, sejak zaman pra-Socrates, sehinggalah sekarang, mereka gagal menjawab pelbagai persoalan dasar tentang kehidupan ini. Mereka masih tertanya-tanya tentang asal usul kehidupan, makna kehidupan sekarang, dan akhir kehidupan ini. Mereka masih tertanya-tanya apakah ada kehidupan selepas kematian? Pelbagai persoalan seperti ini mewujudkan satu kesedihan dan penyeksaan jiwa yang tidak tertara timbangannya.

Selain faktor ketiadaan satu autoriti agama seperti al-Quran, masyarakat Barat juga tidak mempunyai seorang insan al-Kamil. Jesus Christ sendiri bukanlah manusia sepenuhnya. Dalam agama Kristian, Jesus Christ ialah separuh manusia dan separuh Tuhan. Bagaimana manusia sepenuhnya, boleh mencontohi Tuhan, kerana, sudah pasti manusia tidak boleh menjadi setengah Tuhan, setengah manusia. Manusia akan selamanya menjadi manusia, dalam erti yang sepenuhnya. Begitu pula dengan ilmuwan, saintis dan para filsuf mereka, yang sangat jauh daripada menjadi seorang manusia sempurna. Tidak keterlaluan, kebanyakan ilmuwan, saintis dan filsuf Barat, yang menjadi pembentuk ilmu-ilmu moden, tidak dapat dicontohi kerana keterlibatan mereka dalam pelbagai skandal dan sikap buruk. Malah, golongan agamawan seperti Peter Abelard, sewaktu menjadi pengajar teologi Kristian dan falsafah Greek di Notre Dame Cathedral School, pernah mempunyai hubungan sulit dengan pelajarnya – Heloise d’Argentuil, sehingga menghasilkan seorang anak luar nikah. Pelbagai kebobrokan akhlak, yang bertentangan dengan falsafah yang diajarkan oleh golongan intelektual, pernah dirakam dalam sebuah buku yang monumental, Intelectuals, karya Paul Johnson.

Oleh sebab itu, jurang generasi menjadi satu ciri khas masyarakat Barat. Setiap generasi, iaitu golongan muda, golongan belia dan golongan tua, gagal mencari makna hidup. Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas menyatakan bahawa golongan muda tidak mahu berpaut dan mencontohi generasi belia kerana generasi belia sendiri tidak mampu menjelaskannya. Generasi belia sendiri membiarkan generasi muda untuk mencari nilai hidup mereka, kerana generasi mereka tidak berjaya menjawab makna diri dan menjadi contoh. Malah, mereka sentiasa cemas untuk mendapat makna diri yang pasti, kerana umur mereka yang semakin sedikit dari hari ke hari. Sementara golongan tua, yang juga gagal menjadi contoh, terperosok dalam keasingan dan kesepian waktu tua. Kesepian waktu tua menjadi satu babak dalam kehidupan yang sangat mengerikan kerana mereka tidak lagi mampu menyumbang kepada kehidupan sosial, ekonomi dan politik. Bertentangan dengan masyarakat Islam, yang tidak memusuhi keriuhan masyarakat atau kesunyian waktu tua, kerana kedua-dua keadaan tersebut sentiasa menyediakan ruang dan peluang untuk beribadah.

Oleh sebab itu, penekanan kepada golongan muda seperti hari ini, seharusnya dipuji. Namun, konotasi tentang wujudnya jurang generasi harus diisi dengan penjelasan tentang makna diri. Hal ini kerana, dengan pengisian tentang makna dirilah, golongan muda akan dapat menilai erti sebenar kehidupan dengan lebih waras, dengan timbangan yang benar, dengan ilmu. Dengan cara itu juga, jurang generasi bukan sahaja dapat dikambus, malah, kerenggangan antara generasi itu, diakrabkan dengan menampilkan junjungan besar, nabi Muhammad S.A.W sebagai insan al-kamil. Pada saat itu, jika hal ini dapat dijayakan, maka sudah tentu, golongan muda tidak bertanya suara siapa yang lebih penting, tetapi mereka akan berhujah tentang suara apa yang lebih penting. Pada saat itu, golongan muda akan menyatakan dengan tegas, bahawa yang penting ialah kebenaran, dan penegasan mereka, ialah hasil usaha oleh semua pihak, termasuk semua generasi yang terdapat dalam masyarakat. Ketika itu, semua generasi bekerja demi mengukuhkan kebenaran dan memerangi kebatilan, seperti yang didendangkan oleh intelektual besar kontemporari, Profesor Wan Nor Wan Daud, dalam puisinya:

Kata-kata di muka kertas beratnya hakiki
Tersimpan khazanah Ilahi dan mutiara insan
Jika digali-gilap disimpul makna dalam dada
Jika diserap pada ribuan jiwa remaja dan dewasa
Jika dipimpin helang ilmi menerbang di langit luas
Mengawal padang dari belalang dan haiwan buas

* Terjemahan oleh Abd. Hadi WM

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks