Oleh MUHAMMAD HAJI SALLEH (SASTERAWAN NEGARA)

KARYA FEAST OF A GOAT hasil tulisan Mario Vargas Llosa (pemenang Hadiah Nobel dari Peru) menyusup masuk ke dalam akal fikiran diktator Haiti, yang didasarkan kepada watak sebenar, iaitu Presiden Trijillo. Dalam Riwayat Mayta pula beliau mengembara ke dalam sejarah peribadi, emosi dan perancangan seorang pemberontak – sebagai suatu usaha untuk mengimbangi dan memahami dua belahan kehidupan politik Amerika Latin. Dalam beberapa hal yang menyebabkan tercetusnya pemberontakan ialah sistem yang tidak adil dan yang tidak adil itu sering pula diatur oleh diktator.

Kali ini karya Llosa juga mendasari novelnya kepada manusia nyata, iaitu Mayta dan peristiwa itu berlaku di Jauja, di pergunungan Peru, pada 29 Mei 1962. Namun demikian, yang ditawarkan kepada kita ialah novel yang pasti membawa beberapa perubahan dan penyesuaian serta sudut pandangan pengarang itu sendiri. Beliau memindahkan peristiwa ini dari tahun 1962 ke tahun 1958, iaitu suatu tarikh yang mendahului revolusi Cuba. Dalam novel ini, Mayta yang sebenarnya terbunuh dalam suatu gerakan pemberontakan dan dibenarkan hidup untuk menceritakan sudut pandangannya, tentang apa-apa yang berlaku, dan sebagai ulasan kepada beberapa pandangan lain oleh orang yang terlibat.

Inilah novel yang sangat rumit, sangat panjang dan sarat dengan perincian dan ulangan. Dua tiga orang memberikan pendapat tentang sesuatu peristiwa, maka perlu diulang peristiwa yang sedang dibincangkan itu beberapa kali mengikut kejadian itu disebut. Mengapakah pengarang memilih cara begini? Sasterawan mengelak untuk bercerita sesuatu yang sangat rumit begini, namun pengarangnya masih menjadi jutawan! Sebabnya adalah kenyataan atau kebenaran, pada pengarang ini, sangat rumit dan berupa-rupa. Setiap orang mempunyai sudut pandangan dan kesan emosionalnya – ini kenyataan peribadinya. Seorang pemerhati lain akan menawarkan pandangan yang lain pula.

Sewaktu pencerita yang tidak bernama dalam karya ini mula membuka kisahnya – dia sedang mencari-cari orang yang pernah mengambil bahagian dalam pemberontakan itu – suatu peristiwa yang berlaku pada 25 tahun sebelumnya. Seperti yang dibuat oleh Borges dalam cerpennya “Kematian yang Satu Lagi” (saya kira inilah inspirasi Llosa) apabila didapati hasil daripada wawancaranya banyak yang bercanggah, banyak yang tidak selari atau sejalan. Maka, berlakunya perselisihan fakta yang sangat jelas, ingatan dan malah sudut pandangan yang kabur, dipudarkan oleh aliran waktu dan bahagian orang itu sendiri dalam peristiwa pemberontakan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Mei 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks