SESEKALI DI DADA AKHBAR atau majalah muncul tulisan bernada keluhan yang menyatakan “banyak perkara yang memilukan dalam dunia kesusasteraan tanah air”. Menyebut serta menyatakannya dalam tulisan yang seringnya mengandungi retorik dan sedikit eufemisme, bagi pembaca yang kurang mengarifi sepak terajang dalam dunia sastera tanah air, memanglah mudah memukau perhatian serta rasa ingin tahu.

Namun begitu, bagi mereka yang memang sudah memaklumi serta memberikan sepenuh jiwa dan raganya untuk dunia kesusasteraan, perkara yang disebutkan ini sebenarnya sudah tidak lagi menjadi perkara aneh atau pelik. Soal ketidakadilan, kurang diperhatikan, dinafikan peluang bagi sesiapa yang sepatutnya layak menerima dan tidak mendapat penghargaan sebenarnya bukanlah perkara langka yang merongrong nasib para sasterawan di negeri mana pun. Pokok pangkalnya kembali kepada nawaitu diri. Mereka yang memilih memasuki dunia sastera ini kerana hasrat dan dengan pilihannya sendiri memang tidak pernah mahu merusuhkan segala hal yang berlaku di luar proses pengkaryaan dirinya. Diterima, dipinggirkan atau tidak mendapat sebarang penghargaan apa-apa pun, urusan berkarya memang tetap menjadi keutamaan. Menjadi sasterawan dalam kalangan ini tidak mengharapkan apa-apa balasan, selain hasratnya untuk semata-mata berkarya. Lainlah halnya kalau mereka yang memilih dunia sastera ini dengan hasrat untuk mendapatkan sesuatu kepentingan bagi dirinya sendiri. Golongan inilah yang akan berteriak dan mengeluh andai berasa tidak mendapat apa-apa yang dicita-citakannya. Lantaran itu juga, akan dicarilah pihak dan kalangan tertentu untuk dihalakan sasaran marah dan kecewanya.

Sehingga demikian, sebarang usaha menyebut hal yang dikatakan “pelik” ini secara berulang kali, apalagi jika dipenuhi dengan nada ketidakpuasan hati peribadi oleh penulis atau pengungkapannya, akan terasa kepada pembaca yang perenung dan teliti, bahawa yang ingin ditimbulkan serta dinyatakan hanyalah luahan hasrat hati manusia bergelar sasterawan yang kecewa kerana tidak memperoleh sesuatu keuntungan untuk dirinya sendiri.

Sasterawan sejati tidak pernah mengeluh dan kalau diberi amanah, amanah itu akan dilaksanakannya dengan ikhlas serta jujur. Itulah yang menjadi pembezanya.

Mulia Sasterawan

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks