Oleh NORIAH TASLIM

TANGGAPAN bahawa wujudnya simbiosis (saling berkait) antara manusia dengan alam (secara spiritual dan fizikal) menjadi sari pati penting dalam pembentukan skema kosmologi yang menaungi pemikiran dan psikologi manusia awal. Kosmologi tradisional ini melunjurkan satu pandang alam yang bersifat holistik yang memberikan kesamarataan nilai dan kualiti kepada semua makhluk alam, termasuk komuniti biotik, mengiktiraf setiap satu-satunya sebagai entiti penting dalam skema ciptaan Tuhan dan setiap satunya menyumbang kepada kewujudan yang tertib dan seimbang.

Dalam ruang lingkup alam, tiada perenggan yang akan membezakan antara benda bernyawa dengan yang tidak bernyawa, antara fizikal dengan spiritual. Hal ini adalah kerana kedua-duanya hanyalah manifestasi yang berbeza daripada satu realiti yang sama dan mengongsi peranan setara dalam keseluruhan kitaran hidup.

Kesedaran alam menyerapi pelbagai aspek budaya tradisional – material, ritual, lisan, namun paling jelas tampak melalui mitos dan legenda – dua bentuk naratif lisan yang terjerat dalam sistem kepercayaan dan budaya manusia tradisional berbanding dengan genre sastera yang lain. Mitos dan legenda merupakan teks yang paling ketara orientasi alamnya, terutama visinya terhadap makhluk bukan manusia. Visi tentang keakraban manusia dengan alam, bukan sahaja dilunjurkan, malah juga didramatiskan dalam mitos dan legenda.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Mei 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks