Judul Pertemuan Abadi: Koleksi Terpilih Abdullah Hussain | Pengarang Abdullah Hussain | Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka | Harga RM15.00 | Pengulas Khairil Anwar

ABDULLAH HUSSAIN boleh dikatakan paling versatil dalam kalangan Sasterawan Negara. Beliau menggauli semua genre penulisan, seperti cerpen, novel, biografi, autobiografi, kritikan, terjemahan, skrip drama dan skrip filem. Beliau juga terlibat secara langsung dalam industri penerbitan seperti buku, majalah dan akhbar banyak negara di Asia Tenggara.

Pertemuan Abadi merupakan himpunan karya beliau yang terkenal dihasilkan sejak awal tahun 1970-an hingga awal tahun 2000. Karangan dalam buku ini terbahagi kepada cerpen yang terkenal, fragmen novel, fragmen biografi , fragmen skrip drama televisyen, fragmen skrip drama pentas, fragmen skrip filem, puisi dan esei sastera.

Dalam buku ini terdapat enam cerpen, iaitu “Pertemuan di Tjiandjur”, “Pertemuan di Kuching”, “Pertemuan di Kota Bharu”, “Sebuah Pekan Bernama Semporna”, “Melissa”, dan “Nagasaki”. “Pertemuan di Tjiandjur” kelihatan seperti kisah benar, iaitu kunjungan insan bernama Sanusi Junid ke Jakarta untuk berkahwin. Ketika di Tjiandjur juga Abdullah teringat saat beliau memperjuangkan kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945.

Unsur diskriminasi dipaparkannya dalam cerpen “Pertemuan di Kota Bharu” berdasarkan pengalaman beliau menemani seorang teman berurusan di pejabat tanah di Kuala Lumpur. Beliau menggunakan latar Kota Bharu yang menghadapi banyak masalah sosial pada tahun 1970-an.

Cerpen lain turut memaparkan kisah benar yang dialami oleh Abdullah. Contohnya kesan kunjungan ke pekan Semporna bersama-sama dengan Arena Wati dikisahkan dalam cerpen “Sebuah Pekan Bernama Semporna”. “Melissa” adalah watak sebenar pelajar Universiti Malaya yang menulis latihan ilmiah berdasarkan buku Sebuah Perjalanan karangan Abdullah.

Bab seterusnya terdiri daripada fragmen karya Abdullah seperti novel Interlok, Masuk ke Dalam Cahaya, dan Imam. Interlok berkisar tentang perjuangan menegakkan bahasa Melayu sebagai penyatu kaum di Malaysia setelah mencapai kemerdekaan.

Masuk ke dalam Cahaya mengisahkan pemuda yang tersimpang jauh daripada ajaran Islam; kemudian membawa diri, meninggalkan rumah. Dalam perjalanan, dia singgah di sebuah kampung, tertarik dengannya, lalu menetap di situ. Cabaran memuncak apabila Raja Ifrit datang ke kampung tersebut membawa kemungkaran.

Imam adalah tentang perjuangan imam yang ingin membawa pembaharuan di kampungnya sendiri namun ditentang oleh sebahagian penduduk kampung yang seagama dan sebangsa, malah saudara-maranya sendiri.

Bab seterusnya fragmen biografi tentang Za’ba, skrip drama televisyen “Keruh di Hulu”, skrip drama pentas “Intan”, dan skrip filem “Konserto Terakhir”. Penghasilan skrip ini membuktikan kepengarangan Abdullah yang luar biasa.

Walaupun tidak seproduktif menghasilkan cerpen dan novel, puisi nukilan Abdullah turut mempunyai kekuatan yang tersendiri. Dalam buku ini terdapat lima puisi yang kesemuanya pengalaman peribadi pengarang sendiri.

Abdullah juga pengarang esei sastera yang baik. Pengarang menitipkan tiga esei, yang salah satunya ucapan penerimaan Anugerah Sastera Negara yang kelapan. Terdapat juga esei yang menggariskan wawasan dan harapan beliau dalam menghadapi perkembangan sastera abad ke-21 yang lebih mencabar.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Mei 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks