Oleh BAHA ZAIN

BERCAKAP TENTANG Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebenarnya bercakap tentang perancangan, pembangunan dan penggunaan bahasa dan persuratan dalam bahasa Melayu. Mahu tidak mahu isu DBP sebagai institusi awam tidak boleh dikesampingkan kerana DBP adalah badan berkanun yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan Malaysia untuk membangun dan mengembangkan bahagian penting daripada kebudayaan hidup bangsa. Tidakkah ini tanggungjawab dan kerja yang lebih bermakna dan berat daripada kerja memajukan perusahaan kereta nasional?

Muzakarah atau perbincangan yang diadakan di DBP, pada 14 Mac yang lalu, mengajak sejumlah pemimpin NGO dan orang perseorangan yang prihatin terhadap bahasa kebangsaan dan persuratan memberikan pandangan serta cadangan. Tahniah dan pujian wajar disampaikan kepada Ketua Pengarah DBP, Dr. Awang Sariyan, yang baru sahaja menduduki kerusi yang mencabar itu. Keterbukaan dan keberanian beliau untuk mengundang pelbagai pendapat dan saranan daripada luar adalah langkah bijak supaya beliau, bawahan dan atasannya, dapat menyedari persepsi, kegusaran, harapan dan  kemahuan pengguna dan masyarakat yang berkepentingan. Jika tidak beliau sebagai Ketua Eksekutif berkemungkinan mengulangi pelbagai kelemahan, kesilapan dan bergerak melalui jalur yang sesat untuk menuju kepada matlamat DBP dalam gejolak persekitaran sezaman.

Masalah yang dihadapi oleh pejabat DBP bukan sahaja baru berlaku setahun dua ini; sudah bertahun-tahun lama terutama apabila berlaku perubahan visi pemimpin negara dalam pembangunan ekonomi, pendidikan dan teknologi.  Anjakan fikiran dan kesan perubahan itu menimbulkan kegoncangan nilai budaya serta moral yang semakin mempengaruhi sikap hidup banyak penduduk termasuk kakitangan kerajaan. Esok atau bulan hadapan mungkin mendadak wujud teknologi, dasar atau peristiwa baharu yang menuntut ketangkasan berfikir dan tindakan yang jitu bagi  menyelesaikan masalah lain pula. Apa-apa sahaja krisis yang dihadapi DBP hari ini adalah satu cara yang pahit untuk belajar memahami kenyataan yang mungkin boleh dielakkan melalui pemikiran yang proaktif.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Mei 2012.

Be Sociable, Share!