Oleh SHAHNON AHMAD (SASTERAWAN NEGARA)

UNGKAPAN “Orang Muda Marah-marah” ini saya terjemah daripada ungkapan Inggeris “Angry Young Man” – nama sebuah organisasi para sasterawan muda di England yang ditubuhkan sekitar tahun 50-an. Organisasi ini dianggotai oleh sebahagian besar sasterawan muda yang mencipta novel, cerpen, drama dan juga sajak secara meluas. Sasaran karya mereka semuanya bersifat kritikan sosial yang tajam dan jitu terhadap golongan atasan, para pemimpin yang zalim, kejam dan korup golongan borjuis yang mengaut keuntungan dengan apa-apa cara sekalipun demi untuk memperoleh kekayaan yang berlebihan, golongan penindas terhadap golongan tidak berdaya dan juga terhadap golongan yang membuahkan berbagai penyakit sosial seperti pembunuhan, zina, dan rogol, peras ugutan dan penipuan.

Walaupun karya mereka sering dikritik sebagai karya picisan dan propaganda murahan, namun mereka sendiri beranggapan bahawa mereka tetap mempertahankan mutu seni; seiring dengan matlamat kritikan sosial itu. Bezanya kritikan sosial yang menjadi matlamat mereka berkarya tidak pernah berubah, malah dalam diri mereka sudah sebati kebencian yang amat sangat terhadap golongan atasan yang berupa penindas dan zalim serta dianggap sebagai penyebab utama berbiaknya ketidakadilan berlaku terhadap golongan bawahan dan proletar. Sasterawan muda ini bolehlah dianggap sebagai pembela kepada golongan proletar ini.

Kisahan karya mereka umumnya berputar pada persengketaan antara protagonis yang biasanya terdiri daripada golongan bawahan seperti buruh, penganggur, proletar dengan antagonis yang mewakili golongan borjuis dan atasan yang kaya raya dan hidup penuh kemewahan yang berlebih-lebihan. Biasanya apabila tiba pada leraian, maka golongan proletarlah yang memperoleh kemenangan.

Antara tokoh yang utama daripada organisasi ini ialah John Wain dengan novelnya Hurry On Down, Kingley Amis dengan novelnya Lucky Jim dan juga dramatis John Osborne dengan karyanya yang terkenal Look Back In Anger. Anehnya organisasi ini menjadi malap dan akhirnya berkubur pada akhir tahun 1960-an. Di negara kita, organisasi sasterawan yang boleh dikatakan sinonim titik tolak falsafah perjuangannya dengan organisasi “Angry Young Man” ialah Angkatan Sasterawan Asas 50 yang mendukung falsafah perjuangan “Seni untuk Masyarakat”.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Mei 2012.

Be Sociable, Share!