Oleh BUKHARI LUBIS

BOZORG ‘ALAVI perintis prosa moden Iran bersama-sama Sadeq Hidayat dan dia dianggap sebagai penulis yang paling berjaya dalam generasinya. Namanya terkenal bukan sahaja dalam dunia sastera Parsi, malah dalam lingkaran politik Iran.

‘Alavi dilahirkan pada 2 Februari 1904 di Tehran dan berasal daripada keluarga usahawan. Nama Bozorg diambil daripada nama timangan datuknya, Agha Bozorg (Agha Seyyed Mujtaba Ghannad), seorang saudagar gula, coklat dan perkapalan, yang meninggal dunia pada tahun ‘Alavi dilahirkan.

‘Alavi bersekolah rendah di Tehran dan setelah tamat sekolah rendah dia dan abangnya dihantar bersekolah menengah di Berlin pada tahun 1922. Di Berlin, dia mendapat pendidikan sehingga ke universiti. Ketika inilah dia bergaul dengan pelajar Iran yang cenderung kepada faham komunis.

Pada tahun 1937, ‘Alavi pulang ke Iran dan mengajar bahasa Jerman di Shiraz, kemudian di Tehran. Ketika berada di Tehran ini dia mula berkawan rapat dengan Sadeq Hidayat dan rakan muda modenis serta mengasaskan perhimpunan sastera dengan nama Rab‘e. Ketika ini juga dia sering menghadiri pertemuan yang dianjurkan oleh Dr. Erani. Minatnya terhadap politik semakin menebal, sehingga menjadi anggota pengasas Parti Tudeh (komunis), di samping menjadi penyunting majalah parti ini, Mardum (Orang). Akhirnya, dia dan 52 orang ahli komunis di-penjarakan pada 1937 oleh rejim Reza Shah (ayah Shah Reza yang digulingkan pada 1979) kerana kegiatan komunisnya. ‘Alavi mendakwa bahawa dia tidak terlibat secara politik, kalau ada pun bersama-sama dengan golongan berkenaan sebagai suatu kumpulan sastera sahaja, antara lain turut membaca hasil tulisan komunis. Akhirnya, tempoh hukuman penjara dipendekkan, hukuman tujuh tahun menjadi empat tahun.

Sebelum ‘Alavi terlibat dalam gerakan komunis-Marxist, dia merupakan penulis yang menjadi harapan besar, dengan masa hadapan yang cerah dalam perkembangan sastera moden Parsi. Seperti Sadeq Hidayat, Malikush Shu‘ara’ Bahar, dan para penulis dan penyair Iran yang lain, dia mempunyai kecintaan yang mendalam terhadap Iran kuno dan sejarah gemilangnya serta rasa benci terhadap penyerang bumi Iran. Kalau Sadeq Hidayat dalam Div… Div, mengangkat kegemilangan Iran yang mengatasi peradaban Greek dan Roman, ‘Alavi pula dalam karya yang sama, dengan kata-kata kesat menuduh orang Arab menyerang Iran walaupun demi menyebarkan ajaran dan agama Allah.

Sasterawan utama Parsi yang lain tersohor kerana menghasilkan pelbagai hasil penerbitan sastera, namun ‘Alavi disanjung kerana hanya dengan beberapa karya sahaja. Karya utamanya empat antologi cerpen: Chamadan (Beg Pakaian, 1934), Varaq Parehha-ye Zindan (Kertas Skrap dari Penjara, 1942, terbit setelah dibebaskan dari penjara), Nama-ha va Dastanha-ye Digar (Surat dan Cerita Lain, 1952), dan Mirza (Mirza, himpunan enam cerpen yang ditulis pada 1960-an dan awal 1970-an, diterbitkan di Tehran pada 1978); himpunan ceritera kehidupan berdasarkan pengalamannya di penjara berjudul Panjah-o Seh Nafar (53 Orang, 1942); dua buah novel, Chashmha-yesh (Mata-matanya, 1952) dan Salariha (Keluarga Salari, 1978, Tehran). Dia juga bergabung dengan Sadeq Hidayat dan Shin-e Partaw mengarang Div… Div (Hantu… Hantu) dan diterbitkan dalam antologi Aniran (bukan-Orang Iran, 1931). ‘Alavi turut menulis cacatan kembara yang bertajuk Uzbak-ha (Orang Uzbek, 1948, diterbitkan selepas dia melawat Kesatuan Soviet, sebagai ahli rombongan budaya Parsi); dan dua karya (bukan lagi sastera kreatif) dalam bahasa Jerman: Kamfendes Iran (Berlin, 1955) dan Geschichte und Entwicklung der modernen Persischen Literatur (Berlin, 1964, buku yang turut penulis telaah demi memahirkan diri membaca teks dalam bahasa Jerman di UC Berkeley dahulu), termasuk kamus susunan bersama-sama (dengan H. Junker) yang berjudul Persisch-deutsches Worterbuch (1965).

Novel Chashmha-yesh ‘Alavi, menurut sesetengah pengkritik sastera, merupakan cerita terbaik dalam bahasa Parsi, dengan jelas memaparkan kegelapan jangka masa 20 tahun dalam masyarakat Iran. Novel ini berkisar tentang pendidikan, cinta, kegiatan revolusioner seorang wanita daripada keluarga borjuis, rosak dan cantik; di samping seorang pelukis, sosialis buruh yang diyakinkan dalam kumpulan haram. Novel ini memaparkan kisah sekumpulan intelek yang bekerja menentang kediktatoran Iran di dalam dan luar negara, demi mencapai kemerdekaan golongan sosial yang lebih adil.

Akibatnya, novel tersebut diharamkan di Iran. Sehubungan dengan kecenderungan ke arah realisme dan naturalisme sastera moden Parsi, pengkritik Rusia, D.S. Komissaro, pernah menegaskan bahawa ‘Alavi menerusi novel ini mengetengahkan dua watak utama: figura wanita yang bernama Farangis, begitu aneh lakunya; sementara pelukis progresif mulia Makkan, digambarkan sebagai penakut yang tidak dapat diwajarkan, malah hingga ke takat tertentu dia bersifat lembik. Karya ini menggunakan bahasa yang bersahaja tetapi bahasanya halus dan indah.

Nama-ha va Dastanha-ye Digar merupakan antologi cerpen yang memaparkan pelbagai aspek kehidupan semasa di Iran, disulami dengan kesendengan kritikan yang keras terhadap birokrasi, rasuah, dan kezaliman sosial. Karya ini mendapat penghargaan sehingga pengarangnya dianugerahi Gold Medal of the World Peace Council pada musim gugur 1953.

Ketika berlaku kudeta diraja yang menyebabkan kejatuhan Perdana Menteri Dr. Muhammad Musaddiq pada pertengahan Ogos 1953, ‘Alavi masih di Jerman Timur, menetap sementara di sana dan memberikan kuliah Sastera Parsi di Universiti Humboldt, Berlin Timur, sehinggalah Dinasti Pahlavi digulingkan dan membawa kepada Revolusi Iran pada tahun 1979. Pada musim bunga tahun itu juga dia pulang ke Iran, selepas 25 tahun sebagai orang buangan. Dia disambut hebat oleh ahli Persatuan Penulis Iran, termasuklah pengarang/penyair ternama seperti Ahmad Shamlu, Mahmud Dawlatabadi, dan Siyavash Kasra’i. Setahun kemudian dia kembali lagi ke Iran untuk masa yang singkat juga, tetapi berasa kecewa kerana gerakan revolusi yang menindas. Lantas dia terus tinggal dan bekerja di Berlin. Sepanjang tahun 1980-an, ‘Alavi memberi ceramah di Eropah dan Amerika Utara. Sebelum dia dibuang negeri, dia mengahwini sepupunya, Fatimah ‘Alavi, dan mendapat seorang putera, bernama Mani. Pada 1956 dia mengahwini Gertrud Paarszh di Jerman dan tinggal bersama-samanya hinggalah ke akhir hayatnya. Pulang ke Iran buat kali terakhir pada tahun 1993, akhirnya dia meninggal di Berlin pada 18 Februari 1997.

‘Alavi merupakan penulis Iran yang tipikal kerana pertimbangan ekonomi dan politik yang dipegangnya, dia benar-benar bersara dari kegiatan kesenian. Profesor Sajida Alvi, bekas mahaguru di McGill University, Kanada, yang juga pernah berutus surat dengan ‘Alavi, turut menyatakan, “… keterlibatan ‘Alavi dalam dunia dan tugas akademik bermakna dia berhenti daripada menulis cereka. Dengan itu, Iran kehilangan seorang pengarang yang cemerlang. Mungkinlah ‘Alavi dapat terus memperkaya sastera prosa moden Iran, jika dia tidak meninggalkan Iran. Biarpun karya sastera ‘Alavi hanya beberapa buah sahaja, memandangkan peranan pentingnya dalam perkembangan cerpen Parsi, dia masih dapat dianggap sebagai penulis utama Iran moden”.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Mei 2012.

Be Sociable, Share!