Judul Sumsum Bulan Rawan | Pengarang Kemala | Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka | Harga RM25.00 | Pengulas H. Adry

KEMALA yang dianaugerahi gelaran Sasterawan Negara baru-baru ini merupakan penyair yang bukan hanya membicarakan isu dan persoalan yang berlaku di sekitar negara, malah menjangkau jauh ke serata sudut dunia. Penindasan orang Islam di Lebanon, Palestin, Bosnia dan Afghanistan, larut dalam deretan puisi yang tercipta sepanjang lima dekad beliau berpuisi.

Puisinya juga pekat dengan nafas keislaman, sesuai dengan kecenderungannya terhadap sufisme. Lalu lahirlah kumpulan puisi seumpamanya seperti ‘Ayn, Pelabuhan Putih, Titir Zikir dan Mim.

Kumpulan puisi ini merupakan lanjutan daripada perjuangan puisi Kemala yang tiada tanda-tanda keletihan. Jelas bahawa semakin dalam dan jauh kembara puisinya, semakin tegar dan pekat nafas keislaman dalam karyanya.

Penyair membahagikan kumpulan ini kepada enam bahagian: Bulan Hayat, Berapa Kata?, Romansa Bulan Rawan, Qasidah Pelangi Ungu, Mundam Gurindam dan Violet Seroja. Kesemua puisi yang terhasil dari tahun 2002 hingga 2010 ini disusun mengikut urutan masa.

Dikatakan Kemala pernah berguru dengan Usman Awang dan beliau masih lagi teringat akan penyair hebat tersebut. Melalui puisi “Berangkatlah Bang”, beliau mengenang Usman yang sudah berangkat ke daerah lain. Beliau seolah-olah “mengadu” kepada Usman tentang nasib yang menimpa umat Melayu.

elain puisi di atas, puisi lain dalam bahagian pertama bernafas sufi sme. Puisi “Hembuskan Resah” berupa munajat penyair pada malam hari mengharap kecerahan pada hari esoknya. Katanya:

Hembuskan resah ke pangkal gunung
ranumkan mimpi ke subuh dini
zikir bintang di langit
butir tangis pertama ke kamus takdir
.

Puisi “Berapa Kata” ialah pertanyaan kepada beberapa penyair agung dunia, seperti Eliot, Tai Po, Hafiz, Rumi, Seifret, Basho dan Chairil. Beliau bertanya, selama mana mereka harus meluahkan baris kata sebelum manusia faham.

Peristiwa tsunami memberikan kesan yang mendalam kepada Kemala. Melalui puisi “Sejambak Bunga Karang Tsunami”, beliau melihat sisi lain peristiwa tersebut. Yang menariknya pada penghujung puisi tersebut, penyair berkata:

Waktu dunia ribut, kalut, kecut dipaut
ombak maut
Bayi manis di pelukan ibunya mengukir
senyum akhir kali
“Bu, Tuhan menjemput kita meniti syurga!”

Kebanyakan puisi bahagian ketiga berupa perjalanan penyair ke beberapa tempat di luar negara, antaranya Amerika Syarikat dan Indonesia. Contohnya puisi “Dan Akhirnya” yang mencatatkan pengalaman penyair di San Francisco. Beberapa puisi yang terhasil ketika di Indonesia banyak memperkatakan hal peribadi penyair. “Danau Kalbu” berupa pertanyaan Kemala kepada Rumi, as-Syirazi, Fansuri dan al-Ghazali. Antara kata-katanya:

Berapa dalam danau kalbu
tanya Kemala kepada al-Ghazali
“Sedalam puisi abadi!”

Ternyata bahawa puisi Kemala pada alaf baharu lebih banyak meluahkan pengalaman peribadi dan hal yang berlaku di sekitarnya, terutamanya yang berkaitan dengan bangsa Melayu. Beliau lebih runsing dengan nasib bangsanya yang kerap diuji dalam banyak perkara. Walaupun begitu, Kemala tidak melupakan puisi kerohanian dan sufisme yang digaulnya sejak sekian lama.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Mei 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks