Oleh Rahimah Haji A. Hamid

Novel Maut dan Cinta, karya Mochtar Lubis diterbitkan pada tahun 1979 oleh Utusan Publications & Distributors, dengan kerjasama Pustaka, Jakarta. Novel ini ditulis oleh Mochtar ketika beliau dipenjarakan di Madiun oleh rejim Sukarno. Kemudian, penulisan novel ini disambung di Penjara RTM, Jakarta, seterusnya di Rumah Tahanan di Jalan Keagungan, hinggalah beliau dibebaskan pada 18 Mei 1966. Menurut Mochtar (1979), ketika dibebaskan semasa rejim Suharto, novel ini baru 75% sahaja selesai dikerjakannya. Kemudian, ketika dijemput menjadi artis in residence di Aspen Institute, Amerika Syarikat, barulah novel ini dapat diselesaikan sepenuhnya. Walau bagaimanapun, novel yang menyentuh isu penyelewengan politik dan pengkhianatan sewaktu perjuangan revolusi rakyat Indonesia untuk meraih erti kemerdekaan yang sebenarnya ini sukar mendapat keizinan untuk diterbitkan di Indonesia. Sebab itulah Utusan Melayu (M) Berhad telah mengambil inisiatif untuk menerbitkannya di Malaysia, dengan kerjasama Pustaka Jaya, Jakarta.

Novel ini mengisahkan perjuangan dan petualangan dalam kalangan masyarakat Indonesia ketika zaman revolusi, iaitu ketika Belanda berusaha untuk menjajah kembali Indonesia, meskipun pengisytiharan kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945 telah diterima oleh masyarakat dunia. Rakyat Indonesia, terutamanya dalam kalangan masyarakat bawahan diperlihatkan Mochtar telah bangkit berjuang dengan begitu ikhlas untuk menghalau penjajah Belanda keluar dari tanah air mereka dengan tenaga, keringat, darah dan air mata. Perjuangan ikhlas mereka telah mendapat dukungan daripada negara luar, sehingga orang asing ikut “merantau” ke pelbagai tempat untuk membantu Major Sadeli. Sementara itu, Major Sadeli sendiri dipaparkan telah merantau ke beberapa negara tertentu untuk mendapatkan pelbagai bantuan yang sesuai, demi untuk merealisasikan matlamat perjuangan revolusi masyarakat Indonesia itu.

Gerakan revolusi ini berpusat di Yogyakarta, dan bantuan dari luar juga dihantar ke Yogyakarta, sebelum revolusi berjaya sehingga membolehkan Presiden Sukarno dan Perdana Menteri, Mohd. Hatta kembali menjadikan Jakarta sebagai pusat pemerintahan mereka. Jika diteliti, pergerakan merantau untuk mendapatkan bantuan dan pergerakan merantau untuk memberikan bantuan ini melibatkan pelbagai latar lokasi. Perjuangan menentang penjajah Belanda melibatkan pergeseran dan ketegangan hubungan antara dua kelompok manusia, iaitu yang mahu menjajah semula dan yang menentang penjajahan semula. Maka kertas kerja ini menggabungkan dua disiplin ilmu untuk membaca tujuan perantauan itu melalui teori kesusasteraan pascakolonial dan kaedah Geo-Information System (GIS).

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks