Oleh AMINUDIN MANSOR

KEKUATAN SESEBUAH CERPEN banyak bergantung pada tema, persoalan, perwatakan dan juga mesej yang disampaikan. Sebagai penulis, khususnya penulis cerpen, kekuatan ini dapat diseimbangkan dengan kekuatan bahasa yang diadun menjadi alat untuk menyampaikan pengajaran kepada pembaca.

Melalui psikologi pendidikan, iaitu suatu disiplin saintifik tersendiri yang dipelajari seseorang penulis cerpen dapat memasukkan unsur asas dalam persepsi dan perasaan yang menjadi hidup dalam alam kenyataan dan membuka struktur asas minda individu. Melalui konsep asas psikologi, iaitu naluri, keperluan, desakan dan motivasi diadun dalam cerpen. Minda dan badan, iaitu fizikal manusia boleh dikaji sebagai komponen masing-masing yang boleh diterapkan melalui karya kreatif, khususnya cerpen dan novel.

Dunia pendidikan adalah dunia guru dan murid. Bagi mereka yang pernah bertugas sebagai guru tentunya dapat menghayati perasaan dan jiwa muridnya. Begitulah cerpenis Mohd Ali Majod, 72, yang berjaya menghasilkan cerpen yang berkesan, ada unsur psikologi pendidikan di hati pembaca, cerpen “Pensel Sebatang”. Allahyarham meninggal dunia pada hari Selasa, 20 Mac 2012, jam 2.30 petang akibat sakit saraf yang ditanggung lebih setahun yang lalu. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, Selangor pada 22 Mac jam 11.00 pagi.

Nama sebenar Ali Majod ialah Mohamad Ali bin Majod. Dilahirkan pada 12 September 1940, di Kampung Ayer Penaga, Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan. Pendidikan awal Allahyarham di Sekolah Melayu Sungai Jerneh (1948-1955) dan kemudiannya di Sekolah Melayu Gemencheh (1956-1957). Setelah menamatkan pelajaran di sekolah, Allahyarham meneruskan pengajian di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjung Malim (1958-1961) dan seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (1975-1978).

Allahyarham pernah bertugas sebagai guru dan editor di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Selepas Allahyarham bersara dari DBP, Allahyarham bergerak sebagai penulis bebas, perunding sastera dan pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan  Kebangsaan (ASWARA). Allahyarham terlibat dalam penulisan sajak, drama, esei dan cerpen. Pernah memenangi Hadiah Sastera 1971 dan 1972, Hadiah Penghargaan Peraduan Menulis Cerpen ESSO-GAPENA 1980, Hadiah Sastera Remaja ESSO-GAPENA 1 (1982), serta Hadiah Sastera Malaysia (1986/1987).

Jika diteliti, kebanyakan tema cerpen Allahyarham tentang pelajar di sekolah, sebagai contoh cerpen “Diari Seorang Pengawas” membawa tema dunia pelajar. Cerpen ini mengisahkan pelajar tingkatan lima bernama Halim. Dia merupakan pengawas yang bertanggungjawab, tegas dan berani. Ciri kepimpinannya terserlah pada dirinya dan dia juga menjadi “pelajar contoh” di sekolahnya. Unsur psikologi pendidikan diterapkan dalam kebanyakan cerpennya.

Sewaktu  menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, Allahyarham telah memenangi Hadiah Tunas Sastera 1961, sempena Peraduan Mengarang Cerpen di maktab tersebut. Hasil karya Allahyarham memenangi hadiah RM100. Penghasilan karya Allahyarham diteruskan setelah menjadi pendidik dan semakin giat menghasilkan karya walaupun mempunyai komitmen sebagai guru. Allahyarham pernah bertugas sebagai pegawai di DBP Negara Brunei dan editor di Unit Buku Kanak-kanak dan Remaja, DBP, Kuala Lumpur.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Mei 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks