SAMUDERA ITU bergolak lagi, walaupun kadang-kadang tenang ditiup angin bahasa dan budaya. Kelasi yang budiman terus sahaja mengemudi celaga, layar terkibar. Wajanya, bahasa kebangsaan. Paksinya, budaya kemelayuan. Ke arah mana hendak dicecah kembali tanah pertiwi?

Akur, dewasa ini, suatu persoalan dibangkitkan, adunan dan rentak apa yang dapat membicarakan sebenar-benarnya kandungan sastera kebangsaan itu? Kedengaran suatu semboyan, penelitian yang lebih halus daripada jarum, bahawa keberadaan Islam dalam kemelayuan, memberi makna yang mungkin menolak sekumpulan karya yang sudah dikaitkan dengan waja “sastera kebangsaan”. Mohd. Zariat Abdul Rani memperhalusinya dalam Seksualiti dalam Novel Melayu. Reaksi ini setentunya provokatif dan para sasterawan perlu diberi ruang bersuara mempertahankan karyanya. Tetapi semboyan ini juga berjustifikasi, jika diperbandingkan dengan perikemanusiaan humanisme Barat dengan perikemanusiaan pembawaan Islam, teliti dalam tujuan kehidupannya, cerapan ilmunya, serta adat perintahnya, turut menjelmakan perbezaan yang ketara.

Samudera itu mungkin dapat ditenangkan sedikit, dengan pencerahan yang disampaikan oleh Dato’ Baha Zain dalam wawancara Dewan Sastera kali ini, serta hujah ampuh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkenaan hala kepentingan Dasar Sastera Kebangsaan yang boleh dicakna, membawa kemudi sastera yang tetap ke satu matlamat, tanpa belok-belok lagi.

Jun 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks