Judul Bunga yang Menangis | Pengarang Ja’afar Haji Hamdan | Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka | Harga RM19.00 | Pengulas Ainunl Muaiyanah Sulaiman

MENURUNI dari satu aksara judul ke satu aksara judul dalam kumpulan puisi Bunga yang Menangis karya Ja’afar Haji Hamdan, membawa kegelisahan yang puitis kepada pembaca.

Yang menariknya, judul setiap bab dalam kumpulan puisi ini disusun mengikut abjad, berupaya membawa pembaca ke sebuah dunia yang dilukiskan tentang kecintaannya kepada bahasa, tanah kelahiran dan bangsanya serta sesekali dibawanya ke dalam dunia romantis dan jalinan kata ketuhanan.

Kumpulan puisi ini merupakan kumpulan puisi yang gelisah terhadap perkara yang dialami dan disaksikan di sekeliling penyajak. Kerap kali puisinya berupa pertanyaan kepada dirinya sendiri. Antara subjek menarik yang diangkat ialah suara kota terhadap pembangunan dan nilai yang hilang di dalamnya, seperti sajak “Kota Ini Berbicara Lagi”, “Kota Gemilang”, “Mencitra Kota” dan “Bicara Orang Kota”.

Baris yang memikat dalam sajak “Kota Ini Berbicara Lagi” menampilkan kekeliruan dalam kota yang terus bergerak dan berubah; penyajak berkata:

Kota ini berbicara tentang kehidupan
yang menjadi sebuah lakonan
dengan watak menyerupai perempuan
dan perempuan menyerupai lelaki.

Penyajak pemerhati yang bersifat patriotik dan menyayangi bahasa serta bangsanya, seperti yang diungkapkan dalam sajak “Bunga-bunga Bahasa”. Sajak sebegini berjaya menyentuh hati pembaca dan memberikan kesedaran tentang pentingnya kita cinta akan bahasa dan sayang akan negara.

Kecintaan penyajak pada bahasanya dapat dilihat kukuh menyerlah dalam sajak “Bahasa yang Basah”:

Tetapi bahasaku tidak resah
pada setiap waktu pasrah
kerana bahasaku adalah aku
dari bangsa yang satu.

Walaupun terdapat kalimat klise yang berulang kali muncul dalam puisi kontemporari di Malaysia, yang dipilih untuk digandingkan dalam puisinya, seperti “arus waktu” (“Akulah Si Pemuja Itu”) dan “lautan kata-kata” (“Melayari Bahasa”), puisi tersebut berjaya diselamatkan oleh keseluruhan makna yang mahu disampaikan oleh suara si penyajak dalam puisinya.

Penyajak memilih subjek dan perspektif kepenyairan dalam zon yang selesa dan tidak menawarkan sebegitu banyak kelainan dan pembaharuan dalam pengucapan puisi, tetapi usahanya untuk mengungkapkan pandangan ke dalam puisi harus diberikan pujian. Seperti puisi yang menunjangi judul kumpulan puisi ini, “Bunga yang Menangis”, seolah-olah mewakili keseluruhan roh kumpulan puisi ini yang kerap kalinya mengandungi rintihan, kegelisahan dan kegalauan, yang diungkap tanpa kekasaran, sebaliknya menyusup lembut ke dalam pembacaan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Jun 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks