22 JUN 1956 merupakan tarikh penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang pada nama asalnya dinamakan Balai Pustaka di Johor Bahru, Johor. Hasil daripada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu pada September 1956 nama Balai Pustaka ditukar kepada Dewan Bahasa dan Pustaka. DBP menyambut Ulang Tahun yang Ke-56 pada 22 Jun 2012 (Jumaat). Majlis Perasmian Ulang Tahun DBP yang Ke-56 akan disempurnakan oleh YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir. Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Tokoh Bahasa yang akan disampaikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin.

LATAR BELAKANG DBP

DBP atau nama asalnya Balai Pustaka ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Johor Bharu, Johor sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Penubuhan DBP adalah untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka ketika itu.

Hasil Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bharu pada 16 – 21 September 1956, kerajaan telah menerima cadangan kongres yang mahu menamakan Balai Pustaka dengan nama Dewan Bahasa dan Pustaka. Di samping itu juga, DBP dinaikkan taraf sebagai badan yang mempunyai anggota lembaganya sendiri.

Pada tahun 1957, DBP telah berpindah ke Kuala Lumpur dan ditempatkan  di bekas wad sebuah hospital di Jalan Young. Perpindahan ini bagi memudahkan segala pelaksanaan tugasnya yang selaras dengan pengisytiharan bahasa Melayu, sebagai bahasa kebangsaan dan akan menjadi bahasa rasmi tunggal negara.

Pada tahun 1959, DBP telah dinaikkan taraf menjadi sebuah badan berkanun melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Dengan penaikan taraf ini, DBP diberi kuasa autonomi, iaitu i) menggubal dasarnya yang khusus; ii) menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera; dan iii) menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetitif menurut prinsip dan amalan perusahaan dan profesion penerbitan.

Pada 31 Januari 1962, DBP telah berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Lapangan Terbang Lama (sekarang dikenali Jalan Dewan Bahasa). Pada tahun 1977, DBP mengembangkan sayapnya ke Malaysia Timur dengan membuka dua (2) pejabat Cawangan iaitu DBP Cawangan Sabah di Kota Kinabalu, Sabah dan DBP Cawangan Sarawak di Kuching, Sarawak. Ini diikuti pula dengan pembukaan empat (4) pejabat wilayah iaitu DBP Wilayah Utara di Bukit Mertajam, Pulau Pinang (1999), DBP Wilayah Timur di Kota Bharu, Kelantan (1999), DBP Wilayah Selatan di Johor Bharu, Johor (2000) dan DBP Wilayah Tengah di Tingkat 8, Menara DBP (2011).

Mulai tahun 2002, Ibu Pejabat DBP beroperasi di Menara DBP yang mula dibina pada tahun 1997.

Be Sociable, Share!