PADA TAHUN LEPAS, masyarakat Indonesia berpeluang menonton dua buah filem adaptasi karya sastera mereka. Filem Sang Penari (2011) merupakan filem adaptasi arahan Ifa Isfansyah berdasarkan trilogi novel Ronggeng Dukuh Paruk oleh Ahmad Tohari. Filem Di Bawah Lindungan Ka’bah (2011) pula merupakan filem adaptasi novel popular Hamka, diarahkan oleh Hanny R. Saputra.  Kedua-dua filem mendapat sambutan yang hangat. Kedua-dua novel turut dicetak semula, dibeli dan dibaca oleh generasi muda Pancasila seterusnya.

Di Malaysia, filem dan sastera masih jauh bersepakat. Orang filem sibuk dengan penceritaan mereka, pembikinan dengan teknologi mereka, dan hal remeh-temeh artis mereka. Orang sastera pula sibuk dengan penceritaan mereka, gerakan pembikinan mereka, dan hal remeh-temeh kehidupan mereka.

Umum tidak menyedari, atau langsung menjahilkan diri, bahawa seperti sastera, filem pun sebenarnya selalu disalah anggap.

Misalnya, pembikin filem sekarang selalu dituduh tidak menerapkan unsur patriotik ke dalam pengisian filemnya. Benar, kini wujud terlalu banyak filem separa seram komedi, filem subgenre “rempit” dan samseng yang merabunkan pemandangan khalayak bahawa sebenarnya filem berunsur kebangsaan masih dibikin saban tahun. Pentakrifan filem patriotik sepatutnya tidak hanya terikat dengan genre perang, pejuangan menentang penjajahan dan laungan orang bersongkok menjulang, “Merdeka!” Begitu juga apabila filem seperti Berlari ke Langit (2004) yang menampalkan “Bendera Jalur Gemilang” pada setiap adegan dan latarnya di setiap seluloidnya, hanya untuk mengiyakan filem tersebut sebagai “bersemangat kebangsaan”.

Baru-baru ini, filem Hoore! Hoore! (2012) arahan Saw Teong Hin menampilkan penggunaan genre muzikal dengan runut bunyi Allahyarham Dato’ Sudirman dalam sebuah plot senang dengan pelaksanaan yang sederhana. Apa yang menarik berkenaan filem itu adalah penerapan satu agenda “kebangsaan” yang khusus ke arah masyarakat plural 1Malaysia, diterima dan diterapkan oleh watak-watak anak muda filem itu (melalui lagu-lagu Sudirman!) Mereka belajar tentang pendirian teguh dan menghormati antara satu sama lain dalam satu semangat bersatu padu. Semangat sebegini rupa pun sebenarnya patriotik.

Sebenarnya, perkara runcing yang lebih diperlukan sekarang dalam kalangan pembikin filem kita adalah patriotik dalam memilih untuk mengadaptasi novel-novel sastera kita sendiri. Pembikin filem perlu melihat “tanggungjawab” yang lebih besar ke arah mengangkat potensi masyarakatnya mencapai sebuah masyarakat bertamadun dengan pengisian yang lebih bererti daripada komersial murahan semata-mata. Hollywood, malah Bollywood sudah melakukannya. Malahan tetangga Indonesia, Filipina dan Thailand sudah lama meninggalkan kita. Masa kita sudah terlalu suntuk. Ambang 2020 begitu dekat, dan kita masih bermimpikan hantu berambut panjang, motosikal malam dan samseng meminta hutang.

Julai 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks