Judul Pemikiran Sasterawan Negara Shahnon Ahmad | Pengarang Pelbagai | Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka | Harga RM45.00 | Pengulas Firas Asyraf

TIADA SESIAPA yang dapat menafi kan kehebatan pelipur sastera Melayu yang bernama Shahnon Ahmad. Setelah melayari lautan kreatif selama lebih setengah dekad, namanya masih gah walaupun tarian penanya semakin perlahan atas faktor usia yang lanjut.

Beliau telah melahirkan banyak novel, cerpen, esei dan kritikan yang dinikmati generasi demi generasi. Novelnya menyelinap dalam nadi kehidupan dan menyentuh pelbagai persoalan: Politik, sosial, budaya, ekonomi, agama dan sedikit-sedikit erotika.

Selain pelbagai anugerah dan hadiah yang dimenangi, makalah dalam buku ini menyuguhkan keterampilan Shahnon dalam penulisan novel. Pemakalah terdiri daripada pengarang kreatif dan ilmuwan, seperti penyelidik, sarjana sastera, ahli akademik dan sejarawan. Tahap pengalaman dan usia pemakalah yang berbeza menghasilkan perspektif analisis dan kajian yang berbeza.

Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu “Shahnon Ahmad dalam Novel”, “Shahnon Ahmad dalam Cerpen” dan “Shahnon Ahmad dalam Esei dan Kritikan”. Muhammad Haji Salleh, dalam Pendahuluan mengakui analisis dan kajian terhadap karya Shahnon kalis masa, seperti katanya, “… dan ada pula jejak baharu yang ingin merentas jalan baharu, memberi tafsir mutakhir kepada karya Shahnon Ahmad yang nampaknya tahan oleh kajian ulangan dan sudut pandangan yang berbeza-beza.”

Dalam bahagian pertama, barisan pengkaji terkenal menganalisis novel Shahnon Ahmad dari pelbagai sudut. Antaranya, S.M. Zakir mengkaji Rentong, melihat pertempuran dua sektor, iaitu sektor peribumi dan sektor petualang. Sektor peribumi digambarkan sebagai daif, naif dan serba kekurangan, manakala sektor petualang memperlihatkan dunia yang maju, berkuasa, memiliki dan menghadapi pergelutan dengan kebimbangan “dirompak” oleh penghuni sektor yang satu lagi.

Jeniri Amir pula yang memilih novel Tunggul-tunggul Gerigis, Sutan Baginda dan Patriarch merakamkan kenyataan kuasa dan media. Katanya, “Ahli politik sedar akan kuasa media untuk mendapatkan kuasa, mempertahankan kuasa, dan mengukuhkan kuasa.”

Hamzah Hamdani yang menganalisis cerpen dalam kumpulan cerpen Anjing-anjing yang terbit pada tahun 1964 mendapati Shahnon Ahmad mengutamakan kritikan, bukan nilai estetik. Kata Shahnon lagi, “Kritikan yang terkandung dalam karya ini begitu terdedah sehingga tidak terasa kerahsiaan dan keghaiban seni sasteranya.”

Rahimah A. Hamid yang mengkaji kumpulan cerpen Debu Merah mendapati pengarang pandai, cerdas dan berkeupayaan intelektual tinggi menawarkan kelainan dan perbezaan daripada biasa. Shahnon Ahmad dapat menangkap keseliratan dan kerumitan kehidupan dan watak manusia.

Abdul Rahman Napiah melihat 12 keunggulan Shahnon Ahmad yang terpancar dalam karyanya. Antara keunggulan itu termasuklah mampu mengemukakan pelbagai konsep dan aliran melalui karyanya, berusaha meningkatkan mutu karya, berani mengetengahkan gagasan atau tafsiran serta sudut baharu, dan memilih untuk menulis karya yang berteraskan Islam.

Hasil kajian dan analisis pemakalah, jelas bahawa Shahnon Ahmad meninggalkan pengaruh yang besar dalam dunia kesusasteraan tanah air. Gaya dan idea penulisannya menyerlahkan kekuatan dan dasar kepengarangannya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Ogos 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks