Judul Seri Dewi Malam | Penulis Affifudin Haji Omar | Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka | Harga RM40.00 | Pengulas Sofia Humaira’

PERJUANGAN MENDAPATKAN CINTA tidak sama bagi setiap manusia. Ada yang melalui jalan mudah dan tidak sedikit pula yang perlu mengharungi aneka rintangan dengan jalur masa yang panjang. Novel Seri Dewi Malam mengisahkan perjalanan hidup Aziz, anak pesawah di Kampung Kubang Lembu, Kedah, dengan Rohana, anak bangsawan yang menjadi kegilaan ramai teruna.

Pautan hati antara dua insan ini bermula apabila Aziz terpandang Rohana yang menyanyikan lagu “Seri Dewi Malam” bersama-sama orkestra pimpinan ayahnya, Encik Fazil, di Pasar Ria, Kubang Pasu, pada tahun 1958. Dengan latar budaya ketika itu yang amat menitikberatkan status, cinta Aziz dan Rohana mendapat tentangan hebat Encik Fazil.

Walaupun miskin, Aziz pelajar yang pintar. Dia kemudiannya dipilih menyertai Program Saintis Muda anjuran Universiti Malaya. Aziz berusaha penuh kesungguhan untuk menjadi saintis Melayu Malaysia dan mengubah pandangan masyarakat terhadap anak pesawah sepertinya.

Dalam masa yang sama, mekar cinta Aziz dan Rohana diganggu dengan kehadiran Syed Munawir yang berkomplot dengan Nasir, sepupu Rohana, untuk meragut kegadisan. Kezaliman yang dilakukan oleh Syed Munawir mencetuskan rancangan balas dendam Rohana. Dia bersetuju menikahi Syed Munawir enam minggu selepas bercerai talak satu dengan Aziz yang dinikahi secara rahsia.

Sepanjang hampir dua dekad perkahwinan “tidak sah” antara Rohana dengan Syed Munawir, suami yang dahulunya begitu baran dan pemabuk berubah sikap setelah diberi minuman bercampur serbuk yang mengandungi estrogen hingga menyebabkan Syed Munawir “mati pucuk”. Sementara itu, Aziz yang menyambung pengajian pada peringkat sarjana dan doktor falsafah di University of Cornell mengkhianati cinta mereka dengan menikahi Shazlin yang ditemui di Minangkabau ketika menjejaki salasilah keturunannya.

Aziz menikahi Shazlin dengan alasan tuntutan seksual sebagai lelaki normal yang terpaksa menunggu Rohana menyelesaikan rancangan balas dendamnya terhadap Syed Munawir. Perkhidmatannya dengan NASA secara langsung menyebabkan Aziz terpaksa memutuskan hubungan dengan seluruh keluarga di Malaysia lantas membuatkan Rohana semakin tertekan. Namun demikian, perubahan positif Syed Munawir yang semakin berusaha mendekatkan diri kepada Allah menjadikan Rohana insaf akan rancangannya.

Kekuatan fiksyen ini terletak pada pemilihan elemen jalur dan latar masa yang dipilih oleh penulis. Awal cerita ini dimulakan dengan teknik imbas kembali (2009 – 1970 – 1963 – 1958 – 1970-an – 1980-an – 1990-an – 2000 – 2001 – 2008) yang berterusan hinggalah kembali pada latar masa terkini.

Setelah kematian Syed Munawir, apakah yang terjadi kepada Rohana? Adakah cinta yang terpisah selama lebih dua dekad antara Rohana dengan Aziz dapat bersatu kembali? Bagaimanakah pula penerimaan Fauziah, anak Rohana? Novel yang penuh dengan elemen cinta, dendam, pengkhianatan dan kekeluargaan ini mempunyai kekuatan dari segi teknik penceritaan yang tersusun kemas, sekali gus memudahkan pembaca untuk memahaminya.

Karya yang terbit pada tahun 2012 ini mampu memberikan pengalaman penuh nostalgik kepada pembaca generasi 1950-an dan pengalaman baharu kepada pembaca generasi 1990-an melalui latar budaya dan pemikiran zaman yang dibawa oleh penulis menerusi karya ini.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Ogos 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks