HATI PENULIS TERTAWAN. Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia sewaktu melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, menyatakan bahawa anak sekolah generasi baharu akan diajar mendalami karya Shakespeare; jika bukan karya asal, versi mudahnya.

Kenyataan beliau menimbulkan suatu persoalan yang berjaya membuka mata ramai pemerhati sastera tempatan. Bukankah Hikayat Hang Tuah, Sulalatus Salatin dan Syair Siti Zubaidah juga boleh dipermudahkan untuk dihadam dan dinikmati oleh kanak-kanak?

Sebenarnya, kebanyakan karya sastera kita, baik tradisional mahupun moden, sudah menunggu begitu lama untuk di”permudah”kan. Penulis sendiri pernah menatap buku Dracula versi Lady Bird, membaca versi “ringkas”nya (abridged) sewaktu remaja, dan seterusnya membaca versi asalnya sewaktu berumur 21 tahun. Masing-masing dalam nikmat bacaan yang berbeza. Masing-masing mengikut kesesuaian bahasa, kefahaman, pencerapan dan penaakulan yang sesuai dengan usianya. Penulis hanya dapat menatap novel-novel hebat Sasterawan Negara Arena Wati pada usia 18 tahun. Alangkah seronoknya, jika penulis dapat menemui Busad, Ramli dan Michiko sedari kecil? Sudah tentu nama-nama penulis kita jadi sebutan sejak kanak-kanak. Nilai budaya, pemikiran, etika dan juga semangat watak yang dekat dengan jati diri kita dapat dikenali, diterap dan dicintai.

Alangkah bagusnya jika anak-anak kita dapat mengunyah kisah Parameswara menemui Melaka dan Tuanku Malim Deman mengembara ke Kayangan sewaktu di Tadika lagi! Sebenarnya, sudah ada beberapa hasil karya tradisional “versi mudah” yang pernah diterbitkan. Sebagai ibu bapa dan agen peduli masyarakat yang mahu melihat generasi muda kita dilahirkan sebagai generasi bermutu yang memiliki identiti kebangsaan yang hakiki, bahan-bahan “versi mudah” tempatan yang sudah tersedia di rak-rak buku perpustakaan dan kedai buku, haruslah dikongsi bersama kanak-kanak kita yang dahagakan falsafah dan pemikiran tempatan.

Walaupun begitu, hasil kerja bernilai yang sudah dimulakan oleh segelintir penulis dan “pencerita semula” haruslah terus disokong. Sebagai agen peduli masyarakat, para penerbit tempatan juga memikul tanggungjawab yang berat untuk bersama-sama mengadaptasi lebih banyak karya sastera, dalam pelbagai genrenya. Dapatlah kita lihat nanti, kebanjiran pelbagai bentuk buku cerita, komik, novel grafik, juga versi teks yang sesuai untuk bacaan pelajar pelbagai umur yang tentu dapat membangunkan generasi baharu yang dipacu nilai murni serta meningkatkan identiti kebangsaan yang menyatu dan berpadu mesra.

November 2012.

Be Sociable, Share!