DS: Profesor telah menghasilkan dua kumpulan puisi, iaitu Dalam Terang dan Mutiara Taman Adabi. Boleh Profesor kongsikan proses kreatif sewaktu menulis puisi-puisi tersebut?

Wan Mohd Daud: Puisi-puisi itu ditulis tanpa niat. Sewaktu dikeluarkan dari ISTAC, saya sukar untuk ke perpustakaan. Dalam masa yang sama, saya mahu menulis untuk menceritakan perkara yang berlaku dalam bentuk yang mendalam tanpa penggunaan nota dan rujukan. Saya mahu menggunakan pengalaman saya yang juzi’e (kontekstual) tetapi menjadikannya sebagai satu bentuk yang kulli (universal). Berdasarkan pembacaan saya, ramai cendekiawan zaman dahulu yang menulis pengalaman peribadi mereka tetapi dengan tujuan untuk menjelaskan sesuatu yang lebih besar. Untuk itu, mereka menggunakan tamsilan, alegori, kisah haiwan dan sebagainya. Jadi, saya mengambil pendekatan tersebut. Puisi-puisi yang ditulis tidak berbentuk episodik. Puisi-puisi itu mengalir lancar dalam masa tiga bulan. Apabila saya baca kembali, saya berasa hairan bagaimana kata-kata itu boleh hadir dalam fikiran saya? Tuan Haji Affandi Hassan ada meminta saya menulis siri yang ketiga, saya sudah cuba, tetapi tidak mampu juga walaupun sudah ada drafnya. Sehingga kini, kata-kata yang saya inginkan itu tidak keluar dalam bentuk yang saya mahukan.

DS: Jadi, adakah itu ilham?

Wan Mohd Daud: Saya yakin itu ilham sebab belum ada sebelumnya dan susah untuk mendapatkannya selepas itu. Bagi saya, tema itu datang pada waktu itu sahaja biarpun tulisan tersebut mengalami proses suntingan kemudiannya. Memang dalam Islam sekalipun, semua ilmu yang kreatif ialah ilham, sebab bukan ciptaan kita. Apabila kita membaca sesuatu tulisan, memang tulisan itu hasil pemikiran manusia tetapi hasil pemahaman dan maknanya yang tiba dalam fikiran kita itu daripada Allah SWT juga. Pemahaman terhadap makna itu bukan kerja kita. Ibn. Sina memanggilnya sebagai “wijdan”. Cuma orang tidak mengiktirafnya. Kadang-kadang, walaupun datangnya daripada Allah SWT, akibat cara penghuraian yang mungkin tidak tepat, orang tidak mengendahkannya. Begitu juga dengan para anbia, mereka mendapat wahyu, dalam konteks yang kedua, mereka juga menerima ilham, seperti yang tercatat dalam hadis Nabi misalnya, kerana Nabi tidak menipu atau cuba menambah. Begitu juga dengan ilmuwan yang serius, tidak kira muslim atau tidak (mereka) juga menerima ilham.

DS: Apakah pegangan Profesor sewaktu menulis puisi serta prinsip kepengarangan Profesor secara umum?

Wan Mohd Daud: Saya tidak reka puisi-puisi itu secara polos sebaliknya ada beberapa perkara yang diteliti. Tamsil yang saya cuba ungkapkan pun reflektif terhadap realiti dan sesuai dengan perkara yang mahu saya utarakan. Profesor Naquib (Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas) ada menyatakan bahawa jika mahu menggunakan misal, biar menepati hakikat, jangan mencipta tamsil yang melawani hakikat. Contohnya, saya menulis “walau puyuh mencuri sarang helang”. Secara organik, puyuh tidak mempunyai tenaga hati yang kuat, sedangkan tahap oksigen di udara rendah, jadi puyuh tidak boleh terbang tinggi untuk mencapai sarang helang. Tamsil tersebut menceminkan hakikat alam tabii yang “real” (nyata). Profesor Naquib sering menyatakan, sastera dalam bentuk kreatif harus menyampaikan ilmu dan kebenaran. Sastera mesti mendidik manusia untuk berfikir dan beramal. Saya berpegang dengan pandangan beliau.

Ketika menulis juga, saya tidak begitu gemar jika kita menulis untuk mendapat anugerah dan hadiah. Kita lihat ada sesetengah negara, dalam konteks tertentu, sangat menekankan Hadiah Nobel. Pemenang Nobel belum tentu menulis untuk memenangi hadiah berprestij itu kerana mereka mahu menulis pengalaman diri dan bangsa mereka. Masyarakat akan menilai mereka. Jika hal itu yang dituju (mendapatkan hadiah), kita menulis untuk memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Kriteria itu boleh berubah-ubah. Satu ketika, penilai menilai berdasarkan kriteria demokrasi, satu ketika hak asasi. Kita menulis untuk menyampaikan perasaan dan pengamatan yang paling dalam. Jadi, bagi saya, prinsip ini juga sama sewaktu menulis karya ilmiah. Jika sarjana kita menulis untuk meningkatkan Indeks Prestasi Utama (KPI), mahu menerbitkannya di luar negara, maka sarjana kita mesti menuruti kehendak mereka (Barat). Tetapi para sarjana besar yang saya kenali sebelum ini, seperti Profesor Naquib, mereka mengenal pasti sesuatu masalah yang penting bagi mereka dan menulis untuk menghurai, memperbaik atau menyelesaikan masalah itu. Sama ada orang mengiktirafnya atau tidak, itu masalah yang kedua. Biasanya dalam waktu yang tidak terlalu lama, akan ada orang yang menilainya. Niat itu penting, terutamanya kepada sarjana Muslim. Sebab, apabila kita mahu mendidik masyarakat, biasanya kita memahami perkara yang belum difahami oleh mereka. Penulis kreatif atau sarjana yang mahu mengangkat masyarakat, biasanya mereka berada di hadapan pemikiran masyarakat. Oleh sebab itu, pemikiran mereka tidak mudah untuk dihargai oleh masyarakat dalam waktu yang terdekat. Apabila mereka  berada di depan, mereka dapat melihat masalah yang tidak dapat dilihat secara menyeluruh oleh masyarakatnya. Maka masyarakat akan mengambil masa untuk memahaminya. Maka, untuk berada di hadapan, mereka harus memiliki ilmu, harus ada pengamatan yang tinggi, harus ada kerangka falsafah yang luas. Apabila ada dua ekor anai-anai di luar sana, bermakna sarangnya sudah banyak di bawah tanah. Jangan tunggu seribu ekor, kerana waktu itu rumah sudah runtuh. Waktu itu tidak perlu lagi tulisan seorang sarjana. Orang yang tahu tentang sifat anai-anai, akan mengambil tindakan yang cepat kerana mereka tahu anai-anai bukanlah haiwan yang hidup terasing. Hal ini berbalik pada ilmu. Sama juga dengan penulis kreatif.

DS: Apakah pula pandangan Profesor tentang ilmu dalam sastera? Misalnya, memasukkan ayat suci, petikan tertentu dan fakta atas alasan “keilmuan”.

Wan Mohd Daud: Bergantung kepada sasaran pembaca. Jika kita mahu mengajar pembaca beberapa aspek utama, tindakan itu tepat. Misalnya, seperti yang dilakukan oleh Raja Ali Haji dalam gurindamnya atau oleh P. Ramlee seperti dalam lagu “Rukun Islam Lima Perkara”. Saya yakin mereka menyasarkan golongan awam. Tetapi di peringkat khalayak yang lebih terdidik, kita memerlukan sastera yang lebih dinamik yang datang daripada refleksi falsafah, sejarah, seni dan sains. Tujuannya untuk meningkatkan pemikiran kita. Ada yang laris dan popular dan ada juga sebaliknya, itu hal kedua dan tidak perlu menjadi satu persoalan yang utama. Kadang-kadang walaupun (sesuatu karya itu) bernilai tinggi tetapi tidak mudah diterima. Kadang-kadang, ada yang sebaliknya, kerana cara penghuraiannya atau ada pihak yang mengangkatnya. Sesuatu idea yang bagus tidak secara automatik diterima. Hal yang sama berlaku pada zaman dahulu. Jika kebetulan pada waktu itu, ada raja atau pembesar yang mempunyai pemikiran yang tinggi, berminat pada perkara yang sebegitu, sudah tentu mereka akan mengangkatnya. Tetapi, jika raja atau para pembesar hanya tahu berkuda dan memanah sahaja, mereka tidak akan nampak kepentingan yang sebenar. Zaman sekarang tentu berbeza dan agak mudah. Penerimaan karya yang bermutu boleh sahaja melangkaui pihak berkuasa. Walaupun begitu, tidak begitu mudah jika tidak mendapat bantuan dan sokongan pihak berkuasa. Untuk menulis karya yang besar, memang memerlukan pengorbanan kerana perlu melalui proses yang panjang dan mencabar. Jika tidak ada pihak berkuasa yang mahu memberikan bantuan, maka tidak banyaklah orang yang akan menulis karya besar.

DS: Apabila tamadun kita bersentuhan dengan tamadun Barat, pendidikan sekular diperkenalkan sehingga mewujudkan dikotomi antara sains dengan sastera. Tetapi dalam sejarah kita, hal itu tidak dipisahkan, contohnya, seperti yang tergambar dalam diri Hamzah Fansuri dan Iqbal. Boleh Profesor komen?

Wan Mohd Daud: Ya, benar. Dalam Islam, ilmu itu ada “akar” dan “pokok”. Jadi, apabila dituruti akar dan pokok, maka banyaklah buahnya. Akar dan pokok itu ialah konsep fardu ain dan fardu kifayah. Hampir setiap orang waktu itu mengetahui asas agama dan sumber agama sama ada secara sekunder atau utama. Jadi, apabila mereka bertolak daripada pendidikan agama yang tinggi sebegitu, mudah dikembangkan oleh mereka ke dalam sastera atau sejarah. Sejarah juga pada waktu itu ditulis tidak semata-mata mengutamakan fakta, tetapi dicampur dengan puisi, alegori dan lain-lain. Apabila dimasukkan unsur-unsur demikian, kitab yang tebal tidak menjemukan, ditambah dengan miniatur yang indah. Tetapi untuk memasukkan semua (ciri) itu, mereka memerlukan ilmu yang banyak. Apabila dipecahkan gagasan epistemologi itu, maka kita hidup dalam pengkhususan masing-masing. Pengkhususan inilah yang tidak menguntungkan kita. Akibatnya, orang sains tidak meminati sastera dan mereka gagal menulis disiplin mereka dengan cara yang menarik dan indah. Bayangkan jika mereka mempunyai kemahiran sastera, mereka tentunya dapat mengajar sains dalam bentuk yang begitu menarik, seperti yang dilakukan oleh Profesor Naquib sewaktu mengajar falsafah. Kepada mereka yang pernah menghadiri kuliah Profesor Naquib, beliau sentiasa menyelitkan puisi, alegori, kisah binatang dan lain-lain sewaktu mengupas pelbagai persoalan falsafah. Biarpun perbincangannya berat, tetapi bertukar hidup dan penuh pesona.

DS: Bukankah hal itu berlaku kerana sistem kita yang terlalu pragmatik?

Wan Mohd Daud: Ya, sistem kita pula terlalu pragmatik, yang menganggap hal-hal yang tidak saintifik dan tidak bersifat ekonomi tidak begitu penting dan diabaikan. Sedangkan selain sains dan ekonomi, ilmu sejarah, sastera dan lain-lain sangat penting. Jika kita pergi ke Istanbul contohnya, salah satu pendapatan negara tersebut ialah pelancongan yang berasaskan sejarah dan seni. Jadi, kerangka ilmu itu, fardu ain dan kifayah yang bersifat sepadu harus dikembalikan. Sistem pendidikan kita mesti lebih berintergrasi, dan kesepaduan itu bukan sahaja mesti tamat di tingkatan lima, tetapi mesti berterusan sepanjang hayat.

DS: Saya rasa sistem ini tidak sahaja memberikan kesan yang negatif kepada “orang sains” tetapi juga kepada orang sastera.

Wan Mohd Daud: Benar. Malah, orang sastera sekalipun, apa salahnya jika mereka turut mempelajari sejarah sains dan sejarah falsafah dengan lebih disiplin? Jika tidak disiplin, apabila mereka cuba mengaitkan agama dengan falsafah dalam sastera, usaha itu akan nampak bercanggah dengan kandungan yang sebenar, malah kelihatan kebudakan-budakan. Jadi, dia (penulis) hendak mengajar, tetapi sasarannya audiens yang sudah terpelajar. Kandungan maklumat terlalu rendah. Jadi, timbul sinisme dan tohmahan sepeti mahu menebalkan novel. Dua tiga surah dimasukkan. Kadang-kadang mereka tidak dapat menerka di mana darjat kepentingan teks itu dalam konteks Islam. Jadi, berbalik pada persoalan yang kita bincangkan sebelum ini, iaitu sains, ilmu dan sastera adalah tiga dimensi yang tidak dapat dipisahkan untuk mewujudkan budaya pemikiran yang bermakna. Dalam konteks penulisan secara umum di Malaysia, perbincangan perlu lebih bersepadu dan tidak terpecah-pecah. Tidak salah jika suatu hari nanti, orang sastera membincangkan karya akademik, kerana, karya akademik yang bagus juga kreatif. Kreatif ini bukan ada dalam novel, cerpen dan puisi sahaja. Jika kreatif itu hanya ada dalam karya sastera, kreatif itu telah dimaknakan secara terbatas. Seolah-olah karya sarjana itu tidak kreatif sedangkan datangnya daripada sumber yang sama. Malah, kedua-duanya mesti memancarkan kebenaran dan menghindari kebatilan. Sekarang, seakan-akan ada dikotomi antara ilmu dengan kreativiti. Sedangkan hal akademik harus ditulis secara kreatif dan diminati para pembaca. Karya sastera yang kreatif juga harus memancarkan ilmu, akhlak dan kebenaran. Tetapi tentunya bukan dalam bentuk yang sempit, bukan berdahkwah semata-mata, tetapi dalam bentuk yang mencabar.

DS: Selain soal ilmu dalam karya sastera, apakah pandangan Profesor tentang karya tasawuf?

Wan Mohd Daud: Apa-apa pun subjek yang hendak ditulis, kita dituntut untuk mempunyai ilmu tentang subjek yang diperkatakan dan mengamalkannya. Tentang karya sufi, seseorang itu hanya boleh menulis karya sufi yang bertanggungjawab apabila dia sendiri menjadi seorang ahli sufi. Penyair sufi sekalipun, mereka bukan mahu menulis puisi tetapi mahu menyampaikan ilmunya dan mendidik para muridnya. Sama juga dengan seorang mutakalim yang menulis untuk menyatakan perkara yang dialaminya, ilmunya kepada muridnya. Sebab itu, amatlah silap kita cuba menulis karya sufi dengan menggunakan kata-kata sufi. Ahli sufi yang benar pun boleh menjadi silap jika kata-katanya diambil secara literal. Contohnya, banyak ungkapan Hamzah Fansuri yang diambil secara literal sehingga menyebabkan berlakunya tafsiran yang menyeleweng dan menyesatkan. Sebab itu, Hamzah Fansuri memberi ingatan bahawa jika kata-katanya diambil secara literal, akan menjadi racun. Hamzah Fansuri seorang sufi dan ahli bahasa yang tinggi, beliau menguasai bahasa Parsi dan Arab. Apabila kita meneliti tajuk-tajuk karyanya sendiri, sudah jelas memperlihatkan bahawa karyanya ditullis untuk orang yang sudah mencapai tahap yang tinggi dalam tasawuf, bukannya untuk pemula atau orang awam. Misalnya, Al-Muntahi jika diterjemahkan bermaksud “Hujung Pengalaman Rohani”. Syarab al-Asyikin pula bermaksud “Minuman Orang-orang yang Asyik”. Jadi, yang paling baik saya fikir, kita jangan kata mahu menulis karya sufi, tetapi menulis tentang sesuatu yang kita fahami dan kuasai agar tidak berlakunya kerosakan ilmu. Sekarang di Barat, hal tasawuf yang paling disukai sehingga karya Jalaluddin Rumi menjadi karya yang paling popular. Karyanya dicetak di pakaian, di kotak mancis, di mana-mana. Puisi Rumi menampilkan satu tangkapan rohaniah yang dilalui oleh beliau. Jadi, jika kita lihat pada perkara yang telah dilakukan pada puisi-puisi Rumi sekarang, itu satu pengkhianatan kepada tujuan asalnya mengarang puisi.

DS: Secara peribadi, apakah tanggapan Profesor terhadap hasil sastera seperti novel dan puisi tempatan?

Wan Mohd Daud: Saya sendiri cukup menghormati orang yang menulis novel sebab untuk menulis mesti memiliki kosa kata yang banyak. Yang kedua, harus mampu mendeskripsikan suasana dengan jelas. Begitu juga, saya cukup mengagumi penyair, yang harus menyampaikan hakikat sesuatu dengan penggunaan perkataan yang ekonomi dan tepat. Macam Shakespeare, “To be or not to be”. Itulah masalahnya, hanya tiga baris sahaja (ketawa). Jadi, sesetengah orang lebih susah menjadi penyair daripada novelis. Yang pertama, lebih susah kaya (ketawa). Tetapi bagi saya, kepayahan (penyair) yang sebenar adalah dari segi penyaringan kata-kata untuk menyampaikan keadaan itu, sebab tidak boleh membazirkan perkataan. Tetapi kedua-duanya ada kelebihan. Saya hormati Dr. Adian Husaini, Pak Samad (Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said), Allahyarham (Sasterawan Negara) Usman Awang, (Sasterawan Negara) Keris Mas, (Sasterawan Negara) Arena Wati – sebab mereka boleh menulis dengan cara yang baik dan masyarakat boleh membacanya. Saya dahulu membesar dengan karya-karya Hamka dan Ishak Haji Muhammad kerana itulah bentuk bacaan yang dicadangkan di sekolah menengah.

DS: Bagaimanakah Profesor melihat perkembangan kesusasteraan kontemporari?

Wan Mohd Daud: Sekarang saya lihat penulis boleh hidup mewah dengan menulis novel. Itu satu perkembangan yang menarik. Apabila saya masuk ke kedai buku, ternyata novel ada banyak sekali. Hal ini menunjukkan masyarakat kita makin banyak membaca. Apabila dilihat isi kandungannya, tidak ada gambaran seksual yang melampau. Malah, ada pula penulis yang menerbitkannya sendiri. Cuma dari segi nilai yang lebih tinggi, saya belum nampak. Misalnya, apabila kita membaca sesuatu novel, kita mahu membaca untuk kali kedua dan seterusnya kerana ada sesuatu yang “lebih” dalam novel itu. Jika sasterawan kita boleh menulis sesesuatu yang lebih dalam alangkah baiknya kerana kita mahu membaca untuk mendapat sesuatu. Misalnya, kita tidak akan puas membaca Arus Balik karya Pramoedya atau Tenggelamnya Kapal Vanderwijk karya Hamka hanya dengan sekali bacaan. Apatah lagi karya Iqbal yang cukup mendalam dan sangat penting dalam kehidupan untuk difahami. Misalnya, Iqbal menulis, “seorang mukmin seperti seekor garuda, hidupnya mencari makanan di tengah awan, bukan seperti gagak yang mencari makanan dari bangkai”. Jadi, beliau menyatakan mukmin mesti ada keberanian, mesti berani mengambil risiko untuk mencapai darjat yang lebih tinggi. Bait-bait itu pula kita hafal untuk menggambarkan sesuatu yang penting untuk zaman ini. Jadi, kita hendak penulis yang cuba melahirkan karya yang menyebabkan para pembaca mahu membacanya beberapa kali, kerana ada nilai yang dalam di situ, dan insya-Allah akan lahir penulis seperti itu pada waktu akan datang.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks