SASTERA tidak pernah mati. Sasterawan Negara Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh pernah menyatakan, “Manusia Melayu yang agung dalam Sejarah Melayu ialah manusia yang selalu belayar ke negeri-negeri asing dengan penuh kepercayaan akan kebolehannya dan ketinggian tamadunnya.”

Sikap mencitrakan kebolehan dan ketinggian tamadun sesebuah bangsa boleh ditampilkan dalam hasil persuratannya, karya susasteranya. Identiti sasteranya menampilkan garis perjalanan sesebuah bangsa itu “belayar” untuk “belajar”, melalui proses menakrifkan pendirian dan kepercayaan mereka yang panjang tetapi terancang terhadap alam persekitarannya, sekali gus menapakkan penglibatan mereka untuk menghargai warisan kebolehan dan ketinggian jati diri mereka di atas tanah bumi yang dipijak, langit yang dijunjung.

Sebuah karya kesusasteraan bukan sahaja membariskan kod-kod yang tersimpan estetik tinggi dan kisah indah untuk pengajaran, tetapi kenyataan ilmu dan pensejarahan tertentu yang dapat diintepretasikan untuk memahami kemanusiaan dan manusianya manusia pada era pembikinan karya tersebut. Ketua Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Tuan Haji Yussop Ishak menyatakan kepada penulis, betapa pentingnya sastera dilihat dalam konteks “sastera gunaan”, ilmu luar bidang sastera yang dapat memberi penakrifan dan intepretasi tertentu terhadap teks sastera dalam erti kata bagaimana kita boleh memahami dunia Melayu ini dengan pemahaman yang lebih terbuka dan boleh diaplikasikan (dengan berkesan) dalam hal seharian.

Fokus bulan ini menyumbangkan setitis daripada kefahaman itu, melihat ilmu kulinari diaplikasikan dalam kesusasteraan. Sepertimana penemuan Norzailina Nordin dalam teks Sejarah Melayu, kita mendapati bagaimana makanan Melayu yang berbaur pelbagai kefahaman rasa, alam, cuaca dan penyediaan, mencitrakan sifat kosmopolitan dan kecenderungan rasa dan identifikasinya berubah mengikut zaman, dan masih terasa enak di lidah dan jiwa. Bulan ini juga merupakan kolum terakhir buat Sasterawan Negara Profesor Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad. Beliau akan berundur buat sementara waktu. Semoga berita “mengejutkan” ini tidak mengharukan tetapi menanamkan semangat kepada kita bahawa “sastera tidak pernah mati” apabila kita terus memperkayakannya dengan karya dan kebijaksanaan kita di atas persadanya.

Disember 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks