Oleh Suria Janib

KEHADIRAN PARA PENYAIR dari seluruh daerah di Pahang telah memeriahkan “Malam Gema Puisi Pahang” di Taman ICT Jerantut pada malam 22 Disember 2012 yang lalu. Acara diadakan untuk meningkatkan penghayatan dan penghargaan masyarakat terhadap karya sastera, khususnya puisi serta mengakrabkan hubungan penyair Pahang dengan masyarakat setempat. Antara penyair Pahang yang turut menjayakan acara tersebut termasuklah Dato’ Dr. Mansor Abdullah, Amaruszati Noor Rahim, Dr. Aminudin Mansor (Ami Masra), Ramli Mat Akil, Ramli Selamat (Marsli N.O.), dan Azam Abd. Rahman.  Acara anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian lagu rakyat oleh Roslan Madun dan artis undangan, Anas Mentor dan Kumpulan Kopratasa.

Pada sebelah pagi, DBP dan DPMP turut menganjurkan wacana “Rakyat Penentu Pemimpin Masa Hadapan” di Dewan Seminar Pejabat UMNO Bahagian Jerantut. Wacana dengan dua orang ahli panel dari Universiti Utara Malaysia, iaitu Profesor Dr. Abdul Rahman Abdul Aziz dan Profesor Madya Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani itu diadakan dengan tujuan memasyarakatkan majalah terbitan DBP, khususnya Dewan Masyarakat melalui kegiatan ilmu. Zubaidi Abas, Ketua Editor Bahagian Majalah, dalam ucapan alu-aluannya, menyatakan bahawa wacana ilmu itu akan diadakan dari semasa ke semasa di beberapa terpilih di seluruh negara bagi menyuburkan budaya ilmu dalam kalangan anggota masyarakat, khususnya generasi muda. Majlis penutupan wacana telah disempurnakan oleh YBM Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, Ahli Parlimen Jerantut.

___

Be Sociable, Share!