Judul Mariga | Penulis Amil Jaya | Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka | Harga RM30.00 |Pengulas Zaquan Ghazali

KISAH DALAM NOVEL Mariga merupakan pertentangan budaya yangterlalu jauh bezanya dan terlalu banyak halangannya. Walter Frint, lelaki warga British cuba membina kehidupan di sebuah penempatan yang jauh di pedalaman Sabah. Dia membuka kedai runcit untuk kaum Murut di Hulu Kuamat. Kehadiran dia disambut baik oleh masyarakat tempatan dan dibantu oleh Luminis yang asalnya tawanan yang ditawarkan pekerjaan.
Walter menjalani kehidupan seperti biasa, iaitu berniaga barangan runcit hinggalah pada suatu hari kedainya dikunjungi oleh gadis bernama Lingad. Dia terpesona dengan kecantikan gadis tersebut lalu bermulalah bibit cinta. Pada pertemuan pertama itu Walter menghadiahkan cermin, iaitu barang yang tidak pernah dimiliki oleh masyarakat Murut pada ketika itu. Selain itu, Walter juga berusaha keras untuk memenangi hati Lingad.
Akhirnya Lingad bekerja sebagai pembantu Walter. Inilah peluang terbaik Walter untuk terus merayu Lingad supaya menjadi isterinya. Dalam masa yang sama, Lingad diminati oleh Jabid. Lelaki itu pernah menghantar pinangan tetapi ditolak oleh ibu bapa Lingad. Oleh sebab itu, Jabid menyimpan dendam dan menemui bomoh untuk mengenakan Lingad.
Percintaan antara Walter dengan Lingad semakin  membara hinggalah terjadi perhubungan luar nikah tanpa kerelaan Lingad. Akibatnya Lingad mengandung. Oleh sebab itu, keluarga Lingad bersetuju mengahwinkan mereka.
Selepas berkahwin, berlaku pertentangan budaya yang sukar diterima oleh Walter. Antaranya, dia dimarahi kerana memeluk dan mengucup isterinya di tempat terbuka. Yang sangat sukar diterimanya apabila orang kampung menerapkan budaya mariga, iaitu mengambil harta lelaki sesuka hati tanpa kebenaran.
Budaya mariga menyebabkan mereka bertelingkah. Walter tetap mempertahankan bahawa dia tidak berhutang apa-apa lagi. Katanya, bapa orang Eropah tidak mengambil begitu sahaja barangan yang diminatinya. Sebaliknya, Lingad pula mempertahankan mariga.
Setelah dikurniakan dua orang anak, kehidupan mereka semakin bahagia. Perniagaan Walter semakin maju. Namun demikian, langit tidak selalu cerah; dugaan menimpa Lingad apabila suaminya mati kerana dijangkiti malaria. Selepas kematiannya, sebahagian orang kampung berhasrat untuk mencantas kepala Walter, sebagai memenuhi budaya mereka. Berita kematian Walter diketahui oleh pihak polis British di Sandakan. Kuburnya digali, dan sah bahawa kepalanya sudah tiada. Walaupun Walter bukan berketurunan Murut, tetapi kematiannya tetap mengikut budaya Murut. Hal ini demikian kerana Walter sudah berkahwin dengan wanita Murut dan diterima sebagai bangsa Murut oleh masyarakat kaum Murut.
Novel ini melingkari kisah hidup penuh budaya masyarakat pedalaman Sabah sebelum negara mencapai kemerdekaan. Masing-masing watak mempunyai tanggungjawab mempertahankan budaya masing-masing.
Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks