Judul Bagai Ada Sesuatu| Penulis Hilmi Rindu | Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka | Harga RM20.00 |Pengulas Shafiq Azli

PENYAIR  CUBA MERAKAM peristiwa yang terangsang oleh derianya baik mata, telinga dan hati melalui kumpulan sajaknya, Bagai Ada Sesuatu. Setiap sajaknya mudah serta ringkas, namun membekas. Penyair tidak menggunakan diksi yang hebat, tetapi cukup dengan kata yang biasa, namun menyerlahkan makna yang membusa.
Kumpulan puisi ini terbahagi kepada lima fragmen. Antaranya seperti “Poskad Kenyir”, “Bingkisan”, “Memupuk Kemesraan”, “Catatan lain” dan “Orang-orang Puisi”.
Penyair cuba menjadi perenung kepada jendela kehidupan dalam rumah puisi yang dibinanya. Hal ini memang jelas dirakam dalam bahagian “Memupuk Kemesraan” meskipun sebahagian puisinya tidak sehalus puisi dalam bahagian Poskad Kenyir dan Bingkisan yang sangat terasa unsur didaktik dan kadangkala seperti memakai jubah propagandis.
Dalam sajak “Bahasaku Seiring” dan “Bahasa Merdeka”, pembaca dapat menghidu saranan yang berbentuk propaganda, meskipun hasrat penyair mungkin bernafas patriotisme medan kebanggaan terhadap bahasa ibunda.
Antara sajak yang cukup memikat serta menampilkan kreativiti penyair ialah sajak ini:
Melati Bahasaku
diburu angin
mengharum lalu.

Melati bahasaku
beraksara bermutiara
di lidah pendeta.
Penyair secara amnya berjaya menampilkan unsur cinta akan bahasa kepada bangsa. Sajak sebegini menyentuh hati para pembaca supaya mempunyai kecintaan terhadap bahasa ibunda. Penyair juga berjaya bersatira dengan baik. Hal ini jelas terserlah melalui puisi “Paku dan Papan”:
Di antara paku dan papan
Kita berkumpul
ada yang menjadi paku
ada yang menjadi papan
dan ada yang menjadi tukul.
Melalui pengucapan sajak ini, tersirat mesej yang harus pembaca bancuh dengan pemikiran. Penyair berupaya mengaitkan keadaan semasa dengan penggunaan bahan konkrit dan figuratif seperti kayu, papan, dan paku. Secara jelas, penyair berusaha menampilkan pemikiran secara kritis kepada para pembaca dan mengaitkan dengan kehidupan semasa.
Penyair banyak memilih subjektiviti yang pelbagai dan dirakamkan dalam bentuk kata-kata. Ternyata melalui puisi Hilmi Rindu mempunyai keunikan yang tersendiri dan gaya pengucapan puisi yang cukup unik. Seperti puisi “Bagai Ada Sesuatu”, yang menjadi judul kumpulan puisi ini, sebenarnya buku ini bagai ada sesuatu yang menjanjikan kepada para pembaca sekalian.
Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks