PENULIS MERASAKAN masih belum terlambat untuk mengucapkan “Tahniah!” kepada Dato’ Haji Baharuddin Zainal atau Baha Zain atas penerimaan Anugerah Sastera Negara ke-12. Penulis mengenali karya beliau sewaktu di universiti. Waktu itu, ayah menghadiahkan penulis sebuah buku, Esei & Puisi Baha Zain, dengan mencelah, “Yang ini bakal Sasterawan Negara. Tulislah macam dia.” Dan, ramalan ayah pun menjadi.

Penulis yakin, penulis bukan seorang sahaja yang selepas “dapat berkenalan” dengan karya Baha Zain, mengikuti karya seterusnya dengan minat, terutamanya dalam kolum Monolog Kecil dalam Dewan Sastera. Buat penulis, dengan penulisan esei Baha, sastera tidak lagi terikat dengan dunia huruf cantik, tokoh yang tidak habis-habis disanjung, tetapi erti kata dan pengalaman kebangsaan yang benar-benar sedang berlaku, bernafas, lalu disampaikan dengan kata akal yang bestari, seakan-akan sastera itu berjalan bersama-sama dengan dunia am sekarang yang penuh kepanasan dan ketelanjuran.

Penulis menyedari, polemik yang sengaja diuar-uarkan oleh seorang Sasterawan Negara berkenaan pemilihan Baha Zain mempunyai niat yang lebih menarik untuk dikupas, bahawa dunia kesusasteraan terus sahaja dipinggirkan, Sasterawan Negara sengaja dilupakan oleh masyarakat, lalu memerlukan taktik “gerila” untuk menghembuskan nafas terhadapnya.

Seorang selebriti atau karyawan dalam industri kreatif dapat mencapai penghargaan sampai RM300 ribu untuk Anugerah Bintang Popular. Sedangkan seorang Sasterawan Negara hanya akan memperoleh RM60 ribu daripada kerajaan. Para sasterawan masih dan terpaksa meminta sedekah di negaranya sendiri!

Buat kerajaan, badan bertanggungjawab, dan pihak korporat, sesuatu harus dilakukan. Majalah ini merupakan serpihan kecil daripada wadah besar untuk menyampaikan saluran dan butir kata para Sasterawan Negara. Tidak mungkin Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja yang beria-ia mengadakan bicara karya. Bilakah lagi jerayawara sang sasterawan hendak dilakukan? Jika para artis boleh dibawa berjerayawara di panggung wayang, pusat membeli-belah, amat sesuailah para sasterawan dibawa berarak di wadah ilmu seperti sekolah, universiti, dan perpustakaan tanpa sambutan musim tertentu.

Percayalah, para Sasterawan Negara mempunyai sesuatu untuk kebaikan masyarakat kerana itulah juga mereka terpilih. Masyarakat hanya perlu mengenalinya. Mereka sendiri merupakan buku berjalan dengan coretan tanda tangan sendiri. Takkanlah kita harus menunggu sampai buku itu terkatup rapat dan tersimpan terus di dalam kutubkhanah abadi, baru tercari-cari dan berdendang tangisan tidak berlagu?

Jun 2013.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks