DARIPADA TAMSIL Surah Ibrahim, Surah as-Saffat, dan karya Imam Abu Hamid al-Ghazzali, Nasihat al-Mulk, Profesor Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud memisalkan negara yang bersatu dan maju sebagai sepohon rimbun berdiri tegap, berdahan kuat berbuah ranum, enak dan berkhasiat untuk semua. Dahannya kukuh dan daunnya lebat, memberi teduh dan perlindungan kepada semua yang berada di bawah naungannya. Sepohon rimbun menjadi teguh kerana air yang diserapnya bersih, bajanya cukup, dahan yang kering dibuang jauh-jauh. Menjaga sebatang pohon yang sihat sehingga menyumbangkan buah lazat berkhasiat bukan mudah. Segala-galanya perlu dirawat dan dibaja sedari tunas lagi. Antara nilai yang menyuburkannya ialah dasar perjuangan yang sanggup mati demi kesihatan pohon itu. Nilai murni ini terdapat dalam Rukun Negara kita. Sifat memperjuangkan Rukun Negara pula berkaitan dengan patriotisme.

Patriotisme merupakan perjuangan demi ibu pertiwi. Wan Mohd. menyatakan, konsep “jihad” yang selalu digeneralisasikan oleh pemikir bahasa Inggeris sebagai “perang suci” sepatutnya melihat kefahaman sebenar istilah tersebut dalam pemaknaan yang lebih luas dan adil. Makna asas jihad membawa erti daya usaha, perjuangan, serta pengorbanan bersungguh-sungguh dan ikhlas bagi membuat sesuatu kebaikan dalam semua bidang, seperti pendidikan, ekonomi, dan kenegaraan. Oleh sebab itu, “berjihad melawan nafsu” merupakan jihad terbesar bagi Rasulullah SAW.

Seniman Syed Thajudeen berjihad untuk menanamkan sifat patriotisme ke dalam jiwa orang Malaysia dengan karya seninya. Beliau menempatkan tokoh Hang Tuah dalam karya catannya kerana bagi beliau, Hang Tuah merupakan tanda sejarah Malaysia yang bermakna, inti pati budaya negara yang berkaitan dengan Tamadun Melayu. Baginya, Dasar Kebudayaan Kebangsaan kini sudah amat dipandang sepi, sehingga nama Hang Tuah dipermainkan mengikut kepentingan kumpulan tertentu.

Syed Thajudeen berjuang demi negaranya bukan dengan senapang dan tenaga tempur tetapi mata halus dan berus catannya. Begitu juga dengan kebanyakan penulis kontemporari Malaysia yang berjihad dengan pena mereka. Perjuangan mereka bukan sahaja memberi erti pada pemaknaan citra kebangsaan tetapi penerusan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan yang ampuh. Namun begitu, adakah perjuangan ini disedari anak watan? Seorang sasterawan diangkat-angkat sebagai perwira suci sebuah gagasan tertentu. Namun bagaimanakah pula dengan karyanya? Adakah golongan ini mengambil peduli pun dengan karyanya yang sudah menjadi penyumbang besar dalam citra kesusasteraan kebangsaan kita? Sesungguhnya, kita sedang berhadapan dengan cabaran yang lebih getir demi kesuburan sebatang pohon nan rimbun.

Julai 2013.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks