Judul Orbit Kemenangan | Penulis Kumpulan Pengarang | Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka | Harga RM11.90 |Pengulas Firas Asyraf

ALAM PERSEKOLAHAN mencipta banyak kenangan dan pengalaman. Judul antologi ini menggambarkan harapan setiap warga sekolah, iaitu mencipta kemenangan. Antologi ini memuatkan karya pelajar dan guru yang terhasil daripada Peraduan Menulis Cerpen Kanak-kanak Sempena Hari Guru 2007. Antologi ini terbahagi kepada tiga kategori, iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan Guru.
Sesuai dengan usia yang sangat muda, karya yang dihasilkan oleh pelajar sekolah rendah melingkari kisah yang biasa dalam kehidupan, namun berjaya mengasah bakat muda dalam dunia penulisan kreatif. Kebanyakan cerpen yang dihasilkan berupa catatan, bukan sebuah kisah atau cerpen yang lengkap cirinya. Walaupun tiada konflik atau peleraian konflik yang boleh menyentuh perasaan, namun usaha peserta menghasilkan karya wajar diberikan pujian dan penghargaan. Contohnya cerpen yang memenangi tempat pertama, “Epal Hijau untuk Ayah” mengemukakan konflik terlalu awal, dan selebihnya ialah huraian tentang diabetes. Walaupun kisah yang dihasilkan biasa, namun pilihan tema yang digarap pengarang memaparkan kisah sekitar kehidupannya dan asas utama penghasilan karyakreatif ialah tema yang dekat dengan dunia pengarang.
Sejajar dengan usia, kategori pelajar sekolah menengah memaparkan kematangan pengarang berkarya. Tema cerpen pemenang pertama, “Anugerah Alam” sangat relevan kerana menonjolkan kepentingan sektor pertanian kepada individu dan negara. Watak utama yang tidak patah semangat walaupun disindir dan diduga oleh alam yang akhirnya berjaya menubuhkan syarikat berkaitan pertanian.
Pelestarian budaya bangsa ditonjolkan dalam cerpen “Tonik Orthosiphon Stamineus”. Tiga orang sahabat yang meminati tarian zapin disindir oleh Amri kerana kononnya tarian akan menyebabkan mereka berperawakan lembut. Sebenarnya tiga bersahabat itu membuat penyelidikan untuk menghasilkan tonik misai kucing. Ironinya, Amri yang bermain bola sepak terpaksa meminum tonik ciptaan tiga bersahabat apabila pengsan kerana keletihan.
Cerpen “Dongak ke Atas, Jenguk ke Bawah” yang memenangi tempat pertama kategori guru adalah tentangMan yang menjual tapai ketikazaman persekolahan. Minatnya terhadap tapai semakin dalam setelah mendapat maklumat kelebihan tapai dari sudut kesihatan. Cerpen pemenang tempat kedua, “Menggapai Bintang” memaparkan kisah tentang sains angkasa lepas dan cerpen “Anugerah” memenangi tempat ketiga.
Secara keseluruhannya cerpen dalam antologi ini memaparkan pelbagai kisah kehidupan yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan. Walau bagaimanapun, masih banyak teknik penulisan yang perlu dikuasai oleh pengarang sebelum karya mereka mencapai tahap mutu yang boleh dibanggakan. Namun begitu, pengarang berjaya menghasilkan karya yang sarat dengan nilai-nilai murni yang mampu menjadi pemangkin dalam membina jati diri murid.
Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks