Judul Saat Kau Berubah| Penulis Che Norsiah Che Omar | Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka | Harga RM30.00 |Pengulas Sofia Humaira’

MENJADI SEORANG WANITA memerlukan ketabahan dan kekentalan jiwa. Hal ini merupakan perkara utama yang ingin disampaikan penulis kumpulan drama radio Saat Kau Berubah. Daripada 18 drama, sebahagian besar daripadanya berbicara mengenai kaum Hawa yang bersifat menyeluruh. Kumpulan drama ini dimulakan dengan drama “Saat Kau Berubah”. Drama dengan empat watak iaitu Wati, Azman, Adik dan Emak mengisahkan janda beranak tiga yang diceraikan suami akibat fitnah keluarga sendiri. Wati sebagai isteri yang setia dituduh berlaku curang oleh watak yang tidak menyenangi kerukunan rumah tangga mereka. Namun begitu, tindakan Azman menceraikan Wati tidak sedikitpun melunturkan semangat Wati sebagai ibu. Wati yang menyara kehidupan sebagai peniaga menjadi citra wanita yang tidak lemah dengan fitnah terhadap dirinya. Sebagai wanita yang tabah dan tidak bersalah, drama ini memperlihatkan Azman yang cuba menambat kembali hati Wati. Seterusnya, keteguhan hati wanita diperlihatkan menerusi drama “Taufik Hidayat”. Dengan latar di Chicago, Nurul Husna mempunyai banyak ruang dan peluang untuk melupakan jati dirinya sebagai wanita Melayu-Islam. Hal ini demikian kerana rakannya Nick dan Joanne sering mengajak Husna untuk berfoya-foya. Namun begitu, Husna yang menyedari tanggungjawab melalui biasiswa pengajian yang diterima tidak sesekali tunduk pada godaan tersebut. Ketegasan Husna memikat hati Nick. Di samping itu, drama “… dan Matahari Pun Terbenam”, “Masih Adakah Sinar Mentari?”, dan “Kelukaan yang Terindah” boleh dianggap sebagai drama trilogi. Drama ini bermula dengan penantian Mak Som sebagai ibu yang diabaikan oleh Zaki gara-gara mengejar cara hidup moden bersama-sama keluarga mentua yang kaya di bandar. Kematian Mak Som pada pagi Syawal menjadi titik tolak untuk Zaki berubah dalam drama kedua. Perubahan Zaki akhirnya membuka ruang untuk Lin yang begitu mementingkan darjat, berubah menjadi isteri yang lebih memahami erti kasih dan tanggungjawab sebagai isteri dan anak. Konflik trilogi ini diteruskan dalam drama ketiga yang memperlihatkan kerelaan Lin melamar Zura yang telah mendermakan tulang sumsumnya untuk dijadikan madu bagi merealisasikan impian arwah Mak Som. Karya yang sarat pengalaman mengenai wanita ini memperlihatkan penggunaan bahasa kolokial yang bersahaja. Namun begitu, penggunaan bahasanya masih dibatasi adab berbahasa yang baik tanpa menghilangkan kepentingan bahasa (dialog) dalam drama radio sekali gus merangsang imaginasi pendengar. Kumpulan drama radio ini juga diyakini berupaya memberikan panduan kepada penulis yang mahu menceburkan diri dalam penulisan drama radio berikutan langkanya penerbitan drama genre ini.
Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks