SUSASTERA merupakan naskhah ciptaan manusia yang sentiasa berubah bentuk dan rupanya, mengikut kesesuaian dan perkaitannya dengan keadaan dan perhitungan masyarakat semasa. Para pengarang yang mengambil renungan terhadap persekitaran tentu menyedari hakikat dinamisme yang sentiasa berlaku dalam masyarakatnya. Tidak dinafikan, susastera akan berdiri utuh jika perhubungan antara pengarang dengan masyarakatnya sentiasa dalam keadaan sihat dan mesra.

Keadaan digital pada era sekarang menuntut suatu perubahan yang bukan calang-calang bagi bentuk dan rupa susastera. Imej dan gerakan laju budaya popular kini menggertak kesusasteraan supaya lebih berdaya saing. Populisme, sensasi bintang pujaan, dan kisah di dalam kelambu lebih dijadikan tarikan daripada kuasa kata-kata. Kata-kata susastera tidak lagi dapat duduk lena berbantalkan aksara semata-mata, menunggu orang lalu-lalang untuk mengutipnya. Naskhah susastera perlu berada di tengah-tengah masyarakat dan sekurang-kurangnya peduli terhadap kegusaran masyarakatnya.

Namun begitu, bukan roh susastera itu yang diminta untuk berubah sepenuhnya. Sememangnya, unsur estetika, ideologi, dan pemikiran perlu sentiasa utuh terkawal, mengikut asas bentuk kebudayaan dan tamadun kebangsaan, malah perkara ini sudah didefinisikan dengan baik dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Lebih-lebih lagi agama Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia menuntut agar beberapa kata dan kefahaman terus-menerus kukuh sebagai bentuk yang sentiasa relevan pada setiap masa. Sudah tentu terdapat beberapa suara berkumandang apabila teks pascamoden hadir dalam dunia susastera kebangsaan. Pertentangan yang hebat bakal berlaku kerana teks pascamoden merelatifkan kata-kata yang sudah mutlak maksudnya. Namun demikian, kehadirannya dalam teks tempatan, seperti metasejarah yang diperkenalkan oleh Mana Sikana dalam isu kali ini masih beradab dalam kesesuaian agama dan tamadun kebangsaan.

Oleh sebab itu, perubahan jelas yang sedang mengambil tempat dalam dunia awal abad ke-21 ini ialah kaedah persembahan dan pemasaran susastera kepada masyarakat, yakni kulit susastera itu sendiri. Menariknya, kebanyakan perubahan yang menuntut perhatian masyarakat tidak dipersetujui oleh golongan susastera konservatif. Kebanyakan pengkritik Barat berang dengan strategi baharu Penguin Books melantik para selebriti sebagai penulis pengantar buku terbitannya. Di Amerika Syarikat, Oprah Winfrey dan kelab bukunya dikecam oleh pengarang terkemuka, Jonathan Franzen kerana Oprah memilih novelnya untuk diwacanakan dalam kelab bukunya. Baginya, kelab buku Oprah tidak setaraf dengan ketinggian prestij susastera. Di Malaysia sendiri, beberapa pengkritik sudah mula mengecam kehadiran artis membaca puisi dalam program baca puisi. Persoalannya sekarang, adakah susastera itu milik sekumpulan “penjaga kesucian” golongan susastera tegar atau memerlukan penyalinan kulit agar sentiasa relevan dan mesra terhadap masyarakatnya?

Bil. 3/2014

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks