Judul Anak Primadona | Penulis Osman Ayob | Penerbit  Dewan Bahasa dan Pustaka (2012)| Harga  RM45.00 | Pengulas Zakuan Ghazali

SEORANG GAIDS YANG MEMBESAR di bandar raya Kuala Lumpur sanggup berpindah untuk tinggal di daerah pedalaman yang jauh daripada kemilau keseronokan dan kemewahan. Hal seumpama ini jarang-jarang berlaku kerana yang biasa berlaku adalah sebaliknya.

Namun demikian, hal itulah yang cuba digambarkan oleh pengarang melalui novel ini. Azalea meninggalkan ibunya, Amelia, seorang primadona filem dan drama Melayu yang sudah melewati zaman kemuncak kerjayanya yang berkahwin dengan Datuk Kudus. Dia tidak dapat menerima kehadiran bapa tiri yang masih beristeri; tambahan pula gaya hidup bapa tirinya terlalu kebaratan. Amelia menuju ke Kampung Tanjung Permai yang terletak jauh di utara Semenanjung untuk tinggal bersama-sama neneknya yang kematian suami. Nek Salamah tidak menyangka cucunya sanggup datang dan tinggal bersama-samanya kerana bertelingkah dengan ibunya. Azalea meniti hari-hari bahagia sebagai gadis kampung di samping membantu neneknya berniaga kuih di gerai. Dia mempelajari teknik membuat kuih-muih daripada neneknya. Kuih-muih jualannya sangat disukai oleh penduduk kampung dan sentiasa laris.

Walaupun tinggal di kampung, Azalea tetap berhadapan dengan pelbagai dugaan dalam hidupnya. Azalea bertelingkah dengan beberapa orang yang ingin membeli tanah milik penduduk kampung yang mahu membina hotel dan kawasan pelancongan. Azalea bertekad untuk mempertahankan tanah milik orang kampung. Datuk Razak, seorang usahawan, berjaya membina hotel di atas tanah milik orang kampung yang dibelinya. Azalea turut bekerja di hotel milik Datuk Razak, walaupun tidak dipersetujui oleh ibunya. Azalea seorang gadis yang jelita dan diminati oleh banyak orang. Ada yang berterus terang ingin memilikinya; ada yang menyimpan perasaan dalam diam. Saufi yang tinggal sekampung amat meminati Azalea tetapi tidak berani berterus terang kerana mereka berbeza tahap pendidikan. Walau bagaimanapun, atas nasihat Faizal, adik Azalea, Saufi menyambung pengajian di universiti untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi seperti Azalea.

Pada awalnya, Azalea dan adiknya, Faizal tidak dapat menerima kehadiran Datuk Kudus dalam keluarganya. Namun begitu, akhirnya Faizal menerima Datuk Kudus sebagai bapa tirinya setelah Datuk Kudus melangsaika hutang motosikalnya. Hubungan Azalea dengan ibunya yang baru pulih kembali bergelora apabila arwah neneknya menukarkan nama pemilik tanah pusaka peninggalannya kepada nama Azalea. Hal ini membangkitkan kemarahan Amelia. Namun begitu, suaminya menyebelahi Azalea dan bercadang untuk membina chalet di atas yang baru menjadi milik Azalea, di samping membesarkan perniagaan pulut udang Azalea yang diusahakan bersama-sama arwah neneknya. Walaupun tema, cerita dan latar belakang yang digarap oleh pengarang hanya kisah biasa jika dibandingkan dengan trend penulisan hari ini, namun ada pengajaran dan panduan untuk pembaca jadikan panduan dalam kehidupan.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks