Judul Kasih Sepanjang Jalan | Penulis R.M. Jasni | Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka (2012)| Harga RM22.00 | Pengulas Rimau Putih

MAHUKAH anda melancong ke Sabah? Mendalami budaya masyarakat di kaki pergunungan Kinabalu, mempelajari serba sedikit dialek dan adat resam mereka, mendaki dan menawan puncak gunung yang tertinggi di Asia Tenggara, sekali gus menawan hati si jelitawan bernama Melisah. Hal inilah yang saya rasai ketika membaca novel ini. Novel Kasih Sepanjang Jalan merupakan karya pertama taruhan Datuk R.M. Jasni. Beliau merupakan penulis veteran berbangsa Kadazan beragama Islam. Walaupun pertama kali menulis novel, ternyata karya beliau mempunyai gaya tersendiri dan bersahaja. Beliau bijak mengolah plot penceritaan novel ini bersesuaian dengan ketokohan dan pengalaman beliau dalam bidang penulisan.

Novel ini berlatar belakangkan pada zaman awal selepas kemerdekaan, beliau cuba menggarap perjuangan para pendidik dan penduduk pedalaman untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan penjajah khususnya di kawasan pendalaman Sabah. Beliau tidak menyentuhnya secara terus tetapi sentiasa dibangkitkan menerusi interaksi watak utama bersama watak pendukung yang lain. R. M. Jasni memaparkan kerakusan masyarakat kota yang perlu dikawal dan keharmonian di desa yang perlu dikekalkan, sesekali menjentik semangat patriotik untuk membangunkan ekonomi dan sosiobudaya, secara ringan beliau menyelitkan isu yang telah lama berakar umbi dalam masyarakat, contoh perniagaan yang cuba diusahakan oleh watak utama, terpaksa turut mengikut arus dan terbabit dalam projek berunsurkan Ali Baba. Dialek Sabah dan bahasa suku kaum Dusun sengaja digunakan bersama-sama susunan ayat yang kemas, walaupun pembaca tidak memahaminya namun tidak sedikit pun mengganggu perjalanan pembacaan novel ini.
Sebagai penulis veteran, beliau sentiasa memperkayakan novel ini dengan unsur kesusasteraan, seperti penggunaan pantun, kiasan dan perutusan warkah surat serta kata-kata puitis. Beliau mengimbangi jalan cerita agar tidak terlalu berat dan menekan perasan pembaca dengan menyelitkan unsur komedi ringan seperti babak pertemuan sulung watak protaganis dengan Mak Cik Rusimah, hanya dengan berpantun pisang emas memberikan ruang silaturahim terjalin, juga gurauan watak utama setelah menyelamatkan jelitawan dari serangan pacat. Novel ini bersesuaian dengan judulnya, kasih sepanjang jalan yang memaparkan konflik yang dihadapi oleh watak utama sepanjang jalan sebagai guru muda yang baik hati, penyantun dan berbudi bahasa. Watak utama sayangi oleh masyarakat dan para gadis, malah keluarga mereka. Konflik yang timbul menambahkan unsur suspens, dengan adanya pilihan, ternyata lebih menyukarkan.
Penceritaan dimulakan dengan watak Hilman sebagai guru muda yang sanggup menyahut cabaran untuk bertugas di kawasan pedalaman. Seiring dengan peringkat umurnya, Hilman dibuai cinta terhadap Safirah, rakan semaktabnya, namun perhubungan mereka berakhir setelah Hilman mendapati Safirah sudah bertunang. Milikilah segera naskhah novel yang sarat dengan tema kemasyarakatan ini.
Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks