Judul Monolog Kecil: Tahun-tahun Gelora | Penulis Baha Zain | Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka (2013)| Harga RM30.00 | Pengulas Marsli N.O

BUKU setebal 374 halaman ini menghimpunkan sejumlah 78 tulisan Sasterawan Negara ke-12, Baha Zain. Tulisan ini, sebelumnya telah disiarkan dalam kolomnya “Monolog Kecil” majalah Dewan Sastera dari tahun 2005 hingga tahun 2011.

Baha Zain mengakui betapa tulisan yang dikumpul dalam buku ini ditulis beliau dengan semangat untuk bersuara bersama-sama pihak yang berasa malang dalam kehidupan yang sibuk mengejar kemajuan.

Namun demikian, betapa pun ditulis dengan semangat yang sedemikian, sebagai seorang eseis yang baik dan bijaksana, Baha Zain ternyata berusaha untuk mencari jarak daripada emosi untuk membentuk fikirannya ketika berkomunikasi dengan para pembaca tulisannya.

Sikap dan pilihan Baha Zain ini dibuktikan dengan banyak tulisan yang dikumpulkan dalam buku ini, jika dibaca dengan teliti dan mendalam, ternyata meninggalkan kesan memang tidak ditulis dengan emosi sebal, marah atau jengkel yang menggebu-gebu. Di sana-sini dalam kebanyakan tulisannya dalam buku ini, kita tidak menemui kata bentakan atau teriakan. Kata dan bahasa yang diucapkan Baha adalah bahasa dan kata dengan nada rendah dan hening.

Ketika membicarakan soal bahasa misalnya, yang diakui Baha Zain dalam tulisannya berjudul “Apa Ada Pada Kata-kata” (halaman 5) sebagai “bagaikan senjata yang boleh menghidupkan dan boleh juga membinasakan” Baha Zain menyampaikan maksudnya dengan anekdot yang sinis dan menggigit.

Tulisannya berjudul “Pencen Selepas Mati” (halaman 98) dapat dipetik sebagai contoh. Pada permukaan seolah-oleh kelihatan Baha hanya mengulang semula cerita Kanaga, temannya yang bercerita mengenai seorang profesor bahasa Tibet yang tetap menerima pencen walau selepas matinya. Namun begitu, lebih jauh dan mendalam, maksud tersirat yang ingin disampaikan Baha, iaitu bahasa yang tidak lagi dipelajari dan dijadikan bahasa pengantar ilmu serta penyelidikan, akan dilupakan kewibawaan dan tamat riwayatnya.

Sebagai seorang yang pernah membidani kelahiran majalah Dewan Sastera, dalam tulisannya “Mencari Makna Daripada Waktu: 40 Tahun Lalu dan 10 Tahun Kemudian” (halaman 311 – 314) yang disiarkan dalam majalah Dewan Sastera keluaran Januari 2011, Baha Zain menanyakan antara lain setelah genap 40 tahun (pada Januari 2011), apakah yang telah disumbangkan oleh majalah ini: “… kepada kemajuan bahasa, persuratan, pemikiran dan kebudayaan bangsanya?”

Tentu sahaja jawapannya terserah kepada setiap kita yang mengaku dirinya sasterawan, budayawan dan pemilik sastera, bahasa dan budaya yang bernama Melayu.
Buku ini diakhiri dengan tulisan ke-78 Baha Zain yang kalau pun tidak seluruhnya, wajar diberikan perhatian oleh para pemimpin dan politikus Melayu, yang oleh Baha Zain, dengan bahasa tanpa emosi menyebutkan betapa: “Penentangan terhadap PPSMI sejak 2002 sangat malang kerana merenggangkan kehormatan dan kepercayaan golongan pendidik, ilmuwan, penulis, budayawan dan ramai ibu bapa terhadap pemimpin politik sehingga dalam beberapa hal menjauhkan suara undi rakyat terhadap parti pemerintah pada Pilihan Raya Umum 2008” (halaman 361).
Kalau pun tidak semua, semoga peringatan Baha Zain ini didengar dan diperhatikan para pemimpin dan politikus Melayu kita. Hal ini demikian kerana masalah kita datangnya bukan kerana asakan daripada pihak lain, tetapi lebih kerana ketakpercayaan kita terhadap segala yang kita miliki sendiri.
Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks