Judul Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik | Penulis Norhayati Ab. Rahman | Penerbit Universiti Sains Malaysia (2012)| Pengulas Hashim Awang

BUKU Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik hasil tulisan Norhayati Ab. Rahman merupakan buku kajian sastera yang ampuh dan bertenaga. Buku ini berasal daripada tesis dalam Kesusasteraan Bandingan untuk keperluan ijazah Doktor Falsafah di Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Semenjak diterbitkan pada tahun 2012, buku ini mendapat sambutan baik dan memberikan impak yang positif dalam kalangan sarjana dan mahasiswa di institusi pengajian tinggi di Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Pada 23 hingga 24 Julai 2012, penulis buku ini, Norhayati diundang oleh Universiti Chulalongkorn, Bangkok, sebagai Penyampai Ucap Utama untuk “International Conference on Literary Studies: Constructing ASEAN Spirit — Dialogues in ASEAN World”, dengan pembentangan khusus mengenai “Poetics of Women’s Literature”. Tahun berikutnya, beliau sekali lagi diundang ke Bangkok untuk berbicara khusus tentang penulisan sastera oleh wanita di Malaysia. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah pada 27 November 2013, buku terbitan Penerbit USM ini berjaya meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, dalam kategori Buku Kajian. Anugerah ini disampaikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, merangkap Menteri Pendidikan.

Kajian dalam buku ini bertumpu kepada persoalan tentang penulisan novel yang dihasilkan oleh pengarang wanita di Malaysia dan Indonesia dari tahun 1920-an hingga tahun 1970-an. Tumpuan tersebut diberikan dengan maksud untuk menemukan secara perbandingan kewibawaan pengarang wanita dari kedua-dua negara dalam usaha membentuk keperibadian diri mereka sebagai “pengarang wanita” yang utuh, yakni memiliki sifat jati diri atau keperibadian tersendiri. Jati diri yang dimaksudkan ialah pendirian dan ketegasan mereka untuk membuktikan bahawa mereka adalah subjek yang mempunyai imej, pengalaman, suara, keinginan, wawasan, bahasa, budaya dan estetika mereka yang tersendiri. Dengan corak dan semangat pengkaryaan yang demikianlah mereka dikatakan berjaya membentuk konsep dan estetika penulisan sastera yang diberikan nama “Puitika Sastera Wanita.” Hal ini juga yang menjadi penemuan penting bagi pengarang buku ini Dr. Norhayati Ab. Rahman, pensyarah di Universiti Malaya yang kini terkenal dengan pandangan yang mengangkat karya ciptaan wanita yang berwibawa.

Sesuai dengan asal usulnya yang bermula sebagai kajian untuk keperluan ijazah Doktor Falsafah, buku ini memiliki nilai ilmiah yang tinggi. Hal ini dapat disaksikan daripada beberapa sisi. Pertama, penulis menggunakan teori yang bersesuaian dan terkenal sebagai dasar kajian. Teori yang dimaksudkan ialah teori Ginokritik yang dibina dan diperkembangkan oleh Elaine Showalter. Teori ini dibangunkan dengan maksud “…To construct a female framework for the analysis of women’s literature, to develop new models based on the study of female experience, rather than to adapt male mode and theories.” (Elaine Showalter, dlm. Debating Texts: A Reader in Twentieth-Century Literary Theory and Methode. Milten Keynes : Open University Press, hlm. 234-237).
Teori ini mengutamakan suatu rangka kerja wanita yang khusus untuk menganalisis karya sastera wanita. Maka inilah rangka kerja yang digunakan oleh pengarang dalam kajiannya, iaitu dengan membina model baharu yang berdasarkan kepada pengalaman wanita sepenuhnya. Dengan berbuat demikian, kajian ini dapat membebaskan diri wanita daripada sejarah sastera yang selama ini ditentukan keseluruhannya oleh rejim lelaki, dan seterusnya berhenti mencuba untuk menyesuaikan wanita dengan landasan tradisi patriarki. Dari situ, keseluruhan tumpuan dapat diberikan kepada perkara baharu yang ditemui dari dunia budaya wanita, serta dalam imaginasi dan daya cipta wanita. Daripada hasil rangka kerja beginilah Norhayati berjaya menerapkan empat model utama sebagai landasan kajian dan huraian, yang masing-masing dinamakan sebagai model penulisan wanita dan biologi wanita, penulisan wanita dan bahasa wanita, penulisan wanita dan psikologi wanita, dan penulisan wanita dengan budaya wanita.
Kekuatan ilmiah buku ini juga terlihat daripada cara penganalisisan atau huraian penemuan yang dikemukakan oleh pengkajinya. Proses penganalisisannya dilakukan secara teratur atau sistematik dan mendalam, dengan pemakaian serta pengolahan bahasa yang jelas dan mudah difahami. Contoh yang konkrit dan bertepatan turut dikemukakan dengan secara meluas dan menarik. Hal ini tentu dapat menambahkan lagi pemahaman pembaca terhadap Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik.
Selain itu, keilmiahan buku juga terserlah pada penemuan yang keseluruhannya dapat dikatakan sebagai baharu dan asli. Hal ini sewajarnya berlaku kerana pengkaji menggunakan landasan dan teori kajian yang ternyata baharu, segar dan penuh cabaran. Landasan teori ini pula dapat dikuasai pengkaji dengan begitu baik, kukuh dan meyakinkan. Dengan demikian, setiap huraiannya terlaksana dengan lancar dan mantap, serta mudah pula untuk diikuti oleh pembaca.
Di samping itu, kajian ini memperlihatkan bahawa pengkaji benar-benar melaksanakan kerjanya dengan penuh dedikasi dan jujur. Beliau berjaya memperolehi data yang benar-benar mencukupi dan terpilih untuk digunakan dalam penganalisisan yang dapat memperjelaskan dan memperkukuhkan, atau mengabsahkan setiap hasil dapatan kajiannya. Pengkaji dapat mengumpulkan dan meneliti bahan asas yang tepat, asli dan penting. Hal ini juga turut terlihat pada bahan bacaan tambahan beliau, yang ternyata terdiri daripada bahan bacaan tambahan yang bersesuaian dan terkenal.
Begitulah, buku kajian ini ternyata mempunyai banyak kelebihan. Antaranya yang terpenting termasuklah, pertama, dapat memperlihatkan gambaran perkembangan sejarah dan ciri khusus penulisan novel ciptaan pengarang wanita dari dua negara yang besar, iaitu Malaysia dan Indonesia. Kedua, kajian ini turut berjaya menimbulkan jati diri pengarang wanita dari negara kajian dalam pelbagai aspek. Mereka sesungguhnya memiliki bentuk penulisan sastera tersendiri yang sesuai dinamakan sebagai “Puitika Sastera Wanita.” Ketiga, buku kajian ini berjaya mengemukakan dan menerapkan teori feminisme yang dipanggil “Ginokritik.” Kita bukan sahaja dapat memahami teori tersebut, malah turut dapat memperlihatkan kesesuaiannya untuk diterap pada karya sastera Melayu
dan Indonesia yang dihasilkan oleh pengarang wanita, walaupun bernafaskan Barat. Dan, yang terakhir kita dapat menjadikan buku kajian ini sebagai contoh yang baik dalam penulisan karya ilmiah.
Maka hal ini dapatlah dirumuskan bahawa dengan adanya kekuatan khusus, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik sangat penting untuk dijadikan bacaan rujukan, terutamanya oleh para pengkaji sastera serta -calon ijazah sarjana muda, sarjana dan kedoktoran. Selain itu, buku ini sesuai dibaca oleh penulis dan peminat sastera umumnya. Hal ini bukan sahaja dapat memberikan ilmu pengetahuan yang mendalam tentang sastera kreatif, tetapi juga tentang teori sastera yang penting dari dunia Barat. Tegasnya, buku ini berjaya menyumbang dua perkara utama, iaitu ilmu pengetahuan dan tatacara penulisan ilmiah.
Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks