Sudah 57 tahun kita mencapai kemerdekaan. Sudah tentu dalam 57 tahun itu, pelbagai kemajuan yang sudah dicapai oleh Malaysia, baik dari segi ekonomi, sosial, dan pendidikan. Namun begitu, sudahkah kita mencapai kemajuan dalam kesusasteraan?

Sasterawan Negara Keris Mas pernah menyatakan bahawa sastera Malaysia sudah mencapai pelbagai kemajuan sejak 40 tahun yang dahulu. Tema dan topiknya sudah banyak yang berubah. Begitu juga dengan gaya penulisan yang lebih moden. Pengucapan dan pendekatannya lebih realistik daripada yang lama. Bahasanya juga sudah lebih hidup dan segar, sudah tidak banyak berbunga-bunga tetapi tetap indah.

Dalam persoalan mutu sastera pula, Keris Mas dengan jujur menyatakan, mutu karya sastera bergantung sejauh mana falsafah yang dipersembahkan dapat dikemukakan dengan baik, sesuai dengan perkembangan intelektual dan perasaan yang timbul dalam diri manusia berhadapan dengan masyarakatnya pada suatu masa. Maka, teknik dan isi selalunya mesti seimbang. Hal yang sering didapati dalam kesusasteraan kita, kedua-dua ini jarang-jarang seimbang kekuatannya.

Keris Mas menambah, Dewan Sastera merupakan gelanggang untuk sasterawan mencari. Kerja kesusasteraan ialah mencari dan menemui. Yang dicari ialah isi. Dalam perubahan hidup, sikap hidup dan ilmu pengetahuan akan turut mengubah manusianya. Isi itulah yang perlu dicari dan ditemui oleh sasterawan. Fokus kali ini juga menemukan citra identiti ekonomi India Malaysia yang pernah dilakarkan oleh penulis kita dalam cerpen. Percubaan beberapa penulis berketurunan India inilah yang perlu dipuji kerana berjaya mencari dan menemui beberapa persoalan ekonomi yang masih membelenggu masyarakatnya pada zaman sekarang. Semoga kita terus mencari dan menemui isi yang bermanfaat untuk kesejahteraan dan kemajuan bangsa.

Bil.12/2014

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks