OLEH JOHAN RADZI

24 Oktober 2014 yang lalu menyaksikan Sidang Kemuncak Penulis yang pertama di Malaysia. Perhimpunan tersebut diadakan di Darulaman Gold & Country Resort Jitra, Kedah anjuran bersama Persatuan Nasional Malaysia, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, dan Bina Darulaman Berhad. Majlis ini dijalankan atas matlamat untuk mengumpulkan penulis, wakil penerbit, aktivis sastera, bahasa serta budaya, kumpulan media, dan ahli akademik untuk menjadi satu wahana perkongsian pandangan serta gagasan bagi kemajuan sastera, bahasa, dan penerbitan di Malaysia, dengan tema “Sastera Teras Pembangunan Negara Bangsa”.

Perhimpunan bermula jam tiga petang di Dewan Damai, dengan pembentangan “Puisi Membentuk Pemikiran Masyarakat: Suatu Utopia” yang dibarisi oleh Dr. Shamsudin Othman sebagai pemudah cara, Mohamad Puzi, Abdul Ghafar, dan Khalid Salleh sebagai pemakalah. Peserta diberikan penngenalan terhadap puisi dan pelbagai peranan yang terdapat dalam dunia kepenyairan untuk membentuk masyarakat yang lebih ke hadapan.

Pada sebelah malam pula, di Dewan Gemilang, berlaku perasmian Sidang Kemuncak Penulis Malaysia yang disempurnakan oleh Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Kedah. Turut berlangsung sekali ialah pelancaran buku Mek Mulung: Kesenian Perantaraan Manusia dan Kuasa Ghaib Warisan Kedah Tua yang dikarang oleh Zinitulniza Abdul Kadir.

Keesokan harinya, selepas sesi sarapan di kafetaria, sidang dibuka dengan tiga sesi selari; Wajah Sastera Malaysia: Seharusnya Bagaimana?, Pembinaan Mercu Tanda Penulisan di Malaysia, juga Kelangsungan Hayat Sastera di Malaysia. Para peserta boleh menyertai mana-mana sesi pilihannya mengikut tempat sesi tersebut dilangsungkan. Acara selari ini disusuli kemudiannya dengan ucaptama Prof. Tan Sri Dr. M. Kamal Hassan, juga Profesor Ulung Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa dengan kertas kerja bertajuk “Penulisan Umum dalam Era Keruntuhan Tamadun Dunia Moden: Tanggungjawab Semakin Berat”. Profesor menekankan konsep sekitar globalisasi, tanggungjawab moral, serta pandangan alam tauhid dan wasatiyyah sebagai isi ucapannya.

Selanjutnya, dua sesi dijalankan selari, iaitu Strategi dan Pendekatan Baharu dalam Pemerkasaan Sastera Malaysia dan Meneguhkan Sastera dalam Agenda Transformasi Negara. Dalam sesi pertama, beberapa soal yang hangat dibahaskan, termasuklah ancaman ledakan buku indie yang kini semakin menguasai pasaran. Pelbagai persoalan telah dibangkitkan, antaranya, seorang penyerta muda bertanya, “Bagaimana pula sekiranya suatu hari nanti karya indie ini akan diangkat menjadi karya agung?” Hal ini dijawab oleh Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan bahawa terdapat beberapa kriteria yang harus dipatuhi oleh sesebuah karya sebelum diiktiraf sebegitu rupa, dan jika bahasa serta pengisian karya tersebut tunggang-langgang maka mustahillah karya indie dapat diangkat sebagai karya agung.

Pada waktu malam, upcara pembacaan puisi dilangsungkan dengan tema besar, wasatiyyah. Para penyair hadir daripada kelompok tua dan muda, masing-masing naik ke pentas dan menghangatkan malam dengan bacaan puisi yang lantang dan penuh bertenaga. Malah, tidak dapat dilupai bagaimana Abdul Ghafar Ibrahim (AGI) yang melontarkan puisinya ke tengah-tengah gelanggang dengan begitu hidup, membuat penonton terpukau dan lemas dalam gelora kata-katanya yang menggulung. Pembacaan puisi ini berterusan sehingga lewat malam.

Menjelang Ahad 26 Oktober, tiga sesi selari telah diadakan dengan membawa perbincangan yang luas dan mencabar. Terdapat tema Pengantarabangsaan Sastera Malaysia, Pemajmukan Sastera Demi Perpaduan, dan Kesatuan Dalam Kepelbagaian: Ke Arah Masa Depan Sastera yang Gemilang. Dalam satu daripada sesi terakhir ini, pemakalah Wan Nor Azriq telah melontarkan kegelisahannya sebagai penulis muda dan persoalan generasi muda yang “tidak nampak” diri mereka dalam lipatan sastera perdana. Hal yang sedemikian menjadikan mereka berpaling daripada sastera perdana dan mula mencari wahana lain untuk menyuarakan isi hati mereka yang lama terpendam. Seusai itu, turut diadakan forum “Sastera dan Media: Peluang dan Cabaran” sebelum pembentangan resolusi dibuka. Acara terakhir ini turut disertai oleh tetamu kehormat Encik Aminuddin Omar, Exco Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan, dan Warisan NGO Negeri Kedah. Hasil resolusi ini termasuklah hal-hal yang bersangkut-paut dengan pendidikan Negara, pengembangan sastera melayu nasional, serantau, dan antarabangsa, serta dasar kesusasteraan negara yang lebih rapi dan tersusun. Acara ini bersambung dengan acara penutupan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia yang dibuat pada waktu yang sama.

Sebagai peserta muda yang baru bertatih dalam lapangan sastera, penulis berpuas hati dengan acara yang dijalankan sepanjang sidang berjalan. Banyak ilmu dan manfaat yang dapat dikutip untuk dijadikan pengajaran pada masa depan. Walau bagaimanapun, penulis agak kesal dengan kekurangan penyertaan penulis muda dan penulis indie di sidang ini. Rata-rata perserta yang ditemui ialah peserta yang sudah berumur dan biasa dalam sastera perdana. Penulis berpandangan, sebagai suatu sidang penulis Malaysia, adalah wajar untuk menggalakkan dan memasukkan sekali penulis daripada aliran dan golongan lain untuk turut serta. Mereka juga mungkin mempunyai pandangan yang tersendiri mengenai hal seputar sastera. Dari situ, kita dapat memahami selera dan kehendak mereka yang mungkin boleh sama-sama ditelaah dan difikirkan untuk kebaikan bersama, bukan sekadar menghalang dan memencilkan mereka daripada perbincangan ini. Kepelbagaian harus diraikan untuk kemajuan sastera, bahasa, dan penerbitan di Malaysia kerana kita perlu akur, sastera tidak boleh diikat, dirantai, mahupun dikurung dalam sebuah kotak besi yang sempit. Sastera harus bebas bergentayangan, harus membakar dalam banyak warna.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks