Sidang Kemuncak Penulis Malaysia yang bersidang selama tiga hari bermula 24 Oktober lalu, hari ini dirumuskan dengan pembentangan resolusi oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden Persatuan Penulis Malaysia (PENA), hasil daripada pembentangan dan perbincangan bagi mencapai kata sepakat mengenai usaha membangunkan bidang kesusasteraan dan persuratan negara.
.
Program yang menghimpunkan 230 peserta dari seluruh negara (termasuk Sabah dan Sarawak) dan merangkumi pelbagai persatuan penulis ini diadakan di Darulaman Golf & Country Club, Jitra, Kedah. Program ini merupakan anjuran bersama Bina Darulaman Berhad (BDB), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Institut Wasatiyyah Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Perbadanan Kota Buku (PKB), Biro Tata Negara (BTN) dan Angkatan Sasterawan Nasional (ASASI) Negeri Kedah.
.
Pembentangan resolusi ini disaksikan oleh Yang Berhormat Aminuddin Omar, Exco Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, NGO Kedah, yang hadir menyempurnakan Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia. Turut hadir Dato’ Izham Yusoff, Pengarah Urusan Kumpulan BDB dan Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan ITBM.
.
Antara resolusi SKPM yang dibentangkan adalah seperti berikut:

Penubuhan Yayasan Penulis Malaysia

Menyokong penubuhan Yayasan Penulis Malaysia yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir pada 24 Oktober lalu. Yayasan ini diwujudkan bagi memberi penekanan kepada kebajikan penulis, dan memohon kerajaan menyalurkan bantuan tahunan secara tetap untuk yayasan terus memainkan peranan dalam konteks pembangunan kesusasteraan nasional.

Sastera dalam Pendidikan Negara

Bagi menguatkan dan memperkasakan kesusasteraan dalam sistem pendidikan kebangsaan, subjek sastera sewajarnya diwajibkan sejak di peringkat sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi mengikut kesesuaian. Sastera daripada huraian ketamadunan dijadikan subjek wajib, dengan menggunakan teks kesusasteraan yang representatif dalam mata pelajaran sastera, iaitu menggunakan teks yang memancarkan akal budi tamadun wilayah ini dari abad ke-16 hingga 21, manakala teks kesusasteraan daripada tamadun Islam, India dan Cina yang representatif dimasukkan sebagai unsur luar yang memperkaya subjek sastera dalam huraian ketamadunan.

Selain itu, penambahbaikan kurikulum subjek kesusasteraan Melayu perlu dilakukan dengan memberi penekanan kepada nilai kesejagatan, selain memperkasakan semula kajian teks klasik dan karya agung Melayu di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi sebagai asas pengukuhan keperibadian tamadun Melayu. Hal ini kerana projek rintis bagi mata pelajaran sastera diyakini dapat melahirkan pelapis dan pewaris yang akan terus mengangkat bahan sastera negara untuk diiktiraf di peringkat antarabangsa. Walau bagaimanapun, pelaksanaan cadangan dan saranan ini memerlukan kerjasama dan sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pengembangan Sastera Melayu Nasional, Serantau dan Antarabangsa

Bagi memastikan kesusasteraan nasional akan lebih maju dan dikenali di peringkat antarabangsa, peruntukan dana perlu disalurkan bagi pelaksanaan cadangan berikut dalam usaha pengembangan dan penterjemahan karya sastera nasional:

  • Usaha penterjemahan dipergiatkan dengan memilih karya kontemporari yang berpotensi untuk khalayak dan pengiktirafan dunia, misalnya Anugerah Sastera Komanwel. Menyokong usaha ini, perlu diwujudkan geran untuk penterjemah tamu bagi menterjemahkan sastera Melayu ke bahasa sasaran.
  • Mewujudkan Anugerah Persuratan Melayu-Islam Nusantara yang dinaungi oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong bagi memastikan karya sastera Melayu mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.
  • Menyediakan Dana Pembangunan Penulis dengan penajaan geran bagi tujuan penyelidikan, penciptaan karya, penyertaan dalam kegiatan sastera di peringkat antarabangsa, kursus dan residensi yang terbuka kepada semua penulis, terutamanya penulis muda (yang berusia 40 tahun ke bawah).
  • Pihak kerajaan dimohon untuk menubuhkan Majlis Sastera, Bahasa dan Kebudayaan Malaysia sebagai badan pemikir autonomi, serta melantik penulis tempatan untuk Kerusi Pengajian Bahasa dan Sastera Melayu di luar negara.
  • Mewujudkan anugerah untuk penulis muda dan diadakan sayembara penulisan esei dan kajian ilmiah sastera yang menumpukan penulis muda berumur 40 tahun ke bawah. Hadiah yang diberikan bersifat untuk membangunkan kepengarangan penulis selain memasyarakatkan hasil tulisannya.
  • Menubuhkan Institut Penulisan Sastera Kreatif bagi melatih bakal penulis dan profesionalisme penulisan kreatif (seperti yang dilakukan di Universiti Iowa USA).
  • Meminta Dewan Bahasa & Pustaka dan universiti tempatan menerbitkan jurnal akademik dalam talian yang memfokuskan sastera Melayu dalam dwibahasa yang bertaraf Scopus dan International Science Index (ISI).
  • Mempromosikan sastera tempatan dengan mewujudkan atase kebudayaan di peringkat kedutaan, membawa Sasterawan Negara sebagai delegasi rasmi, mewajibkan syarikat penerbangan tempatan menyisipkan karya terjemahan sastera kebangsaan dalam majalah di atas pesawat dan memperuntukkan kos tetap untuk pembiayaan projek rintis tertentu. Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) perlu mengaktifkan semula Majlis Sastera Pelbagai Kaum bagi melaksanakan fungsi penataran, pengiktirafan, penterjemahan dan penerbitan.
  • Menubuhkan Muzium Penulis Malaysia sebagai satu antara usaha menyimpan khazanah sastera negara sebagai perkongsian bersama masyarakat setempat dan juga pencinta sastera dari luar negara yang berkunjung ke Malaysia. Selain itu menjadikan rumah pusaka Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad di Sik, Kedah sebagai muzium Sasterawan Negara Shahnon Ahmad juga amat relevan sebagai pengiktirafan kerajaan kepada bidang sastera serta menjadi produk pelancongan.
  • Dewan Bahasa & Pustaka perlu menggubal Dasar Kesusasteraan Negara yang akan menjadi panduan, landasan kukuh dan penegasan teguh bagi falsafah, matlamat serta hala tuju penciptaan karya, penerbitan dan pengedaran bagi memenuhi aspirasi nasional. Penggubalan dasar ini penting bagi melegitimasikan bidang sastera sebagai hasil kreativiti yang sama nilainya dengan bidang lain dalam agenda pembangunan negara.

Cadangan yang diusulkan menerusi Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ini, serta dengan adanya sokongan daripada pelbagai pihak berkaitan dan Kerajaan diyakini dapat memberikan impak positif terhadap kemajuan bidang kesusasteraan dan persuratan Malaysia. Resolusi ini diharapkan mendapat pertimbangan dan sokongan daripada pelbagai pihak, khususnya kerajaan Malaysia dalam memastikan kelangsungan bidang kesusasteraan tanah air.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks